Real Madrid Hanya Bayar €30 Juta Untuk Pengganti Cristiano Ronaldo

Real Madrid akhirnya membawa masuk seorang penyerang sejak pemergian Cristiano Ronaldo apabila membayar €30 juta untuk mendapatkan kembali bekas pemain mereka, Mariano Diaz.

Mariano dijual kepada Lyon tahun lepas dengan harga hanya €8 juta sahaja tetapi pemain berusia 25 tahun itu telah menunjukkan persembahan yang cemerlang sepanjang beraksi untuk Lyon di Ligue 1.

Mariano kembali menyertai Real Madrid selepas semusim berkelana di Perancis

Selepas semusim beraksi di Perancis, Real Madrid mengambil keputusan untuk mendapatkan kembali khidmat Mariano untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo dalam skuad Los Blancos.

Selepas mengetahui Sevilla berminat untuk mendapatkan Mariano, Real Madrid mengambil keputusan untuk mengaktifkan klausa ‘buyback’ yang ada dalam kontrak Mariano di Lyon.

Mariano dijangka menandatangani kontrak jangka panjang selama 5 tahun dan akan dipersembahkan kepada peminat Real Madrid pada hari ini di Stadium Santiago Bernabeu [Jumaat].

Kelmarin, President Lyon Jean Michel Aulas mengesahkan Mariano akan berpindah ke Real Madrid dalam masa terdekat.

“Mariano memberitahu kami yang beliau mahu berpindah keluar. Tawaran Sevilla untuk beliau juga tiba tanpa diminta mana-mana pihak. Persiapan pasukan kami boleh terjejas sekiranya kami menyimpan pemain yang hendak berpindah keluar.”

“Kami mencapai persetujuan dengan Sevilla mengenai Mariano, tetapi Real Madrid datang dan mereka mempunyai pilihan untuk membeli pemain itu kembali. Kami tidak sangka Real Madrid akan mengaktifkan klausa ‘buyback’ tersebut, tetapi mereka melakukannya pada pagi kelmarin.”

Mariano memulakan kariernya bersama Lyon dengan cemerlang dan berjaya menjaringkan 18 gol sepanjang musim 2017/2018. Walau bagaimanapun, prestasi beliau sedikit merudum dan Mariano masih belum menjaringkan gol sejak April lalu.

Ketibaan Mariano di Santiago Bernabeu akan meringankan sedikit beban yang ditanggung Karim Benzema dan Gareth Bale ketika ini selepas tindakan mengejut Ronaldo yang berpindah ke Juventus. Seperti semua sedia maklum, Juventus membayar €112 juta untuk membawa masuk Ronaldo dalam usaha kelab tersebut untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Lyon turut mengesahkan mereka bercadang untuk mendapatkan khidmat penyerang muda Celtic, Moussa Dembele bagi menggantikan tempat Mariano. Walau bagaimanapun, Lyon berdepan saingan dari kelab senegara kerana Marseille turut menaruh minat terhadap Dembele.

Bagaikan sireh pulang ke gagang. Produk akademi Real Madrid ini kembali dipanggil untuk menggantikan tempat Ronaldo

“Kami tidak dapat mengumumkan pengganti Mariano lagi. Ketibaan pemain baru dan penjualan Mariano berkait rapat.”

“Ya benar Moussa Dembele merupakan pemain sasaran kami. Tetapi saya ada terbaca yang Marseille juga berminat. Saya rasa Marseille berdepan tugas yang lebih sukar untuk mendapatkan Dembele berbanding kami.”

“Kami sudah menghubungi pihak yang mewakili Dembele. Pemain tersebut berminat untuk menyertai Lyon tetapi Celtic agak sukar untuk dibawa berunding. Kami juga mempunyai sasaran lain sekiranya gagal mendapatkan Dembele.”

BACA:  'Tak Peduli Tentang Real Madrid Dan Everton' - Rodriguez Mahu Liverpool Julang UCL