Ronaldo Dan Bruno Fernandes Dikecam Kerana Merengek dan Tidak Hargai Penyokong

Gary Neville dan peminat Manchester United telah mengecam Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes yang merengek sepanjang perlawanan dan tidak menghargai penyokong yang hadir di St James Park.

Gary Neville telah membedal Cristiano Ronaldo atas apa yang dilakukannya sepanjang perlawanan ketika Manchester United menentang Newcastle.

Selepas kembali beraksi dalam Liga Perdana berikutan wabak Covid-19, United mempamerkan aksi yang kurang memberangsangkan di St James’ Park apabila mereka diikat 1-1 oleh Newcastle.

Penyerang Uruguay yang kembali cergas, Edinson Cavani menyelamatkan maruah Setan Merah selepas Allan Saint-Maximin meletakkan Newcastle United di hadapan pada awal permainan.

United juga terhutang budi kepada David de Gea dan tiang gol – yang menghasilkan lebih daripada satu penyelamatan hebat – manakala Ronaldo dan mereka yang berada di bahagian serangan sangat bergelut.

Ronaldo telah digandingkan dengan Mason Greenwood, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford juga bermula dari kesebelasan utama.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu tidak dapat menambah 13 golnya musim ini, tetapi Ronaldo sepatutnya bertindak balas secara berbeza apabila wisel sepenuh masa dibunyikan.

Bekas rakan sepasukan Ronaldo dan pundit Sky Sports, Gary Neville telah mengecam tindakan Ronaldo terus ‘lari’ menyusuri terowong selepas perlawanan.

“Kita bercakap tentang bahasa badan. Kita bercakap mengenainya pada awal musim apabila Ronaldo melarikan diri terus ke terowong pada penghujung perlawanan menentang Everton.”

“Dia melarikan diri lagi malam ini. Dia melarikan diri ketika menentang Watford apabila semua orang tahu pengurus (Ole) akan dipecat. Dan sama juga ketika lawan Norwich.”

Gary Neville turut mengecam Bruno Fernandes yang merengek walaupun main macam setan dengan hantaran bodoh tak masuk akal. Ronaldo merengek kerana kecewa tidak mendapat bola.

“Bruno Fernandes merengek juga. Mereka adalah dua pemain senior. Ia memusnahkan pemain muda apabila dua pemain terbaik memandang setiap pemain lain seperti mereka tidak cukup bagus.

“Saya tidak kisah bagaimana anda bermain, anda perlu pergi ke padang dan bertepuk tangan kepada peminat pada penghujung permainan. Pergi kepada mereka mereka, terutamanya apabila anda adalah pemain terbaik di dunia dan salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.”

Gary Neville memuji sikap Cavani yang bukan sahaja tidak merengek malahan membawa aura positif dalam pasukan dan membantu pemain lain di padang.

“Cavani tidak berkelakuan begitu. Saya tidak fikir Cavani akan layu dengan kehadiran Ronaldo atau Fernandes, saya fikir dia menentang sikap mereka dan membantu pemain muda lain di atas padang. Dia perlu berada di atas padang.”

Gary Neville meneruskan kecamanan ke atas semua pemain yang koyak dan merengek secara berjemaah selepas gol pendahuluan Newcastle United oleh Allan Saint-Maximin.

“Mereka merengek sesama sendiri! Mereka sekumpulan perengek! Sekumpulan perengek!”

“Perhatikan mereka di atas padang, secara jujur, tangan di udara, mengeluh tentang segala-galanya! Sejujurnya, mereka benar-benar mengejutkan di luar sana pada separuh masa pertama.”

Pemecatan Ole Gunnar Solskjaer masih berbekas di hati Neville dan menyifatkan jika pemain Setan Merah terus beraksi sebegitu akan lebih banyak pengurus akan dipecat.

“Mereka telah sebabkan pengurus terakhir dipecat! Ralf Rangnick tidak akan dipecat, dia hanya mempunyai beberapa minggu bersama mereka, tetapi secara jujurnya, mereka akan membuatkan lebih banyak pengurus yang akan dipecat, banyak, jika mereka meneruskan permainan seperti itu.”

“Mereka telah menentang dua pasukan terbawah liga dan mereka tidak menunjukkan apa-apa kepada kami! Sebenarnya tiada kaitan dengan pengurus. Ia ada kaitan dengan pemain di padang. Tidak cukup bagus.”

Jika berterusan begini tidak mustahil Ralf Rangnick akan dipecat atau akan mengangkat kaki.

Setan Merah Terus Pamer Aksi Buruk Menentang Pasukan Bawahan

Selepas perlawanan menentang Norwich City yang berada ditangga tercorot, Setan Merah terus menampilkan aksi buruk menentang satu lagi pasukan bawahan Newcastle United.

Manchester United bernasib baik dapat meraih tiga mata penuh menentang Norwich City dan sekali lagi bernasib baik meraih mata menentang Newcastle United.

Harry Maguire terus menghiburkan dunia bola sepak dengan aksi kelakarnya yang hampir mengundang padah apabila telah terlepas bola dengan mudah tetapi tidak dihukum.

Raphael Varane tidak mahu kalah kepada Harry Maguire apabila turut membuat kelakar apabila hilang bola mudah kepada Sean Longstaff dan kali ini mengundah padah.

Sean Longstaff terus menghantar bola kepada Allan Saint-Maximin yang mudah memperdayakan Maguire yang kelam kabut sebelum melepaskan rembatan cantik untuk gol pertama.

Newcastle United meneruskan serangan tetapi Manchester United yang sudah lama tidak beraksi sudah mendapat rentak.

