Ronaldo Ajak De Ligt Sertai Juventus Selepas Portugal Benam Belanda

Pemain pertahanan Netherlands, Matthijs de Ligt berkata beliau telah ditanya Cristiano Ronaldo mengenai perpindahan ke Itali untuk menyertai Juventus selepas berakhirnya perlawanan akhir Nations League di antara Portugal menentang Belanda malam tadi.

Portugal menjadi juara edisi pertama UEFA Nations League selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Belanda dalam perlawanan yang berlangsung di Estadio do Dragao awal pagi tadi.

Gandingan De Ligt-Van Dijk masih belum cukup untuk menghalang Portugal menjulang trofi Nations League

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah Valencia, Goncalo Guedes pada minit ke-60 selepas menerima umpanan cantik daripada Bernardo Silva di hadapan kotak penalti untuk menewaskan Jasper Cillessen.

Sebaik sahaja tamat permainan, Ronaldo menggunakan kesempatan yang ada untuk memujuk De Ligt menyertai Juventus. Pemain pertahanan Ajax itu dijangka akan meninggalkan Ajax dalam masa terdekat ini, dengan Barcelona menjadi pilihan utama untuk mendapatkan tandatangannya.

Rakaman televisyen menunjukkan Ronaldo menghampiri De Ligt dan kedua-duanya sempat berbual seketika. Ketika ditemu ramah selepas tamat perlawanan, De Ligt mendedahkan Ronaldo ada bertanya sama ada beliau berminat untuk bermain dengan Juventus.

Ronaldo bertukar profesion menjadi Ejen Ronaldo

“Saya mulanya tak berapa nak faham. Saya juga agak terkejut, jadi saya hanya mampu ketawa. Tetapi saya tidak cakap apa-apa.” Ujar De Ligt kepada stesen televisyen Belanda, NOS.

“Anda tidak menghiraukan perkara seperti itu sebaik sahaja perlawanan berakhir. Saya cuma berasa kecewa kerana kami kalah dan itu sahaja perkara yang bermain dalam fikiran saya pada ketika itu.”

Persembahan cemerlang De Ligt sepanjang kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini menyebabkan sahamnya naik mendadak dan menjadi buruan kelab-kelab ternama sekitar Eropah.

Pasukan gergasi seperti Barcelona dan Manchester United dilaporkan sangat berminat, tetapi peminat mungkin perlu menunggu lebih lama untuk mengetahui sebarang keputusan mengenai masa depan pemain tersebut kerana De Ligt tidak ingin mengambil keputusan yang terburu-buru.

“Saya tidak kisah. Jendela perpindahan akan bermula tidak lama lagi, jadi saya akan pergi bercuti terlebih dahulu dan berehat. Saya akan memastikan perpindahan itu berlaku dan kita akan lihat apa yang bakal terjadi.”

BACA:  Ronaldo Persoal Anugerah Puskas Yang Diterima Salah, Dakwa Gol Beliau Lebih Cantik