Ronaldo Cipta Rekod Dan Sejarah Baru Ketika Aksi Debutnya

Cristiano Ronaldo cipta rekod dan sejarah baru dalam saingan Premier League, ketika aksi debutnya bertemu Newcastle United malam semalam.

Di usia 36 tahun 218 hari, Cristiano Ronaldo menjadi pemain paling tua yang menjaringkan dua gol dalam saingan Premier League, sejak kali terakhir dilakukan oleh Graham Alexander yang beraksi untuk Burnley pada April 2010 di usia 38 tahun 182 hari.

Cristiano Ronaldo juga turut menjadi satu-satunya pemain dalam sejarah yang berjaya menjaringkan lebih 30 gol setahun sejak 15 tahun lalu.

Ronaldo mania di ibu kota Manchester jelas sekali tidak mampu dibendung dengan para peminat begitu teruja mahu melihat legenda kelab mereka melakukan debut keduanya hari ini.

Pemain kebangsaan Portugal itu disambut penuh meriah oleh para penyokong, dengan rata-rata penyokong yang hadir memakai jersi tertulis nama Ronaldo di belakang mereka.

Para peminat jelas sangat berharap agar Ronaldo berjaya memberikan aksi terbaiknya dalam perlawanan ini, seterusnya melalui debut kedua yang bakal diingati oleh semua orang.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu beraksi dengan baik pada awal permainan, namun beliau gagal untuk menjaringkan gol mahupun melakukan percubaan merbahaya.

Pada minit kecederaan aksi babak pertama permainan, Ronaldo berjaya menghiburkan para peminat dengan menjaringkan gol pertamanya hasil jaringan tapping yang sungguh tenang.

Ronaldo menunjukkan ketenangan dan pengalaman yang beliau miliki dengan bijak berada di hadapan gol dan melepasi pemain pertahanan untuk menunggu bola hantaran dari Greenwood.

Bola hantaran Greenwood gagal ditangkap kemas oleh Freddie Woodman, seterusnya bola tersebut muntah dan tepat menuju ke arah Ronaldo yang sudah bersedia di hadapan gol Newcastle.

Ronaldo tenang menewaskan Freddie untuk membuka akaun golnya, dengan beliau kemudiannya berlari ke sudut tepi padang untuk meraikan gol jaringannya dengan gaya keraian ikonik beliau.

Pada aksi babak kedua permainan, Newcastle United berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Javier Manquillo pada minit ke-56 permainan.

Ronaldo kemudian membuktikan mengapa beliau perlu digeruni dengan beliau meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-62 permainan.

Ia merupakan gol yang sangat cantik dengan Ronaldo sekali lagi menggunakan pengalaman beliau untuk mencari ruang dan menyudahkan hantaran cantik Shaw, seterusnya bantu United kembali mendahului perlawanan.

United kemudiannya berjaya memperoleh dua lagi gol di penghujung permainan hasil jaringan Bruno Fernandes dan Jesse Lingard.

Debut yang sungguh sempurna untuk Cristiano Ronaldo dengan beliau berjaya menjaringkan dua gol, seterusnya membantu setan merah memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 4-1.

Lebih manis lagi, kemenangan itu turut membawa United untuk melonjak ke kedudukan pertama dalam carta liga, seterusnya menghidupkan peluang mereka untuk menjulang kejuaraan pertama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Selain Ronaldo yang berjaya mencipta sejarah baru Premier League, rakan sepasukannya Paul Pogba turut cemerlang mencipta sejarah baru dalam saingan EPL, selepas mencatatkan tujuh assists dari empat perlawanan awal liga.

Dua gol yang beliau jaringkan dalam perlawanan ini menjadikan Ronaldo kini sudah menjaringkan enam gol dalam saingan Premier League bertemu Newcastle.

Hanya Aston Villa (8 gol) sahaja pasukan yang paling kerap dibolosi oleh Cristiano Ronaldo dalam saingan Premier League setakat ini.

Ternyata keputusan United menandatangani semula Cristiano Ronaldo merupakan satu keputusan yang bijak dan ia sudah menampakan hasil yang mereka impikan.

Pemain berusia 36 tahun itu berjaya memberikan impak yang positif sejak dari perlawanan pertama beliau lagi dan tentunya para peminat sudah tidak sabar untuk melihat apa lagi yang bakal beliau sumbangkan selepas ini.

Sumber: Opta

BACA:Β  Pengurusan Tertinggi Man Utd Terpaksa Campur Tangan Redakan Ketegangan Di Antara Ten Hag Dan Sancho