Real Madrid telah mencipta sejarah pada hari Rabu apabila menjadi kelab ketiga yang memenangi Piala Super Eropah buat kali kelima.
Anak buah Carlo Ancelotti memegang rekod tersebut bersama-sama Barcelona dan gergasi Itali, AC Milan selepas menewaskan juara Liga Europa, Eintracht Frankfurt dua gol tanpa balas di Helsinki, FInland.
David Alaba menjaringkan gol pertama Real Madrid pada minit ke-37, apabila dia dengan mudah menolak bola ke dalam gol yang terbuka tanpa dijaga selepas menerima bola tandukan daripada Caseimiro.
Pada minit ke-65, penyerang terbaik dunia Karim Benzema mengesahkan kemenangan Real Madrid apabila menjaringkan gol kedua. Gol terhasil daripada gerakan Vinicious Junior yang menerima through ball yang menarik di sebelah kiri padang, lalu melakukan umpanan bola leret ke tengah kotak penalti.
Karim Benzema yang tidak dikawal kerana berjaya meletakkan dirinya di posisi yang terbaik, dengan mudah melakukan satu placing ke arah gol tanpa dapat ditampan oleh penjaga gol Frankfurt.
Frankfurt cuba bangkit namun kempuhan permainan Real Madrid sering mengecewakan mereka dan selepas perlawanan tamat, mereka hanya mampu melihat Ancelotti dan para pemainnya menjulang piala.
Daripada perlawanan tersebut, berikut adalah lima ibrah tentang kemenangan Real Madrid tersebut.
Ganjaran Kecemerlangan Musim Lalu
Dengan bermulanya musim baru dan cabaran baru, kemenangan pada musim lalu mungkin boleh dianggap sebagai satu sejarah lapuk bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi Ancelotti dan pengurus Frankfurt, Oliver Glasner di mana mereka bagaikan bersepakat memberikan hadiah kepada pemain musim lalu untuk tampil di pentas ini.
Ancelotti menurunkan barisan yang sama seperti perlawanan akhir UCL musim lalu sambil mengenepikan penampilan pemain baru, Antonio Rudiger, manakala Glasner pula menyenaraikan 10 pemain daripada kesebelasan utama dalam perlawanan akhir Liga Europa dengan hanya Filip Kostic tidak diturunkan kerana sedang dalam proses perpindahan ke Juventus untuk bermain bersama bintang terbaik dunia, Paul Pogba.
“Perlawanan ini adalah ganjaran kepada para pemain kerana memenangi Liga Europa, ini adalah ganjaran di atas apa yang mereka kecapi,” ujar Glasner sebelum perlawanan bermula.
Ulangan Sejarah
Tidak ramai yang sedar bahawa ini adalah perlawanan pertama kedua-dua pasukan bertemu dalam peringkat kompetitif selepas kali terakhir melakukannnya pada tahun 1960 dalam perlawanan akhir Piala Eropah.
Dalam perlawanan tersebut pada zaman dahulu, Real Madrid menewaskan Frankfurt tujuh gol berbalas tiga di hadapan 127,000 penonton di Stadium Hampden Park di Scotland. Gol dijaringkan oleh dua pemain yang kekal dalam lipatan sejarah – Ferenc Puskas dan Alfredo Di Stefano, sekaligus memberikan kejuaraan Eropah kelima buat gergasi Sepanyol itu.
Frankfurt Adalah Pasukan Liat
Boleh dikatakan hampir kesemua penggiat bola sepak meramalkan bahawa Real Madrid akan menang mudah sebelum perlawanan bermula. Ini kerana Frankfurt adalah pasukan sekadar bertaraf Liga Europa musim lalu dan lima hari sebelumnya, pasukan ini telah dibelasah Bayern Munich 6-1.
Akan tetapi pasukan Bundesliga ini masih mampu mempamerkan permulaan yang membanggakan di Stadium Olimpik. Daichi Kamada memaksa Thibaut Courtois melakukan penyelamatan agung pada awal perlawanan dan pertahanan muda Brazil, Tuta, melakukan satu halangan yang menakjubkan di atas garisan lantas menafikan gol awal daripada Vinicious Junior.
Real Madrid Pakar Pemecah Perpaduan Pertahanan
Real Madrid memecah kebuntuan pada minit ke-37 hasil daripada permainan menarik antara Vinicius dan calon pemenang Ballon d’Or Karim Benzema telah memaksa Kevin Trapp melakukan aksi tangkas menampan bola keluar untuk memberikan sepakan penjuru kepada Madrid.
Benzema berjaya menanduk bola sepakan penjuru tersebut, memberikan bola kepada Casemiro yang kemudiannya menanduk semula bola ke bahagian tengah sambil ditunggu oleh Alaba. Tanpa segan silu, Alaba dengan mudah menolak bola ke dalam gol yang sudah terbuka.
Makin Banyak Sejarah Buat Ancelotti
Ancelotti muncul sebagai pemenang piala super Eropah buat kali keempat, mengatasi Pep Guardiola yang hanya memenangi piala tersebut sebanyak tiga kali.
Kali terakhir Ancelotti melakukannya sebelum ini adalah pada 2014, bersama Real Madrid. Bersama AC Milan, pengurus legenda ini memenanginya pada tahun 2003 dan 2007.
Ternyata keputusannya meninggalkan Everton tahun lalu adalah satu keputusan yang tepat.
Sumber : Mirror