Presiden UEFA: “99% Orang Berpuas Hati dengan Format Baharu Liga Juara-Juara”
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin percaya bahawa “99% orang” berpuas hati dengan format baharu Liga Juara-Juara musim ini.
Format lama yang mempunyai 8 kumpulan dengan 4 pasukan setiap satu telah digantikan dengan satu fasa liga yang terdiri daripada 36 pasukan bermula musim 2024-25. Perubahan ini membolehkan lebih banyak kelab menyertai kejohanan dan meningkatkan jumlah perlawanan.
Setiap pasukan bermain menentang 8 lawan berbeza dalam fasa liga dengan matlamat UEFA untuk meningkatkan jumlah perlawanan antara kelab-kelab terbesar Eropah pada peringkat awal pertandingan.
Selepas musim pertama menggunakan format ini, Ceferin, 57 menyifatkan pembaharuan ini sebagai “kejayaan sempurna”.
“Saya hanya mendengar maklum balas positif,” katanya kepada akhbar Slovenia, DELO. “Pada mulanya, tumpuan diberikan kepada pengkritik yang sentiasa muncul setiap kali ada perubahan. Saya menganggarkan bahawa 99% orang kini berpuas hati dengan Liga Juara-Juara yang baharu ini.
“Pertandingan ini menjadi sukar diramalkan berbanding sebelumnya, tiada siapa yang tahu sehingga saat akhir sama ada mereka akan layak. Ia satu kejayaan sempurna dan jumlah tontonan Liga Juara-Juara juga sangat memberangsangkan.”
Selepas fasa liga, satu pusingan play-off kalah-mati diadakan untuk pasukan yang menduduki tempat ke-9 hingga ke-24. Juara Eropah 15 kali, Real Madrid bertemu juara Liga Juara-Juara 2023, Manchester City, dalam perlawanan yang mencipta rekod baharu untuk siaran langsung sukan di platform Amazon Prime Video di United Kingdom selepas perlawanan pertama menarik lebih daripada 4 juta penonton.
Namun, pembaharuan Liga Juara-Juara ini turut menerima kritikan terutamanya mengenai kebajikan pemain serta jurang kekayaan yang semakin melebar antara kelab elit Eropah dan kelab-kelab lain. Penyokong membantah perubahan ini, manakala liga domestik bimbang format baharu ini boleh menjejaskan masa depan jangka panjang pertandingan mereka.
Dalam reformasi lain, UEFA turut memperkenalkan Peraturan Kos Skuad (Squad Cost Rule, SCR) menjelang musim 2023-24. Peraturan ini menetapkan bahawa perbelanjaan kelab untuk perpindahan pemain, gaji dan yuran ejen tidak boleh melebihi peratusan tertentu daripada pendapatan kelab. Had ini ditetapkan pada 80% untuk musim 2024-25 dan akan dikurangkan kepada 70 peratus bermula musim seterusnya.
Ceferin turut menyatakan bahawa perbincangan mengenai had gaji telah diadakan antara peguam UEFA dan Kesatuan Eropah (EU). Namun, beliau mengakui bahawa memperkenalkan had gaji yang ketat di Eropah “mungkin tidak dapat dilaksanakan”.
Pada Februari lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Liga Perdana Inggeris jika mereka cuba memperkenalkan had gaji ketat musim depan sebagai sebahagian daripada peraturan baharu kewangan yang adil (financial fair play).