Rodri Pamer Aksi Hadangan Yang Sungguh Luar Biasa Menakjubkan

Rodri berjaya mempamerkan aksi hadangan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika beraksi bertemu Liverpool malam semalam.

Liverpool dan Manchester City mempamerkan aksi persembahan yang sungguh dasyat pada aksi babak kedua permainan, dengan perlawanan yang dilangsungkan di Anfield itu berkesudahan dengan keputusan 2-2.

Liverpool hampir menjaringkan gol kemenangan di hujung minit permainan, dengan memulakan gerakan dari satu sudut sepakan percuma.

Bola sepakan percuma itu menuju ke arah far post, dan tepat menemui Fabinho, sementara penjaga gol Manchester City, Ederson sudah tertewas.

Ketika Fabinho memegang bola, gawang gol City sudah terbuka luas dan para penyokong Liverpool sudah melompat mahu meraikan gol tersebut.

Walau bagaimanapun, bintang Brazil itu melakukan sentuhan awal, yang membenarkan Rodri untuk melakukan hadangan dan berjaya menghalang Fabinho dari menjaringkan gol.

Insiden tersebut mencuri perhatian ramai dengan ramai yang kagum melihat bagaimana cemerlangnya Rodri melakukan hadangan tersebut.

Bercakap kepada Sky Sports sebaik melihat hadangan tersebut, Gary Neville menyatakan bahawa:

“Hadangan yang menakjubkan. Saya rasa Fabinho ambil masa terlalu lama dan dia rasa boleh jaringkan gol.”

“Ia merupakan gol terbuka tapi sebab dah beri Rodri masa untuk slide, menghulur kaki di waktu yang tepat, dia berjaya menutupi kesilapan Ederson, dia kawal dengan baik, ia sangat menakjubkan, tackle yang menakjubkan.”

Tambah Neville lagi.

Para penyokong Manchester City turut memberi reaksi terhadap hadangan itu dan memuji ketangkasan Rodri.

“Entah macam mana dalam dunia ni Rodri boleh melakukan hadangan itu.”

“Rodri sebenarnya banyak kali selamatkan City dari dibolosi oleh Liverpool.”

“Rodri berhak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini hanya untuk hadangan itu sahaja.”

“Ia jelas bola gol, tindakan Rodri tidak menyerah dan tidak berputus asa menyebabkan gawang kita berjaya diselamatkan.”

Manchester City memang nampak dominan dalam perlawanan ini, namun mereka dua kali dibolosi hasil gol jaringan Sadio Mane dan gol yang super cantik dari Mohamed Salah.

Phil Foden dan Kevin de Bruyne muncul sebagai penjaring gol untuk Man City, dengan kedua-dua mereka sememangnya sentiasa memberi ancaman ke kubu Liverpool sepanjang perlawanan tersebut.

Kesempatan paling nyata untuk ubah keputusan permainan merupakan peluang yang datang kepada Fabinho, namun Rodri muncul menjadi wira untuk menyelamatkan keadaan.

Liverpool dan Manchester City terpaksa berpuas hati dengan satu mata, selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

The Reds kini berada di kedudukan kedua dalam carta liga, satu mata di belakang Chelsea. Sementara Manchester City pula berada di kedudukan ketiga, satu mata di belakang Liverpool.

Saingan liga akan dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada rehat antarabangsa, dan akan kembali bersambung pada 16 Oktober nanti.

Perebutan untuk mencabar kejuaraan liga masih terbuka luas, dengan perbezaan mata dari kedudukan pertama hingga keenam hanya dibezakan dengan dua mata sahaja.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, masih belum ada pasukan yang terlalu dominan, dan ia membuktikan persaingan mencabar kejuaraan liga musim ini sangat sengit.

Liverpool, Manchester United, Manchester City dan Chelsea antara pasukan kegemaran untuk memenangi saingan liga musim ini, dengan mereka sememangnya sedang mendahului kedudukan empat teratas.

Agak mengejutkan juga melihat Everton dan Brighton berada di kelompok enam teratas dengan mereka mengutip kutipan mata yang sama seperti Manchester United.

Satu hal yang pasti, perebutan untuk bergelar Juara saingan Premier League musim ini masih terbuka luas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Tak Sangka Henderson Sanggup Tinggalkan Liverpool Demi Arab Saudi