Ronaldo Bengang Dengan Fernando Santos Selepas Tertomos Di Kaki Serbia

Pemain legenda hidup Portugal, Cristiano Ronaldo jelas kelihatan bengang dan kecewa apabila dilihat telah melepaskan rasa tidak puas hati kepada Fernando Santos selepas tertomos di kaki Serbia.

Kekalahan 2-1 penuh emosi serta dramatik kepada Serbia menyaksikan Portugal telah gagal dan kehilangan slot automatik untuk ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2022 Qatar.

Bunga-bunga dan tanda awal Portugal akan tertomos mula kelihatan apabila mereka sekadar seri menentang Republik Ireland dalam perlawanan yang sepatutnya mengutip tiga mata penuh.

Turun dalam perlawanan terakhir menentang Serbia, Portugal hanya memerlukan keputusan seri dan semuanya tampak berjalan lancar ketika perlawanan masa sebenar hampir tamat.

Pada ketika itulah, di minit ke-90 Aleksandar Mitrovic menjaringkan gol kemenangan dan membawa Serbia mara secara automatik ke Qatar selaku juara kumpulan A.

Namun peluang Portugal untuk ke Piala Dunia 2022 masih belum tertutup kerana perlu bermain perlawanan tambahan apabila akan bermain di pusingan play-off.

Dalam satu video yang dirakan oleh TNT Sports Brazil selepas perlawanan jelas menunjukkan Cristiano Ronaldo tidak berpuas hati dan marah dengan pengurus Portugal Fernando Santos.

Tanda-tanda tantrum jelas kelihatan dari gerak badan serta reaksi muka Cristiano Ronaldo dan Fernando Santos menghampiri seperti mahu memujuk pemain kesayangannya itu.

Cristiano Ronaldo dan Fernando Santos sempat bersalam tanpa ada tanda kemesraan. Ronalda telah mendepakan tangan dan mencekak pinggang selepas bersalaman.

Fernando Santos terus berlalu pergi, mungkin tidak mahu mengeruhkan keadaan menyedari situasi itu dirakam.

Serbia dan Portugal turun untuk perlawanan terakhir kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 peringkat Eropah dengan kedudukan 17 mata terikat untuk menentukan siapa bakal menjadi juara kumpulan.

Di atas kertas secara mudahnya dan logiknya, Portugal pasti akan mara dengan barisan pemain handalan dunia seperti Diogo Jota, Bernardo Silva dan Ruben Dias berbanding kesebelasan utama Serbia.

Portugal bermula sangat baik dalam perlawanan di mana mereka hanya perlu mendapatkan keputusan seri sahaja untuk layak dan kemenangan sudah pasti sesuatu yang dicari.

Renato Sanchez telah meletakkan Portugal dihadapan seawal minit kedua perlawanan selepas menyempurnakan suapan daripada Bernardo Silva dengan satu rembatan padu penuh meyakinkan.

Dusan Tadic menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dengan satu rembatan luar kotak penalti yang gagal ditampan kemas Rui Patricio lalu bola tertampan ke dalam gawang.

Harapan Portugal untuk layak lebur secara automatik selepas Serbia berjaya memperoleh gol kemenangan yang sangat memedihkan di minit-minit akhir permainan menerusi Aleksandar Mitrovic.

Bintang Fulham itu berjaya menanduk masuk bola hantaran Dusan Tadic untuk memastikan kemenangan menjadi milik Serbia, seterusnya melayakkan diri mereka untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2022 nanti.

Serbia kini menyertai Jerman, Denmark, Brazil, Belgium, Perancis, Croatia, Sepanyol dan Qatar yang sudah mengesahkan tempat untuk mereka layak beraksi dalam saingan Piala Dunia 2022.

Portugal telah menyertai Wales, Scotland, Austria, North Macedonia dan Rusia yang akan beraksi dalam saingan play-off pada 24, 25, 28 dan 29 Mac 2022 yang menyediakan tiga lagi slot ke Qatar.

Piala Dunia Qatar merupakan edisi terakhir untuk Cristiano Ronaldo membuat kemunculan dalam pertandingan terbesar dalam dunia bola sepak itu.

Ronaldo akan berusia 41 tahun ketika Piala Dunia 2026 nanti dan ia agak mustahil untuk melihat beliau masih beraksi, dan tentunya Piala Dunia Qatar bakal jadi medan terakhir untuk beliau cipta sejarah bersama negaranya yang tercinta.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, Cristiano Ronaldo rebah dan menangis kerana kecewa beliau gagal membawa negaranya untuk layak secara automatik beraksi di pentas Piala Dunia.

Laluan mereka di pusingan play-off juga bukan mudah dan kini Portugal perlu memberikan segalanya untuk mencatatkan kemenangan, dan melayakkan diri mereka beraksi di pentas Piala Dunia tahun hadapan.

BACA:  Media Arab Saudi Lapor UEFA Sedang Pertimbang Al Nassr Untuk Sertai Champions League Musim Hadapan