Ronaldo Dianggap Punca Kejatuhan Man Utd Hingga Menyebabkan Solskjaer Dipecat

Penandatanganan semula Cristiano Ronaldo di akhir-akhir jendela perpindahan pada Ogos lalu dianggap penyebab mengapa segala perancangan Ole Gunnar Solskjaer musnah.

Ronaldo dianggap punca utama Solskjaer dipecat dan menyebabkan rancangan pengurus dari Norway itu termasuk penggunaan Jadon Sancho jadi huru-hara.

Ronaldo tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terbaik United sepanjang musim ini, dan beliau juga beberapa kali menyelamatkan setan merah dari berdepan dengan kekalahan.

Beliau dua kali menyelamatkan Man Utd ketika dengan menjaringkan gol penting ketika aksi bertemu Villarreal dan Atalanta dalam saingan Champions League.

Pada awal musim panas lalu, United sama sekali tidak mempunyai perancangan untuk menandatangani semula Cristiano Ronaldo.

Selepas 12 tahun bintang Portugal itu meninggalkan Old Trafford, dengan tiba-tiba selepas tular berita beliau akan ke Etihad, United segera berunding untuk mendapatkan khidmatnya pada minggu terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup.

Semuanya berpunca selepas Ronaldo dikaitkan bakal menyertai Manchester City pada musim panas lalu, dengan Sir Alex Ferguson dan Rio Ferdinand segera menghubungi beliau untuk meyakinkannya agar kembali ke Old Trafford.

Ronaldo akhirnya bersetuju dan United segera berunding dengan Juventus untuk memuktamadkan perjanjian menandatangani pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu.

Walaupun beliau berjaya menjaringkan sembilan gol dari 13 perlawanan sepanjang musim ini, Paul Merson mendakwa yang penandatanganan semula Ronaldo sebenarnya merosakkan perancangan Solskjaer pada musim panas lalu.

“Saya kasihan dengan Ole Gunnar Solskjaer.”

Jelas bekas pemain penyerang Arsenal itu di Sky Sports.

“Dia sudah ada rancangan sejak dari awal musim, dia habiskan saingan musim lalu di kedudukan kedua. Dia kejar Jadon Sancho sejak sekian lama, dia dapat beli, dan dia dapat guna Edinson Cavani setahun lagi.”

“Kemudian, dia diberikan Ronaldo. Saya rasa benda itu langsung tak ada dalam perancangan dia. Sejak dari hari pertama, mereka bukanlah pasukan yang hebat dengan adanya Ronaldo dalam skuad.”

“Kamu tak akan mampu catatkan 29 kemenangan di tempat lawan kalau tak bermain dengan cara tertentu, dan membawa masuk Sancho memberi mereka senjata baru untuk bermain dengan cara itu.”

“Dengan Ronaldo ada di atas sana, kamu tak ada senjata untuk bermain serangan balas lagi. Dan Bruno Fernandes merupakan pemain terbaik mereka musim lalu, dia susah nak dapatkan sentuhan dia musim ini.”

“Ia satu tamparan untuk Solskjaer. Dia sudah ada rancangan, dan situasi Ronaldo mengubah semuanya jadi luar kawalan, sebelum musim baru ini bermula.”

Merson turut menegaskan yang penandatanganan itu bukanlah salah Ole Gunnar Solskjaer, kerana ada dakwaan yang menyatakan bahawa pembelian Ronaldo tetap diteruskan oleh pihak kelab walau ramai staff yang bantah.

Laporan tersebut mendakwa bahawa pihak staff memberitahu Solskjaer tentang kekurangan Ronaldo ketika membantu barisan pertahanan dan bintang Portugal itu juga tidak bekerja keras.

Hal tersebut sangat diperlukan untuk melakukan serangan balas yang mana ia merupakan corak permainan yang diamalkan oleh United bawah kendalian Solskjaer.

Corak permainan seperti itulah yang berjaya membawa United ke aksi perlawanan akhir Europa League, dan corak permainan sama jugalah yang membantu United mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua musim lalu.

Paul Merson sepertinya mempunyai pandangan yang sama seperti Carlton Cole yang turut percaya Ronaldo punca persembahan United merosot.

Carlton Cole percaya pengurus baru United perlu menjual Ronaldo terlebih dahulu

Bekas bintang Premier League, Carlton Cole menyokong sepenuhnya Brendan Rodgers untuk menjadi pengurus Manchester United.

Beliau turut mendedahkan kepada talkSPORT tentang mengapa beliau percaya yang Rodgers sepatutnya menjual saja Cristiano Ronaldo sebaik beliau tiba di Old Trafford nanti.

“Penyokong Leicester tentang akan benci saya tentang ini, tapi saya rasa Brendan Rodgers boleh masuk dan saya rasa dia merupakan individu yang tepat untuk mengendalikan Man Utd.”

Jelas bekas penyerang West Ham itu di The Sports Bar.

“Buang Ronaldo, dia (Rodgers) perlu untuk singkirkan dia terlebih dahulu.”

“Alasannya adalah kerana jika kamu ada seseorang seperti Brendan, dia sudah tentu mahu membina skuad untuk masa hadapan.”

“Mereka ada beberapa prospek dalam skuad yang mana mereka tak dapat main pun, pemain yang sangat bagus dan saya dengar ada berita yang kata Jude Bellingham juga akan sertai mereka.”

“Kamu perlu rancang untuk masa depan, adakah Ronaldo masa depan Man Utd?”

“Kita tahu bagaimana dia mahu bermain, Brendan Rodgers suka bermain high press, dia suka pemain yang ada tenaga, bekerja keras dalam situasi off the ball, dia suka semua itu.”

“Dia akan tendang saja pemain yang tak sesuai dengan formasi atau sistem dia, dia memang perlu melakukan itu jika tidak dia seolah-olah melanggar prinsip dia sendiri.”

Di usia Ronaldo yang kini berusia 36 tahun, pressing dan bekerja keras untuk memenangi bola bukan keutamaan untuk pemain dari Portugal itu.

Kerana itu jugalah Cole percaya yang Rodgers tak ada pilihan selain dari melepaskan Cristiano Ronaldo, walaupun ia tugas yang sukar untuk dilakukan.

Rodgers telah sudah membuktikan sebelum ini yang beliau sentiasa bersedia untuk membuat keputusan yang besar demi kebaikan pasukan.

Itulah apa yang telah beliau lakukan ketika kariernya bersama Liverpool sebelum ini bersama legenda kelab, Steven Gerrard.

Berkait Ronaldo, Cole kemudiannya menyatakan bahawa:

“Dia selalu menjaringkan gol, tapi kamu perlu main ikut kekuatan dia dan bermain mengikut kekuatan dia adalah bukan kekuatan untuk Manchester United.”

“Man Utd perlu bermain high pressing, mereka perlukan tenaga, sejujurnya mereka ada benda itu pada musim lalu, mereka memang ada.”

“Kemudian masuk musim ini dan mendapatkan Ronaldo, sebab ia jelas kamu tidak akan menolak kalau Ronaldo mahu datang, jadi sebab itu mereka terima.”

“Ole, saya tak rasa dia mampu fikirkan cara bagaimana untuk bermain macam musim lalu dengan adanya Ronaldo untuk membina skuad yang baik.”

“Ronaldo merupakan pemain utama sekarang dan dia menjaringkan semua gol penting, tapi itu tak membantu dia langsung, memulakan saingan musim ini dengan Ronaldo, bagi saya ia bukan yang baik untuk United.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Salah Jadi Mangsa Obsesi Dunia Bola Sepak Terhadap Ronaldo Dan Messi