Rekod Liga Juara-Juara Telah Tercipta Ketika PSG Membelasah Celtic

Paris Saint-Germain meneruskan momentum mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan mudah membelasah juara Scotland, Celtic 7-1 pada perlawanan yang berlangsung semalam di Parc des Princes.

Pasukan gergasi dari Perancis ini telah menjadi pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam peringkat kumpulan sepanjang sejarah penganjuran Liga Juara-Juara.

Apa yang lebih memberangsangkan adalah PSG meleburkan rekod lama dengan baki satu perlawanan.

Persembahan pasukan PSG dalam saingan peringkat Eropah amat menakjubkan dan nama mereka kini telah dimasukkan dalam lipatan sejarah sebagai pasukan paling banyak menggegar jaring pihak lawan.

Marco Veratti berjaya menjaringkan gol ke-5 pasukan pada perlawanan tersebut dan jaringan beliau telah berjaya meleburkan rekod lama yang dipegang Borussia Dortmund dengan jaringan sebanyak 21 gol yang dicipta musim lepas.

PSG kini telah menjaringkan 24 gol dalam semua perlawanan dan mereka berpeluang menambah rekod tersebut dalam aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Bayern Munich.

Perkara yang mencacatkan malam penuh gemilang PSG tersebut adalah mereka melepaskan satu gol saguhati kepada Celtic pada awal perlawanan, melalui jaringan pemain muda, Moussa Dembele seawal 56 saat perlawanan berlangsung.

Jaringan tersebut mungkin telah dilupakan peminat tuan rumah yang disajikan dengan pesta tujuh gol selepas itu, tetapi ia merupakan kali pertama gawang mereka berjaya dibolosi dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Gol tersebut juga merupakan gol paling pantas PSG pernah lepaskan dalam sejarah pertandingan Eropah.

PSG telah berjaya mendominasi kumpulan mereka yang terdiri daripada kelab yang berjaya menjuarai liga domestik negara masing-masing, iaitu Bayern Munich, Anderlecht dan Celtic.

PSG telah memenangi kesemua perlawanan mereka dengan minimum 3 gol dijaringkan dalam setiap perlawanan, dan kini mereka memliki perbezaan gol berjumlah +23, satu jumlah yang cukup menakjubkan dalam saingan tertinggi peringkat Eropah ini.

Celtic merupakan pasukan yang paling sengsara setiap kali bertemu PSG. Rekod Celtic dalam dua perlawanan ini adalah 1-12, dan semalam mereka lunyai dibelasaha PSG 7-1 tanpa belas kasihan di hadapan penyokong pihak lawan.

Kemenangan PSG pada malam tadi adalah kemenangan terbesar mereka di tempat sendiri dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Walaupun mendominasi setiap perlawanan setakat ini, PSG masih gagal mengesahkan tempat mereka selaku juara kumpulan.

Bayern Munich yang tewas 3-0 di tangan PSG awal musim lalu berjaya memenangi kesemua perlawanan mereka selepas itu dan hanya 3 mata di belakang PSG.

Untuk rekod, perlawanan tersebut juga merupakan perlawanan terakhir Carlo Ancelotti sebagai pengurus Bayern Munich, kerana beliau telah dipecat selepas kekalahan memalukan tersebut.

Kedua-dua pasukan ini bakal bertemu kembali di Allianz Arena pada 5 Disember ini, dan pasukan Bayern ini telah menerima suntikan baru selepas bekas pengurus mereka pada masa lepas, Jupp Heynckes mengambil alih tampuk pengurusan.

Mereka pastinya mahu membalas dendam atas apa yang berlaku tempoh hari dan andainya mereka mampu membenam PSG dengan kelebihan 4 gol, Bayern bakal dinobatkan sebagai juara kumpulan, dihadapan PSG.

Baca Juga

Baca Juga