Real Madrid telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan minat mereka untuk mendapatkan khidmat pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe.
Terdapat laporan mendakwa Paris Saint-Germain dan Real Madrid telah mencapai persetujuan bagi membolehkan Mbappe beraksi di Santiago Bernabeu musim hadapan.
Laporan itu turut mendakwa Real Madrid akan memecahkan rekod dunia dengan membayar €272 juta (£240 juta) bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang mahu berpindah keluar.
Spekulasi ini bertiup dengan sangat kencang sehinggakan Real Madrid terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan perkara tersebut.
“Berikutan penyebaran maklumat mendakwa Real Madrid dan Paris Saint-Germain telah bersetuju dengan perpindahan Kylian Mbappe, Real Madrid ingin menjelaskan yang berita tersebut adalah palsu.”
“Real Madrid tidak pernah membuat tawaran kepada Paris Saint-Germain atau pemain itu dan mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran berita sebegini yang tidak disahkan oleh pihak yang terlibat.”
Pemain antarabangsa Perancis ini menjadi pemain kedua termahal dunia apabila menyertai PSG dari Monaco tahun lepas dengan yuran perpindahan sekitar £166 juta. Beliau menyertai PSG secara pinjaman pada mulanya tetapi perpindahan itu menjadi tetap awal tahun ini.
Mbappe kini sedang bersama skuad kebangsaan Perancis bermain di Piala Dunia dimana beliau sudah menjaringkan 3 gol setakat ini.
Real Madrid juga menafikan mereka ada membuat tawaran untuk mendapatkan Neymar seperti dilaporkan beberapa akhbar dari Sepanyol. Stesen televisyen Sepanyol, TVE melaporkan kelab gergasi yang berpengkalan di Madrid itu telah membuat tawaran rekod dunia untuk mendapatkan Neymar.
Neymar menjadi pemain termahal dunia selepas PSG mengaktifkan klausa pelepasan pemain dalam kontrak Neymar bersama Barcelona pada tahun lepas. Beliau berjaya membantu PSG memenangi treble musim lepas tetapi mengalami kecederaan pada bulan Februari yang menyebabkan beliau gagal membantu PSG mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara Eropah.