Ronaldo Hanya Berminat Sertai Kelab Besar, Bukan Bersara Di Asia

Cristiano Ronaldo akhirnya membuka mulut mengenai punca sebenar beliau keluar dari Real Madrid untuk berpindah ke Juventus dalam satu sidang media eksklusif.

Ronaldo mengejutkan dunia bola sepak apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Real Madrid selepas 9 tahun bersama kelab tersebut. Ronaldo diumumkan secara rasmi sebagai pemain Juventus pada hari Isnin lalu dengan Real Madrid dilaporkan menerima sekitar €100 juta bagi yuran perpindahan Ronaldo.

Ronaldo tidak berminat mengikut jejak langkah Xavi dan Oscar berkelana ke Asia untuk mendapatkan kontrak yang lumayan

Ramai yang terkejut dengan keputusan Ronaldo memilih Juventus tetapi beliau memilih untuk menyertai kelab juara Itali itu kerana saiz kelab itu yang besar, dari mengambil pilihan mudah untuk bersara di China atau Qatar.

Ketika bercakap dalam sidang media pertamanya sebagai pemain Juventus, Ronaldo memberitahu niatnya untuk terus beraksi di tahap tertinggi dan enggan mengambil pilihan mudah dengan menandatangani kontrak lumayan dengan mana-mana kelab kaya di Asia.

“Saya tidak berasa sedih tinggalkan Real Madrid kerana Juventus juga sebuah kelab yang besar. Dengan penuh rasa hormat, pemain lain pada usia saya kebiasaannya akan berhijrah ke Qatar atau China. Sebab itulah saya bersyukur kerana membenarkan saya menyertai kelab besar seperti Juventus.”

Ronaldo tiba di Turin dan menerima sambutan hangat daripada puluhan ribu peminat Juventus yang teruja

Ramai pemain ternama dunia memilih Asia sebagai destinasi untuk bersara dengan matlamat mencari sebanyak mungkin duit sebelum mereka menggantung kasut. Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez kini sedang bermain di Qatar bersama kelab Al-Sadd.

Liga Super China menjadi destinasi paling popular bagi pemain yang ingin mencari duit poket lebih terutamanya pemain berasal dari benua Amerika Selatan. Carlos Tevez, Oscar, Paulinho, dan Hulk antara contoh yang berhijrah ke Asia semata-mata kerana duit.

Selain itu, Andres Iniesta dan Fernando Torres juga memilih untuk bermain di Jepun musim hadapan selepas menerima tawaran lumayan untuk bermain di J-League.

Ronaldo juga memuji tindakan Juventus yang berani mengeluarkan duit yang banyak untuk menandatangani pemain berusia 33 tahun.

“Saya berasa gembira berada di sini, ia merupakan cabaran yang besar. Seria A merupakan liga yang sukar tetapi saya akan bersedia.”

Tu dia. Pemain atas 30 tahun paling mahal di dunia

“Usia tidak penting, saya masih lagi berasa baik dan bersemangat. Saya cukup teruja dan akan berusaha sebaik mungkin seperti yang saya biasa lakukan. Saya akan memberikan permainan terbaik dan berharap mampu memenangi semua piala yang ada.”

“Juventus telah memberikan peluang yang menakjubkan dan saya amat bersyukur dengannya. Saya dapat lihat Juventus merupakan kelab yang telah meraih banyak kejayaan, mereka berjaya memenangi Scudetto, piala domestik Itali dan pernah mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.”

“Saya sangat bangga berada di sini dan juga bangga dengan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap saya. Saya berharap mampu membawa kelab ini ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.”

BACA:  Keputusan Pendakwaraya Itali Bakal Tamatkan Karier Paul Pogba