Real Madrid Juara Spanish Supercup Selepas Mudah Jinakkan Barcelona

Real Madrid telah muncul juara Spanish Supercup selepas mudah menjinakkan musuh ketat mereka Barcelona yang tidak mampu melawan dengan kemenangan 4-1 dan Vinicius Jr meledak hatrik.

Perlawanan akhir El Clasico ini berlangsung di King Saud University Stadium (KSUS), Arab Saudi yang turut dikenali sebagai Al-Awwal Park sempena nama penajanya.

Pemain sayap Real Madrid, Vinicius Jr menjaringkan dua gol dalam 10 minit pertama untuk meletakkan pasukan Carlo Ancelotti selesa mengawal permainan di Arab Saudi dan hatrik dicipta di 45 minit pertama.

Robert Lewandowski membalas satu gol untuk Barca dengan sepakan voli yang padu tetapi Vinicius menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39 untuk membolehkan Los Blancos terus berkelebihan dua gol.

Rodrygo kemudian menambah gol keempat pada separuh masa kedua sebelum Ronald Araujo dibuang padang untuk melengkapkan kesengsaraan Barca di kaki pasukan paling dibenci mereka.

Ini adalah Kemenangan kali ketiga berturut-turut Madrid dalam pertembungan El Clasico dan memberikan mereka kejayaan Piala Super ke-13 kurang satu di belakang rekod 14 kejuaraan Barcelona.

Jude Bellingham menjadi kunci kepada gol pembukaan, bermain di belakang garisan tinggi Barcelona untuk Vinicius memecut deras hantaran sedap dan mengayamkan penjaga gol Barca, Inaki Pena.

Tiga minit kemudian, Rodrygo melakukan satu larian yang tepat lalu merobek pertahanan Barca sebelum membuat hantaran untuk Vinicius menggandakan kedudukan dengan satu gelongsoran.

Barca bertindak balas dengan baik dan kembali ke permainan apabila hantaran lintang Alejandro Balde ditanduk keluar tetapi berjaya disambar Robert Lewandowski dengan satu voli untuk sekadar gol saguhati sahaja.

Tetapi beberapa minit kemudian, pengadil memutuskan bahawa Vinicius telah ditarik dan dijatuhkan di dalam kotak oleh Araujo ketika dia cuba mematahkan hantaran silang.

Bnatahan daripada Barca tidak diendahkan pengadil dan pemain antarabangsa Brazil berusia 23 tahun itu dengan yakin menyempurnakan sepakan penalti untuk melengkapkan hatrik kedua bersama Madrid.

Tiada pilihan lain buat Barca untuk mengejar lalu serangan sahajalah jalannya dengan meramaikan pemain di hadapan. Rodrygo bijak memanfaatkan situasi apabila pertahanan Barca berterabur untuk menghasilkan gol keempat.

Situasi menjadi lebih buruk untuk Barcelona dan amat baik buat Real Madrid apabila kekecewaan semakin menguasai diri Araujo yang mengasari Vinicius untuk menerima kad kuning kedua ketika permainan masih berbaki 20 minit.

Barcelona sedar tiada lagi peluang untuk mereka lalu terpaksa bertahan bagi mengelakkan aib yang lebih besar dan kedudukan 4-1 kekal hingga tamat dan Real Madrid muncul juara.

Baca Juga

Baca Juga