Ronaldo Akan Berdepan Dengan Kesukaran Bertemu Virgil Van Dijk

Legenda Liverpool yang juga merupakan individu paling suka cari gaduh dengan penyokong Manchester United, Graeme Souness percaya yang Cristiano Ronaldo bakal berdepan kesukaran ketika bertemu Virgil Van Dijk.

Souness menganggap legenda Manchester United itu sukar untuk mendapat rentak persembahan terbaiknya andai beliau berdepan dengan kereta kebal Liverpool dan Belanda itu.

Man United berjaya melengkapkan perpindahan sensasi Cristiano Ronaldo malam semalam, selepas mereka hanya memerlukan 24 jam sahaja untuk berunding.

Walau ramai yang teruja dengan kepulangan semula Ronaldo, bekas bintang Liverpool, Graeme Souness tampil mendedahkan keraguan beliau terhadap pemain kebangsaan Portugal itu.

Beliau tidak yakin yang pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu akan bawa perbezaan ketika beraksi dalam perlawanan besar, selepas menilai persembahannya ketika beraksi bersama Juventus.

Souness mendakwa yang pemain berusia 36 tahun itu tidak akan mampu bermain dengan baik andai berdepan dengan pertahanan yang hebat seperti Virgil Van Dijk.

Beliau mendedahkan kepada talkSPORT bahawa:

“Setiap pasukan yang berjaya akan ada pemain yang semua orang akan berusaha untuk mendapatkan bola semula.”

“Pasukan atasan tidak mempunyai pemain yang akan jadi penumpang dan jika kamu membawa Ronaldo pada ketika ini, dia tidak boleh beri kamu sesuatu yang kamu nak.”

“Saya ada sedikit keraguan tentang itu. Juventus bawa dia untuk menang Champions League, tapi dia tak boleh bawa perbezaan ketika beraksi dalam perlawanan besar.”

“Dia akan jaringkan gol, dia tentu akan, kerana dia ada otak dan dia memang sangat atletik sepanjang karier dia.”

“Tapi dalam perlawanan besar ketika bertemu pertahanan yang hebat…. Bayangkan kalau letakkan dia bertemu Virgil Van Dijk!”

Ronaldo tidak perlu menunggu lama untuk tutup mulut Souness memandangkan beliau bakal berdepan dengan Van Dijk pada 24 Oktober nanti.

Man United akan melayan kunjungan Liverpool dalam aksi saingan liga pada 24 Oktober nanti, dengan para peminat sudah tidak sabar untuk melihat pertembungan antara Ronaldo dan Van Dijk.

United pada musim panas ini telah melalui jendela perpindahan yang sungguh luar biasa dengan mereka berjaya membawa masuk tiga pemain berprofil tinggi.

Bermula dengan Jadon Sancho, United kemudian berjaya melengkapkan penandatanganan Raphael Varane dari Real Madrid.

Terbaru, mereka akhirnya berjaya melengkapkan perpindahan semula legenda kelab, Cristiano Ronaldo malam semalam.

Peminat tentunya teruja untuk melihat hasil gabungan semua pemain ini dan tidak sabar untuk melihat United menjulang kejuaraan pertama mereka di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Aura Ronaldo sememangnya sungguh luar biasa menakjubkan dengan saham kelab melonjak naik sebanyak 8% selepas satu jam beliau diumumkan sebagai pemain United.

Menakjubnya lagi, walau United dianggap kelab yang terkenal di muka bumi ini, namun populariti Ronaldo tidak ada tandingannya.

Satu jam sahaja selepas beliau diumumkan, pengikut United di laman instagram naik sebanyak satu juga, begitu juga dengan pengikut di laman twitter dan Facebook.

Semestinya penjualan jersi beliau nanti bakal mencatatkan hasil yang sama dengan United dijangka akan mencatatkan keuntungan berganda hasil penjualan jersi Ronaldo nanti.

Mampukah beliau memberi impak yang sama di atas padang? Rasanya tiada masalah untuk Ronaldo terus menjadi mesin peledak gol, namun taktikal pengurus bakal jadi pertaruhan.

Sementara untuk Van Dijk pula, beliau musim lalu terpaksa direhatkan hampir sepanjang musim kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Pada musim ini, beliau telah kembali menyertai skuad The Reds dan telah membantu Liverpool mencatatkan dua clean sheet dari dua perlawanan awal liga.

Liverpool selepas ini bakal berdepan dengan Chelsea dengan para peminat tidak sabar untuk melihat pertembungan antara Lukaku dan Virgil Van Dijk.

Ia tentunya bakal menjadi perlawanan yang sangat menarik untuk disaksikan dan bakal jadi penentu adakah Van Dijk bakal terus dominasi liga sebagai pertahanan paling kebal, atau Lukaku akan buktikan kemampuan beliau sebagai penyerang terhebat dunia pada ketika ini.

Sumber: SB

BACA:  Ronaldo Akhirnya Membuat Debut Dan Terus Lonjakkan Al Nassr Ke Puncak Liga