Serangan bertali arus cuba dilancarkan namun agak sukar untuk menembusi benteng Newcastle United yang masih kebal setakat ini.

Selepas 30 minit permainan, Manchester United terus mati kutu, bahagian tengah boleh dikatakan mati terus.

Bruno Fernandes, Fred dan Scot McTominay gagal menjadi penghubung kepada bahagian serangan dengan hantaran demi hantaran yang kelaut.

Raphael Varane sekali lagi meletakkan Manchester United dalam bahaya apabila kehilangan bola dengan hantaran entah ke mana mujur ada Maguire.

Marcus Rashford boleh tahan setannya dan mengarut tak tentu hala serta terlalu fancy.

Pada minit ke-37, Newcastle United berjaya menggandakan kedudukan hasil jaringan Callum Wilson namun penjaga garisan sudah mengangkat bendera.

Callum Wilson sudah berada dalam kedudukan offside ketika menerima hantaran dari Allan Saint-Maximin. Lega bukan?

Serba tidak menjadi Manchester United dan entah apa dibuat Ralf Rangnick, langsung tiada keserasian antara pemain.

Ralf Rangnick membuat dua pertukaran di awal separuh masa kedua dengan memasukkan Edison Cavani dan Jadon Sancho, Fred dan Mason Greenwood yang tidak berfungsi dikeluarkan.

Callum Wilson yang mengalami kecederaan dipenghujung babak pertama juga dikeluar dan Jacob Murphy masuk mengganti.

Allan Saint-Maximin terus mengucar-kacirkan pertahanan Manchester United usai perlawanan bersambung dan hampir saja menggandakan kedudukan.

Hantaran Emil Krafth telah mencipta satu peluang keemasan namun Allan Saint-Maximin gagal menyempurnakan Voli apabila bola lemah tepat ke tangan David De Gea.

Percubaan terbaik sepanjang perlawanan ini akhirnya berjaya dijelamakan oleh Bruno Fernandes dengan percubaan jarak jauh memaksa Martin Dubravka melakukan tepisan.

Tanpa Fred di padang, Manchester United terus merapu meraban ketika permainan sudah melepasi tempoh 60 minit dan Newcastle United bertahan dengan yakin dengan sekali-sekali datang dengan counter attack.

Joelinton melakukan serangan balas secara solo membawa bola dari bawah dan berjaya melakukan hantaran cantik ke ruang kosong.

Ryan Fraser tiba tanpa dikawal telah melepaskan rembatan tepat ke David De Gea, kualiti penyudah mencemburui Newcastle United.

Kemudian Allan Saint-Maximin pula datang mencuba dengan rembatan jarak jauh memaksa De Gea bekerja keras menepis. Ryan Fraser sedikit lambat menyambar bola muntah.

Bermula dari counter attack Joelinton, Newcastle semakin yakin menyerang.

Edison Cavani mengajar rakan-rakan bagaimana bermain bola sepak apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71.

Gol berpunca dari hantaran jauh Harry Maguier merentasi padang mencari Diogo Dalot yang melakukan larian di sebelah kanan padang.

Cantik hantaran Dalot menemui Cavani yang tidak dikawal. Rembatan pertama Cavani berjaya dihadang, bola muntah tiba kembali.

Kali ini peluang ini disudahkan Cavani dengan tenang.

Kemudian hantaran cantik Alex Telles gagal disudahkan Cavani apabila bola sempat dikeluarkan ketika hampir melepasi garisan gol.

Gol penyamaan Cavani kembali memberi nafas kepada Manchester United untuk tidak sekadar berkongsi mata.

Ketika permainan berbaki kurang 10 minit Allan Saint-Maximin telah dikeluarkan kerana mengalami kecederaan.

Kealpaan Bruno Fernandes hampir meletakkan Newcastle united kembali mendahului, sayang percubaan Jacob Murphy terkena tiang.

Bola masih hidup, Miguel Almiron melencongkan bola De Gea sekali lagi menjadi penyelamat dengan aksi menyelamat bertaraf dunia.

Newcastle United tidak sekadar mahu seri dan mahukan tiga mata lalu kembali menyerang dengan masa kecederaan selama 6 minit diberikan pengadil.

Martin Dubravka membuat kesilapan budak sekolah gagal menangkap kemas bola mudah dan segera disambar Jadon Sancho yang menolak kepada Cavani.

Hantaran Cavani cuba mencari Ronaldo sedikit kuat dan terus dikeluarkan pemain Newcastle. Ronaldo tantrum lagi entah untuk keberapa puluh pagi ini.

Setan Merah sangat bernasib baik meraih satu mata walaupun menguasai 70 peratus perlawanan namun Newcastle berbisa dengan 8 percubaan tepat berbanding Setan Merah hanyap empat.

Allan Saint-Maximin secara solo telah menghasilkan 4 percubaan tepat menyamai percubaan tepat keseluruhan Setan Merah.

Newcastle: Dubravka, Manquillo, Schar, Lascelles, Krafth, Fraser, Shelvey, Sean Longstaff, Joelinton, Saint-Maximin, Wilson

Subs: Woodman, Gillespie, Hendrick, Murphy, Almiron, Anderson, Gayle, White

Manchester United: De Gea, Dalot, Varane, Maguire, Telles, McTominay, Fred, Fernandes, Rashford, Greenwood, Ronaldo

Subs: Henderson, Jones, Cavani, Shaw, Sancho, Wan-Bissaka, Matic, Van de Beek, Elanga

BACA:  Coutinho: Neymar & Salah Mampu Gugat Dominasi Ronaldo-Messi