Romelu Lukaku Terlepas Dari Menerima Hukuman Selepas Menyepak Pemain Brighton

Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku terselamat dari menerima hukuman penggantungan 3 perlawanan kerana menyepak pemain Brighton & Hove Albion, Gaetan Bong ketika kedua-dua pasukan tersebut bertembung hujung minggu lalu.

Panel yang terdiri daripada 3 bekas pengadil mempunyai pendapat yang berbeza berhubung insiden tersebut dan hasilnya, Lukaku terselamat dari menerima penggantungan.

Insiden tersebut berlaku ketika Red Devils menang tipis ke atas Brighton di gelanggang sendiri dan telah dirakam oleh stesen televisyen tetapi pengadil perlawanan gagal mengesan insiden tersebut.

Rakaman televisyen menunjukkan Lukaku telah mengangkat kakinya ketika diasak Bong. Tetapi Bong tidak bertindak balas dengan aksi agresif Lukaku dan meneruskan perlawanan seperti tidak menyedari perbuatan Lukaku tersebut.

Pihak FA England telah diberitahu yang pengadil perlawanan, Neil Swarbick dan pembantu pengadil gagal mengesan insiden tersebut berlaku dalam perlawanan. Jadi, mengikut peratura, kes ini telah dilanjutkan kepada panel pengadil untuk penilaian lebih lanjut.

Panel pengadil ini melakukan penilaian terhadap rakaman insiden tersebut secara individu dan keputusan mereka bakal dikumpul sebelum hukuman dikeluarkan. Dalam kes Lukaku, disebabkan berlaku percanggahan pendapat di antara 3 panel ini, Lukaku dibebaskan dari pertuduhan.

Lukaku adalah penjaring terbanyak Manchester United musim ini dengan 12 gol dalam semua pertandingan. Andai kata Lukaku dijatuhkan hukuman penggantungan 3 perlawanan.

Beliau bakal terlepas perlawanan penting seperti kunjungan ke Watford dan Arsenal, sebelum melayan kunjungan jiran tetangga mereka, Manchester City kurang dua minggu lagi.

Perlawanan menentang Brighton adalah kali ke-9 dari 10 perlawanan Lukaku gagal menemui jaringan. Tetapi Jose Mourinho masih lagi dalam nada yang tenang dan tidak risau dengan perkembangan tersebut.

Perkataan yang keluar dari mulut beliau ketika ditanya mengenai isu yang melanda Lukaku adalah, “Beliau tidak menjaringkan gol tetapi saya tidak kisah.”

Walaubagaimanapun, seorang bekas pemain England, Ian Wright yang kini menjadi pengacara radio BBC Radio 5 Live berkata beliau terkejut dengan keputusan FA untuk melepaskan Lukaku dari kesalahan tersebut.

“Jika panel pengadil menonton kembali rakaman kejadian tersebut, bagaimana mereka boleh melepaskan Lukaku selepas melihat perbuatan pemain tersebut. Adakah beliau patut menerima hukuman? Ya, tentu sekali.”

“Sebaik sahaja saya melihat insiden tersebut, dalam kepala saya mesti panel pengadil akan kembali menilai insiden ini. Jadi disini, mengapa Lukaku boleh terlepas? Lukaku cuba menyepak pemain lawan. Dua kali beliau cuba menyepak pemain Brighton. Sesiapa yang terlibat dalam membuat keputusan tersebut, saya rasa individu tersebut mesti dikeluarkan.”

Lukaku pastinya menarik nafas lega kerana tidak menerima sebarang hukuman dari FA kerana beliau adalah pemain penting dalam sistem Jose Mourinho.

Ditambah pula Manchester United bakal mengharungi jadual perlawanan yang padat pada bulan Disember, dan Mourinho tentunya tidak mahu kehilangan penyerang utama beliau kerana perkara sebegini.

Baca Juga

Baca Juga