Robert Lewandowski Mahu Cabaran Baru dan Bakal Tinggalkan Bayern Munich

Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski telah memberitahu ejen beliau mengenai niatnya untuk meninggalkan Allianz Arena musim panas ini dan ejennya pula menghebahkan kepada media.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh ejen Lewandowski, Pini Zahavi. Lewandowski baru sahaja melantik Zahavi menjadi ejen untuk menguruskan karier bolasepaknya.

Zahavi merupakan ejen yang bertanggungjawab menguruskan perpindahan rekod dunia Neymar dari Barcelona ke Paris Saint-Germain tahun lepas.

Lewandowski mahu meninggalkan Bayern Munich musim panas ini kerana memerlukan cabaran baru dalam kariernya. Lewandowski pon dah naik muak dengan dominasi Bayern di Jerman

Zahavi dilaporkan menerima  £30 juta atas penglibatan beliau dalam merencana perpindahan rekod dunia berjumlah  £200 juta yang menyaksikan Neymar berhijrah ke Perancis untuk bermain bersama Paris Saint-Germain.

Pemain berusia 29 tahun itu masih mempunyai kontrak bersama Bayern Munich sehingga tahun 2021, tetapi pelantikan Zahavi diharap mampu ‘melembutkan’ hati pihak pengurusan Bayern Munich supaya melepaskan Lewandowski.

Sebelum ini, Sky Sports News pernah melaporkan minat yang ditunjukkan Chelsea dan Manchester United terhadap pemain antarabangsa Poland tersebut.

Walaubagaimanapun, dua pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu perlu bersaing dengan Real Madrid dan Paris Saint-Germain yang turut berminat mendapatkan khidmat Lewandowski.

151 gol dari 195 penampilan dalam saingan Bundesliga. Hampir satu gol satu perlawanan. Memang berbisa

Zahavi ketika ditemuramah Sport Bild berkata pemain jagaannya itu memerlukan cabaran baru dalam kariernya selepas membantu Bayern Munich mendominasi saingan peringkat domestik beberapa tahun kebelakangan ini.

“Robert memerlukan perubahan dan cabaran baru dalam karier bolasepak beliau. Pengurus Bayern Munich juga menyedari perkara tersebut.”

Lewandowski berpindah ke Bayern Munich dalam perpindahan percuma selepas enggan melanjutkan kontraknya bersama Borussia Dortmund.

Musim ini menyaksikan Lewandowski telah menjaringkan 151 gol dari 195 perlawanan. Beliau juga dinamakan sebagai pemenang kasut emas Bundesliga sebanyak dua kali dalam 3 musim yang terakhir.

Sejak menyertai Bayern Munich, beliau berjaya memenangi Bundesliga setiap musim tetapi masih lagi gagal mengecapi trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Bayern tersungkur di peringkat separuh akhir sebanyak 3 kali dalam 4 musim yang terakhir yang mana Real Madrid sering menjadi penghalang di antara Bayern dan pentas final.

Real Madrid melihat Lewandowski sebagai calon terbaik untuk menggantikan tempat Karim Benzema

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge masih lagi yakin Lewandowski akan terus bermain dengan kelab tersebut musim hadapan memandangkan beliau mempunyai baki 3 tahun dalam kontraknya.

“Peminat tidak perlu risau hubungan di antara Robert Lewandowski dengan pihak pengurusan Bayern Munich. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik.”

“Kami tahu apa yang kami miliki dengan adanya Robert Lewandowski dalam pasukan. Saya sangat gembira kami mempunyai kontrak jangka panjang dengan pemain tersebut. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana beliau akan terus bermain dengan Bayern Munich musim hadapan.”

BACA:  Vidal & Boateng Kecam Mutu Pengadilan Berkenaan Insiden Bola Terkena Tangan Marcelo