Roberton Laung Amaran Kepada Pencabar Liga Lain, Masih Banyak Yang Belum Ditunjukkan Liverpool

Bek kiri Liverpool, Andy Robertson berkata Liverpool masih belum menunjukkan potensi mereka yang sebenar dan memberi amaran kepada pencabar liga yang lain dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Anak buah Jurgen Klopp telah memenangi kesemua 4 perlawanan yang mereka harungi setakat ini tanpa benar-benar bermain dengan kemampuan sebenar mereka. Liverpool berada di tangga teratas liga ketika ini dengan mengutip 12 mata, hanya dipisahkan dengan Chelsea dan Watford menerusi perbezaan gol sahaja.

Robertson percaya Liverpool hanya akan bertambah baik selepas ini

Ia juga merupakan permulaan paling cemerlang yang pernah dicatatkan Liverpool sejak tahun 1990. Mereka melakukan permulaan yang sempurna ini tanpa menunjukkan tahap permainan sebenar seperti dilihat ketika menewaskan Crystal Palace, Brighton, dan hujung minggu lalu Leicester.

Walaupun bermain bukan pada tahap sebenar, Liverpool masih mampu menjaringkan 9 gol dan hanya bolos satu gol setakat ini. Pasukan lain mungkin lebih daripada bersyukur jika mencatatkan keputusan seperti Liverpool  tetapi tidak bagi Robertson. Kapten Scotland itu mahu Liverpool mempamerkan persembahan yang lebih baik selepas cuti rehat antarabangsa ini.

“Saya rasa masih banyak yang belum dipamerkan pasukan ini. Bagi 3 perlawanan terakhir, kami tidak berada pada tahap yang terbaik. Jika pasukan ini mampu menjadi lebih baik, saya tidak sabar untuk melihat apa yang akan berlaku.”

Robertson juga baru dilantik menjadi kapten Scotland yang baru

“Kami bakal menghadapi beberapa perlawanan besar sebaik sahaja rehat antarabangsa berakhir. Saya rasa ketika ini hampir kesemua pemain teruja untuk bermain dengan negara masing-masing. Ada pemain yang akan berehat dan apabila kami pulang ke sini, kami bakal berdepan tugas getir bertemu Tottenham Hotspurs.”

Robertson antara pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk Liverpool bagi permulaan musim ini. Beliau memainkan peranan penting bagi gol Sadio Mane ketika Liverpool menang 2-1 ke atas Leicester hujung  minggu lalu. Walaubagaimanapun, Liverpool terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan 3 mata selepas Leicester berjaya merapatkan jurang pada babak kedua.

“Saya rasa kami bermula dengan baik. Untuk 20 minit yang pertama, Leicester tidak mampu menangani kami dan kami sepatutnya berada dua atau tiga gol di hadapan.”

Bermula dari bawah kini aku di persada Liga Perdana Inggeris. Robertson kini diakui sebagai salah seorang bek kiri terbaik Liga Perdana Inggeris ketika ini

“Selepas itu, kami sedikit bergelut. Leicester menekan kami dengan tinggi dan kami gagal memegang bola dengan baik. Perkara yang sama berlaku ketika kami menentang Crystal Palace dan Brighton minggu lalu di Anfield.”

“Amat penting bagi pasukan ini memenangi perlawanan sukar seperti tadi. Kami melakukan beberapa perkara yang baik dan juga beberapa perkara yang tidak baik. Tetapi segalanya hanya mengenai 3 mata sahaja – 12 mata dari 12 mata yang ditawarkan, kami tidak boleh minta lebih daripada itu.”

BACA:  Henderson Tinggalkan Al Ettifaq Tanpa Terima Sesen Gaji Dan Tanggung Hutang Jutaan Pound