Ronaldo: Kurang Pengalaman Punca Real Madrid Kalah

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo telah menamakan 3 bekas pemain yang Real Madrid lepaskan terlalu awal dan menjadi punca utama prestasi pasukan yang semakin merosot musim ini.

Real Madrid telah memenangi hampir semua pertandingan yang mereka sertai musim lepas dan tiada keputusan perlawanan yang dapat diterima peminat mereka selain menang.

Akan tetapi, musim ini menyaksikan Real Madrid bergelut untuk mengekalkan prestasi cemerlang mereka dan telah tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Girona dan terbaru, Tottenham Hotspurs.

Kekalahan pasukan kendalian Zinedine Zidane hujung minggu lalu kepada Girona bermakna mereka kini ketinggalan 8 mata di belakang musuh ketat dan pendahulu liga, Barcelona.

Masalah prestasi Real Madrid semakin parah kelmarin selepas tewas 3-1 di tangan Spurs dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Wembley.

Los Blancos bagaimanapun boleh menarik nafas lega kerana satu lagi pencabar dalam kumpulan mereka, Borussia Dortmund hanya mampu seri dalam pertemuan menentang APOEL.

Keputusan Dortmund tersebut bermakna Real Madrid masih boleh melayakkan diri ke pusingan seterusnya, tetapi kemungkinan besar mereka bakal menduduki tangga kedua kerana Spurs sudah mengesahkan tempat mereka di pusingan 16 terakhir.

Salah satu punca utama mengapa gergasi Eropah ini bergelut adalah kerana masalah prestasi yang dialami Cristiano Ronaldo. Bintang Portugal ini tidak berada dalam prestasi terbaiknya dalam beberapa perlawana lepas dan hanya mampu meraih 1 gol setakat ini dalam La Liga.

Hancur Hatiku. (Telegraph.Co)

Walaupun Ronaldo berjaya menjaringkan gol saguhati Real Madrid ketika kekalahan kepada Spurs, beliau bukan lagi pemain yang pernah kita lihat sebelum ini.

Tiada lagi helah dan larian laju dari Ronaldo kerana faktor usia yang semakin meningkat. Beliau kini lebih selesa untuk berada di dalam kotak penalti dan bermain sebagai penyerang hadapan.

Sejurus sahaja pasukannya tewas di tangan Tottenham, Ronaldo telah ditemuramah wartawan dan beliau memberikan bayangan mengapa Real Madrid tidak beraksi pada tahap yang sepatutnya musim ini.

Beliau secara spesifik memberitahu perpindahan keluar pemain senior seperti Pepe, Morata dan James menyebabkan Real Madrid semakin lemah. Ketika memberi temuramah kepada BeIN Sports, beliau berkata:

“Tiada alasan untuk kekalahan hari ini. Tetapi pemain seperti James, Pepe dan Morata menjadikan kami lebih kuat. Pemain muda yang ada dalam pasukan sekarang adalah untuk masa hadapan, tetapi mereka masih muda dan kurang pengalaman.”

Ronaldo yang kini sudah menginjak umur 32 tahun turut mengakui kekecewaannya terhadap prestasi pasukan Real Madrid, tetapi percaya mereka masih mampu mengubahnya.

“Kekalahan ini adalah tidak bagus kerana kami selalu memenangi perlawanan bolasepak. Sudah dua kali kami kalah. Keputusan hari ini bukan seperti yang kami harapkan, tetapi dalam bolasepak, semuanya boleh berubah.”

“Memang benar kami sedang mengalami masalah prestasi, tetapi saya pasti kami akan mengubah situasi ini. Kami masih mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki apa yang salah dan saya yakin kami akan melakukannya.”

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga