Ronaldo: Juventus Tidak Perlukan Bale Atau Asensio, Tetapi Marcelo Amat Dialu-alukan

Pemain sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo berkata beliau tidak berasa pasukannya memerlukan pemain seperti Gareth Bale atau Marcos Asensio, tetapi kualiti yang ada pada Marcelo amat dialu-alukan bagi memperkuatkan lagi skuad Juventus.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak 5 kali itu tidak melihat sebarang keperluan untuk Juventus cuba mendapatkan mana-mana pemain dalam pasukan lamanya, kecuali Marcelo kerana pemain bek kiri itu mampu meningkatkan lagi tahap kualiti skuad tersebut.

Asensio ngan Bale ? X payah lah

Selepas 9 tahun bersama Los Blancos, Ronaldo akhirnya meninggalkan Sepanyol untuk menyertai Juventus dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah €100 juta.

Berikutan kejayaan Ronaldo yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di Itali, terdapat spekulasi yang mengatakan Juventus akan cuba untuk mendapatkan lebih ramai pemain Real Madrid untuk dibawa masuk ke dalam pasukan mereka.

Antara pemain yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus adalah pemain tengah Colombia yang kini dipinjamkan kepada Bayern Munich, James Rodriguez. Selain itu, pemain antarabangsa Wales, Gareth Bale dan pemain muda Sepanyol, Marcos Asensio juga berada dalam pertimbangan Juventus.

Walau bagaimanapun, apabila wartawan meminta Ronaldo untuk memberikan komen mengenai spekulasi tersebut, Ronaldo berkata Juventus tidak memerlukan Bale, Asensio atau James kerana mereka sudah mempunyai kualiti yang mencukupi di bahagian serangan.

Marcelo takpe, fist bump buddy

“Saya tahu anda ada menulis mengenai James, Bale, dan Asensio tetapi secara jujurnya, Juventus tidak memerlukan mana-mana pemain.” Ujar Ronaldo kepada Gazzetta dello Sport.

“Anda perlu tanya kepada presiden [Juventus]. Mengenai perancangan masa depan, saya tidak tahu menahu.”

“Marcelo adalah pemain yang kuat, kami membuka pintu kepada pemain yang bagus dan Marcelo adalah salah seorang daripadanya.”

Mungkin jendela perpindahan Januari ini masih terlalu awal untuk melihat Marcelo kembali bersatu dengan Ronaldo. Tambahan pula Real Madrid mengalami penurunan prestasi musim ini dan sudah tentu tidak akan melepaskan pemain berpengaruh seperti Marcelo yang menjadi tunjang utama pasukan sejak sekian lama.

Bagi Ronaldo pula, beliau memasang niat untuk membantu Juventus meraih kejuaraan Eropah selepas sekian lama mandul dan tidak kisah jika beliau terpaksa menewaskan Real Madrid untuk mencapai misi tersebut.

“Bagi saya, segalanya masih sama. Perkara lepas adalah perkara lepas, sekarang saya mahu menang bersama Juventus.”

Ronaldo tak kisah jika beliau perlu tewaskan Real Madrid untuk bantu Juventus menangi Liga Juara-Juara Eropah

“Saya perlu mempertahankan warna kelab ini dan selebihnya saya tidak kisah.”

“Jika saya bermain menentang Real Madrid, saya akan bermain sebaik yang mungkin.”

Real Madrid bukan bekas kelab pertama yang dihadapi Ronaldo musim ini. Beliau telah bermain menentang Manchester United dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, dimana Juventus menang di tempat lawan tetapi tewas di gelanggang sendiri.

BACA:  Kisah Sebenar Pertemuan Dingin Ronaldo dan Bruno Di Kem Portugal