Ronaldo Beri Amaran Pada PSG, Yang Messi Bukan Jaminan Menang Champions League

Bekas pemain terbaik tahunan FIFA, Ronaldo Nazario memberi amaran kepada PSG yang Messi bukan jaminan untuk mereka memenangi Champions League.

Ronaldo menegaskan yang Paris Saint Germain tidak boleh begitu yakin yang menandatangani Messi bakal menjamin kejayaan untuk mereka menjulang kejuaraan Champions League.

Bekas pemain Barcelona dan Real Madrid yang juga dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman itu turut mendedahkan tentang beberapa faktor yang bakal menentukan kemampuan sesebuah kelab itu untuk memenangi gelaran Eropah.

Beliau menegaskan yang kebergantungan terhadap seseorang pemain sahaja sebenarnya sangat berisiko dan berbahaya untuk kelab.

“Ia masih terlalu awal untuk katakan siapa yang boleh menang Champions League.”

Jelas R9 dalam satu temu bual bersama Diario AS.

“Saya bermain bersama Real Madrid selama hampir lima musim, walau berada dalam skuad Galacticos, namun kami tak pernah menang Champions League.”

“Kemenangan itu tidak pernah mampu diramal, walau kamu mempunyai pemain terbaik dalam skuad. Sama seperti PSG sekarang.”

Walaupun kariernya dianggap sangat berjaya dengan Ronaldo berjaya memenangi pelbagai kejuaraan dan anugerah individu, namun beliau sebenarnya tidak pernah menjulang kejuaraan Champions League.

Legenda berusia 44 tahun yang kini merupakan Presiden untuk pasukan dari La Liga, Real Valladolid itu hanya pernah memenangi gelaran UEFA Cup dan UEFA Cup Winners Cup pada tahun 1997 dan 1998 sahaja.

Bagi Messi pula, beliau telah berjaya memenangi empat gelaran Champions League dalam kariernya, dan turut menjaringkan gol dalam perlawanan akhir ketika menewaskan setan merah pada tahun 2009 dan 2011.

Ronaldo tegaskan Messi bukan jaminan untuk PSG menangi Champions League

Kelab barunya pula masih belum pernah menjuarai saingan Champions League dengan pencapaian terbaik mereka hanyalah layak ke perlawanan akhir pada tahun 2020 yang lalu.

Walau bagaimanapun, seorang lagi bekas bintang Barcelona, Juan Roman Riquelme pula percaya yang Messi bakal membawa perubahan baru ke dalam skuad Mauricio Pochettino.

Beliau turut yakin yang Messi akan membantu Paris Saint Germain untuk menjulang kejuaraan Champions League pertama mereka pada musim ini.

“Saya harap Messi akan terus gembira di Paris.”

Jelas Riquelme pada ESPN.

“Saya tak tahu jika ia sedikit aneh, tapi kita semua teruja untuk melihat beliau bergembira bersama Kylian Mbappe dan Neymar.”

“Jika mereka tidak memenangi Champions League sekarang, mereka tidak mungkin akan memenangi selepas ini.”

“Saya rasa Messi akan memenangi Champions League bersama Paris Saint Germain dan kemudian dia akan bersara di Nou Camp.”

Aksi pertama Messi dalam saingan Champions League bersama kelab barunya adalah pada Rabu hadapan, dengan mereka bakal bertemu dengan Club Brugge.

Messi kemudiannya akan bertemu semula dengan bekas pengurusnya, Pep Guardiola pada minggu hadapannya di Parc des Princes.

Messi kini sedang beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina dan akan kembali menyertai kem PSG selepas tamat aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Tindakan Rakitic Memuat Naik Gambar Messi Dikecam Peminat Barcelona