Revolusi Taktikal Di Liga Malaysia – ‘Route One’ Itu Kuno!

Taktikal dan bola sepak Malaysia bukanlah pasangan yang terbaik di dunia, bukan seperti irama dan lagu atau isi dan kuku. Seperti Premier League pada sekitar 60′ – 80′-an, ‘route one football’ menjadi pilihan pasukan-pasukan di Malaysia sejak azali dan masih lagi digunapakai hingga ke hari ini!

Sedikit sebanyak, corak permainan begini telah menjadi tradisi sejak turun-temurun dan mempengaruhi corak permainan skuad kebangsaan.

Apa itu ‘route one football’? ‘Route one football’ (baca : gelembung buaya) ialah sebuah taktikal mudah yang mana bola digerakkan melalui hantaran jauh ke hadapan oleh pertahanan/pemain tengah dan penyerang akan menjadi orang yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan beban yang diberikan kepadanya.

‘Route one football’ juga merupakan salah satu taktikal yang mudah dipatahkan dan sangat terdedah kepada sebarang ancaman.

Namun, itu dahulu! Kini, sudah ada perubahan dalam corak permainan pasukan di Liga Malaysia dan ada tanda-tanda akan berlakunya perubahan dalam bola sepak dari segi taktikal.

Apakah corak-corak permainan baharu yang diaplikasi dalam Liga Malaysia dan adakah ianya berjaya di tanah ‘route one football’ ini?

Sistem Bek 3 P. Maniam & Velizar Popov – Kewujudan ‘Wing Back’ Menjadi Perhatian!

Apabila bersembang tentang sistem bek 3, pastinya nama Antonio Conte terlintas pantas bak kereta F1 di Sepang dalam fikiran, bukan? Di Malaysia, sistem bek 3 dengan formasi 3-4-3 telah diperkenalkan oleh Velizar Popov pada 2016 dan perubahan ini meninggalkan satu impak besar kepada bola sepak Malaysia! Bagaimana?

Qayyum Marjoni menjadi pemain pertama ‘merasai’ kelainan corak permainan sistem bek 3 ini kerana Qayyum berjaya dibentuk oleh Popov sebagai salah seorang pemain ‘wing back’ muda yang mampu menyerang dan bertahan dengan baik.

Tambahan pula dengan Wan Zack dan Wander Luiz yang sememangnya pemain yang gemar untuk bergerak ke dalam kawasan ‘halfspace’, corak permainan ini berjaya mengubah bola sepak Kelantan secara keseluruhannya pada musim lalu.

Kelantan FA players in action during Kelantan FA against KL Felda United FC.

P. Maniam pula berbeza! Dengan asas formasi 3-5-2 bagi sistem bek 3-nya, beliau menjadikan S. Veenod sebagai ‘free role no.8’ dan ianya kelihatan seperti mereka bermain dengan formasi 3-4-3.

S. Veenod menjadi watak penting dalam corak permainan yang diterapkan P. Maniam apabila dia perlu menjadi ‘dynamo’ dengan bergerak tanpa henti untuk menyokong dua bahagian yang memerlukannya; tengah dan serangan.

Corak permainan ini menjadi apabila ‘Predator’ Forkey Doe dan Adam Nor Azlin digandingkan bersama bak ‘Fast & Furious’.

‘Free-Flowing Football’ Cheng Hoe & Mora – Pentingnya Zon 14 Kepada Mereka!

Zon 14 atau lebih dikenali sebagai ‘hole area’ adalah zon yang paling mudah terancam dan diancam! Di manakah terletaknya zon 14 dalam bahagian padang? Zon 14 terletak di tengah, di hadapan kawasan penalti yang sememangnya zon sepakan jarak jauh yang peratus jaringannya melebihi 45%.

Penjelasan Tentang Bahayanya Zon 14! Kredit : Axello Tacts

Di Kedah, Cheng Hoe memerlukan seorang yang mampu mengeksploitasi zon 14 dan menjadi penyambung kepada dua bahagian; serangan dan tengah.

Musim lepas, Liridon masih lagi kurang selesa untuk bermain sebagai ‘penyambung’ memandangkan Thiago lebih banyak bermain di belakang Smeltz dan mengawal zon 14 dengan baik.

Musim ini menyaksikan Liridon lebih banyak bergerak sebagai penyambung dan mengeksploitasi zon 14 dengan radikal memandangkan Ken Ilso lebih banyak berada di luar kawasan serangannya.

Inilah bagaimana Liridon mengeksploitasi zon 14! Kredit : SemuanyaBOLA

Berbeza dengan Cheng Hoe, Mora pula memerlukan seorang pemain utiliti yang mampu bertahan dengan baik serta mampu menyerang pada masa yang sama! Amirulhadi bukanlah pilihan yang tepat kerana aspek pertahanannya sangat lemah.

Akhirnya, Afiq muncul sebagai jalan penyelesaian apabila pemain yang berperanan sebagai ‘anchor man’ ini mampu melindungi zon 14 mereka dan menyerang dengan baik. Penyelesaian yang tiba tepat pada masanya!

Adakah ‘Route One Football’ Masih Digunapakai Di Malaysia?

Ya, pasukan liga bawahan dan Liga Perdana kebanyakan menggunakan corak permainan sebegini lagi kerana pemain-pemain mereka berkemungkinan besar kurang kefahaman taktikal atau tahap stamina yang lemah.

Kita harus ingat bahawa tahap kecergasan pemain mempengaruhi keadaan mental pemain yang terpaksa memikirkan tentang stamina dan taktikal pada masa yang sama!

Smile! Say ‘Gelembung Buaya!’

Pahang, PKNS, Felda United dan Kelantan musim ini juga menggunakan corak permainan ‘route one football’ kerana mereka mempunyai penyerang yang mampu melakukan serangan secara pantas dan kekuatan fizikal mereka mampu menandingi pemain pertahanan di Liga Malaysia.

Ghaddar, Alves dan Ronaldinho telah membuktikan betapa efisiennya taktikal ini apabila kena pada masa dan tempatnya!

Melaka? Masih lagi tiada taktikal utama yang khas untuk mereka biarpun pada awal 2-3 perlawanan, Melaka lebih terdorong untuk menggunakan sistem permata dengan Amri Yahyah sebagai tunjang.

Penulis harap Melaka dapat menemui apa yang mereka cari di pertengahan musim ini biarpun ianya sebenarnya sudah sedikit terlambat buat mereka! Sekian..

Baca Juga

Baca Juga