Ronaldo Mahu Tinggalkan Juventus Dan Bakal Sertai PSG Atau Kembali Ke Santiago Bernaneu

Cristiano Ronaldo dilaporkan mahu meninggalkan Juventus dan berkemungkinan akan kembali ke Real Madrid, atau bakal melengkapkan perpindahan menyertai Paris Saint Germain.

Selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan Portugal dalam aksi saingan Euro 2020, Ronaldo telah diberikan cuti rehat untuk seketika.

Kini beliau telah kembali ke Turin, dan menyertai skuad kendalian Max Allegri untuk aksi latihan pra musim menjelang bermulanya musim baharu nanti.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Juventus sangat berminat untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo selama satu musim lagi bersama kelab, namun hasrat mereka itu mungkin tidak kesampaian.

Ia kerana laporan dari AS menurut Corriere dello Sport telah melaporkan yang pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu mahu pergi meninggalkan Turin pada musim panas ini.

Beliau ketika ini berminat untuk kembali semula ke Real Madrid dan bekerjasama dengan Carlo Ancelloti di Santiago Bernabeu.

Sementara Paris Saint Germain juga dilihat sebagai antara pasukan yang paling berpotensi untuk mendapat khidmatnya.

Beberapa bulan lalu turut tular berita yang mengatakan bahawa masa depan Kylian Mbappe akan menjadi kunci dan penentu kepada destinasi seterusnya untuk Cristiano Ronaldo.

Seandainya pemain kebangsaan Perancis itu memutuskan untuk menyertai Real Madrid, ia akan membuka langkah kepada Ronaldo untuk terbang ke Paris dan menyertai PSG.

Namun jika usaha Madrid untuk mendapatkan khidmat Mbappe berdepan dengan kesukaran, maka The Los Blancos akan memulakan langkah untuk mendapatkan penjaring terbanyak sepanjang zaman dan legenda kelab mereka itu untuk kembali ke Santiago Bernabeu.

Ronaldo menyertai Real Madrid dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £80 juta dari Manchester United pada tahun 2009 lalu.

Sepanjang kariernya bersama Los Blancos, Cristiano Ronaldo telah berjaya menjaringkan 450 dari 438 penampilan untuk Real Madrid.

Selepas berjaya memenangi gelaran Champions League keempat bersama Los Blancos, beliau melengkapkan perpindahan sensasi menyertai Juventus pada 2018 yang lalu.

Real Madrid bahkan turut mendapat keuntungan dari penjualan itu dengan mereka melepaskan Ronaldo ke Turin dengan yuran perpindahan bernilai £99 juta.

Sepanjang kariernya di Turin pula, Cristiano Ronaldo telah berjaya menjaringkan 101 gol dari 133 penampilan dan turut membantu The Old Lady memenangi dua kali gelaran Serie A.

Musim lalu, tempoh dominasi Juventus dalam saingan domestik telah berakhir, dengan mereka hanya mengakhiri saingan liga di kedudukan keempat sahaja.

Sejak dua musim kebelakangan ini, Ronaldo sering dipersalahkan kerana gagal untuk membawa Piala kejuaraan Champions League ke bumi Turin.

Dek kerana itu, sejak tersingkirnya Juventus dari saingan Champions League musim lalu, telah timbul pelbagai spekulasi berkait masa depan Ronaldo di Turin.

Kini, beliau sendiri telah mendedahkan kepada pihak kelab tentang hasratnya untuk pergi, dan memilih untuk menyertai antara Real Madrid atau Paris Saint Germain.

Dengan berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, sangat menarik untuk menyaksikan ke mana destinasi seterusnya untuk Cristiano Ronaldo.

Adakah beliau akan membuat kepulangan semula ke Santiago Bernabeu selepas tularnya beberapa isu berkait Presiden kelab yang sering bermasalah dengan legenda kelab, atau mencuba pengalaman baru beraksi di pentas bola sepak Perancis bersama PSG?

Apa yang pasti, Ronaldo masih lagi berada di tahap persembahan yang terbaiknya walau sudah dianggap berusia, dan mana-mana pasukan yang mendapatkan khidmatnya tidak akan rugi.

Masa depan Mbappe dikatakan menjadi kunci destinasi pilihan Ronaldo

Lihat saja aksi beliau ketika saingan Euro 2020, walaupun Portugal tersingkir di pusingan 16 terbaik, Ronaldo masih berjaya memenangi anugerah kasut emas.

Sumber: SB

BACA:  Ronaldo Dan Messi Siapa Lebih Hebat Menurut Sembilan Pemain Ini