Ronaldo Akhirnya Insaf, Akan Turun Sertai Perlawanan Persahabatan Man United

Cristiano Ronaldo berkemungkinan besar akan melakukan penampilan pertamanya buat Manchester United di bawah kendalian Erik Ten Hag selepas memberikan petunjuk bahawa dia akan turun padang dalam perlawanan menentang Rayo Vallecano pada hari Ahad nanti.

Bintang Portugal ini belum pernah bermain dalam mana-mana perlawanan buat United dalam kempen pra-musim tahun ini selepas menghantar permohonan untuk berpindah pada awal bulan ini.

Pemain berusia 37 tahun itu telah memberitahu kelab bahawa dia mahu meninggalkan pasukan pada musim panas ini jika terdapat tawaran yang menarik dihantar untuknya, demi bermain dalam Liga Juara-Juara UEFA.

Sebelum bermula musim baru, United akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dalam tempoh dua hari – pada hari Sabtu menentang Atletico Madrid di Oslo, dan menentang Rayo Vallecano di Old Trafford pada hari Ahad.

Senarai pemain telah pun dikeluarkan oleh kelab untuk perlawanan menentang Atletico di mana tiada nama Ronaldo ditemukan.

Memandangkan dua perlawanan akan dimainkan dalam tempoh jarak yang dekat, maka para penyokong mula berteka-teki dan bergosip di applikasi media sosial, Instagram. Salah satu daripada perbincangan mereka adalah sama ada Ronaldo akan bermain atau tidak dalam perlawanan menentang Vallecano.

Tanpa mereka duga, tiba-tiba Ronaldo menjawab di ruang komen;

“Domingo o rei joga”

Selepas disemak di Google Translate, komen Ronaldo tersebut bermaksud – Ahad ni raja main, atau dalam bahasa Inggerisnya macam ni – Sunday King play.

Komen Ronaldo tersebut dibalas oleh cr7.o_lendario yang mengatakan :

Oh yaaaa, kami merindui awak!

Tidak dapat dipastikan lagi sama ada pemain ini akan diturunkan di dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian bersama-sama skuad pelapis yang akan diturunkan pada perlawanan yang akan menjadi perlawanan persahabatan terakhir sebelum bermulanya Liga Perdana Inggeris pada 7 Ogos nanti.

Lagi pula, bila mana Ronaldo menyebut sang raja – adakah ini merujuk kepada dirinya sendiri?

Sedangkan di Old Trafford, hanya ada satu sahaja raja iaitu Eric Cantona, atau gelarannya Eric le King.

Jadi, Ronaldo ni pandai-pandai dah kenapa gelarkan diri dia sebagai raja? Buat tebiat?

United bakal menerima kunjungan Brighton and Hoves Albion untuk perlawanan pertama mereka pada musim baru ini. Brighton mungkin akan tampil sedikit tempang pada tahun ini selepas beberapa pemain utama mereka telah dibida dan dibeli oleh pasukan-pasukan yang lebih kaya seperti Yves Bissouma yang dibeli Tottenham Hotspur dan kini Cucurella sedang diburu Manchester City.

Pun begitu, keupayaan pengurus Brighton, Graham Potter tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi pada musim lalu pengurus ini berjaya mengatur strategi yang membolehkan mereka membelasah Syaitan Merah 4-0, sekaligus menutup peluang Ronaldo dan rakan-rakan untuk beraksi di pentas UCL pada musim ini.

Selepas pulangnya Erik Ten Hag dan pasukan ke Manchester dari Australia, Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes telah mengadakan pertemuan muka ke muka dengan pengurus pasukan, sambil disertai oleh bekas pengurus pasukan suatu ketika dahulu – Pak Alex Ferguson.

Terdapat laporan yang mengatakan bahawa Ronaldo dan ejennya memujuk kelab supaya meletakkannya ke dalam senarai untuk dijual, atau membatalkan kontraknya yang berbaki lagi setahun kerana menurutnya, terdapat sebuah kelab yang benar-benar ingin menggunakan khidmatnya.

Banyak pihak yang mengatakan bahawa kelab tersebut adalah Sporting CP – kelab yang mula diwakili Ronaldo sewaktu zaman pensabunannya dulu.

Selain itu, terdapat khabar angin yang tersebar yang mengatakan bahawa tujuan Ronaldo ingin bermain di Liga Juara-Juara UEFA adalah demi melindungi rekod peribadinya daripada dipecahkan oleh Lionel Messi, yang kini bermain untuk Paris Saint Germain di Ligue 1.

Kalau melihat kepada prestasi Messi pada musim lalu, kerisauan Ronaldo ini sebenarnya tidak berasas kerana kapten Argentina itu hanya mampu menjaringkan 11 gol dalam kesemua pertandingan buat gergasi Perancis tersebut, berbanding Ronaldo yang menjaringkan 24 gol dalam kesemua pertandingan.

Apapun, sempena dengan Maal Hijrah, Ronaldo pun dah insaf nampaknya.

BACA:  Mane Dedah Alasan Beliau Tak Mahu Jalani Kehidupan Seperti Ronaldo