Real Madrid Tiada Pelan Untuk Beli Harry Kane Buat Masa Sekarang

President Real Madrid, Florentino Perez berkata kelab beliau tidak bercadang untuk mendapatkan Harry Kane dari Tottenham Hotspurs buat masa sekarang.

Perez percaya Real Madrid harus membayar nilai perpindahan rekod dunia sekitar £220 juta jika mereka benar-benar berminat untuk membawa masuk Kane ke Santiago Bernabeu. Kane hangat dikaitkan dengan Real Madrid selepas beraksi cemerlang untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris untuk dua musim berturut-turut.

Walaubagaimanapun, Perez berkata Pengerusi Spurs, Daniel Levy akan meminta sejumlah wang yang tidak masuk akal kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan pemain antarabangsa England tersebut. 

Selain Harry Kane, rakan sepasukannya di Spus, Dele Alli turut menjadi sasaran utama Real Madrid pada masa hadapan seperti dilaporkan akhbar dari Sepanyol yang mempunyai kaitan rapat dengan pasukan gergasi Eropah tersebut.

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane juga tertarik dengan persembahan yang ditunjukkan Kane ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, sambil berkata Kane adalah seorang pemain yang cukup lengkap.

Perez ketika ditemuramah stesen radio tempatan Cadena COPE berkata,

“Tidak pernah terlintas dalam pemikiran saya Real Madrid mahu menandatangani Harry Kane dari Tottenham Hotspurs. Beliau seorang pemain yang amat bagus dan tambahan pula beliau masih muda. Kane mempunyai banyak lagi masa untuk menjadi lebih bagus, tetapi kami masih gembira dengan Karim Benzema sebagai penyerang kami.”

“Saya tidak pernah bertanya kepada Daniel Levy mengenai harga Harry Kane kerana jika saya tanya, sudah tentu beliau akan memberitahu nilai Kane adalah £220 juta.”

Presiden Real Madrid ini juga ada memberitahu beliau sering menerima sistem pesanan ringkas dari pengerusi Tottenham setiap kali Real Madrid memenangi kejohanan besar. Untuk rekod, Real Madrid mempunyai dua bekas pemain Spurs dalam pasukan mereka sekarang ini iaitu Luka Modric dan Gareth Bale. Kedua-dua mereka adalah watak penting dalam kejayaan Los Blancos kebelakangan ini.

“Setiap kali kami memenangi Liga Juara-Juara Eropah, beliau akan menghantar SMS yang sama. ‘Tahniah kerana memenangi kejuaraan Eropah dengan pemain saya.”

Sejak menyertai Real Madrid, Modric dan Bale telah memenangi 3 Liga Juara-Juara Eropah dan satu kejuaraan La Liga.

Walaupun Perez menyatakan beliau masih gembira dengan Benzema, Kane adalah pemain yang lebih bagus dan bakal meningkatkan kualiti pasukan Real Madrid andainya beliau menggantikan tempat Benzema dalam pasukan. Kane kini mendahului senarai penjaring Liga Perdana Inggeris dengan 8 gol dan dalam landasan terbaik untuk memenangi kasut emas buat kali ke-3 berturut-turut. 

Statistik turut memihak kepada Harry Kane berbanding Benzema, dengan penyerang England ini mempunyai purata 0.91 gol setiap 90 minit, jauh meninggalkan Benzema yang hanya mampu mencatatkan purata 0.29 gol setiap 90 minit.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga