Real Madrid Terkejut Dengan Keputusan Ronaldo Untuk Sertai Juventus

Real Madrid dilaporkan terkejut dengan keputusan Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Santiago Bernabeu bagi menyertai Juventus.

Walaupun Ronaldo pernah menyatakan hasratnya untuk berpindah selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah Mei lalu, Real Madrid yakin mereka akan berjaya memujuk Ronaldo untuk terus kekal di Sepanyol untuk beberapa musim lagi.

Berikutan penyingkiran Portugal dari saingan Piala Dunia 2018, spekulasi mengenai masa depan kapten Portugal ini semakin bertiup kencang mengatakan Ronaldo serius untuk meninggalkan Real Madrid musim panas ini.

Adakah kita akan melihat Ronaldo menyarung jersi Bianconeri musim hadapan ?

Menurut laporan daripada beberapa sumber, Ronaldo akan membuka buku baru musim hadapan dengan berhijrah ke Serie A untuk beraksi dengan Juventus.

Ronaldo dilaporkan telah bersetuju dengan tawaran kontrak daripada Juventus bernilai €30 juta (£26.5 juta/$35 juta) semusim. Apa yang menghalang perpindahan ini dari diumumkan adalah Juventus masih lagi belum mencapai persetujuan dengan Real Madrid mengenai yuran perpindahan Ronaldo.

Terdapat laporan mengatakan Real Madrid meminta €120 juta (£106 juta/$140.5 juta) sebagai yuran perpindahan untuk melepaskan Ronaldo, tetapi kedua-dua buah kelab dijangka bersetuju dengan harga sedikit rendah, iaitu pada lingkungan €100 juta.

Ronaldo gagal membantu Portugal mara lebih jauh dalam Piala Dunia 2018

Bekas pemain Manchester United dan Sporting CP ini pernah menyatakan hasratnya untuk mengakhiri kariernya di tempat lain, tetapi Real Madrid tidak pernah menyangka ia berlaku secepat ini, terutamanya selepas Ronaldo baru sahaja membantu mereka menjuara Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut.

Minat Juventus terhadap Ronaldo bukanlah perkara yang baru. Juventus merupakan antara kelab yang terawal mengesan bakat Ronaldo ketika beliau berusia 18 tahun dan masih beraksi bersama Sporting CP. Juventus cuba mendapatkan Ronaldo menerusi perjanjian pertukaran pemain tetapi ia tidak berlaku kerana bekas pemain Chile, Marcelo Salas menolak untuk bermain di Portugal.

Ronaldo pernah membuat kenyataan yang beliau meminati Juventus ketika beliau masih kecil. Ronaldo juga menerima penghargaan ‘standing ovation’ daripada peminat Juventus sendiri selepas menjaringkan gol ‘overhead kick’ ketika peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan Ronaldo mahu berpindah keluar dari Real Madrid. Antara yang paling ketara adalah masalah beliau dengan kerajaan Sepanyol mengenai bayaran cukai.

Peminat Juventus bangun berdiri selepas Ronaldo menjaringkan gol ini

Ronaldo menerima 4 pertuduhan cuba mengelak dari membayar cukai yang berkait dengan hak imej beliau. Selepas beberapa siri perbincangan, Ronaldo akhirnya bersetuju untuk membayar €18.8 juta (£16 juta/$22 juta) kepada LHDN Sepanyol bagi menutup segala kes terhadap beliau.

Selain itu, Ronaldo juga berkecil hati dengan tindakan Real Madrid yang cuba mencari pengganti ketika beliau mengharungi kemarau gol pada awal musim lalu. Awal minggu ini menyaksikan Real Madrid terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan minat mereka terhadap Neymar dan Kylian Mbappe.

Walaupun Ronaldo terbuka untuk menamatkan kariernya bersama Real Madrid, insiden-insiden sebegini menyebabkan hubungan beliau dengan pihak kelab menjadi buruk dan akhirnya Ronaldo membuat keputusan untuk mencari cinta baru di Itali.

Sebelum ini Real Madrid dilaporkan bersedia dan rela menjual Ketua Pasukan Portugal itu ke Manchester United jika mereka mendapat seorang pemain bintang dalam urusan jual beli.

Real Madrid sanggup menerima €50 juta sahaja sebagai hantaran perpindahan tetapi wajib disertakan sekali pemain penyerang Belgium, Romelu Lukaku sebagai barang hantaran.

Lopetegui kini yang merupakan pengurus Real Madrid menggantikan Zinedine Zidane mahu mencari pengganti kepada Karim Benzema dan kekacakan Lukaku menambat hati Lopetegui.

PSG yang turut dikaitkan dengan Ronaldo tidak membuat sebarang tawaran lagi mungkin kerana terikat dengan peraturan Financial Fair Play.

BACA:  Legenda Liverpool Kini Antara Calon Ganti Ancelotti Di Real Madrid