Ronaldo Memenangi Anugerah Alfredo di Stefano

Cristiano Ronaldo memenangi anugerah Alfredo di Stefano selaku pemain terbaik La Liga bagi musim 2015-16 dan lebih manis dia memperoleh trofi itu pada hari sama menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bernilai STG365,000 (RM1.905 juta) seminggu bersama Real Madrid.

Ronaldo menyumbat 35 gol dan menjadi penggerak kepada 11 lagi jaringan Real dalam Liga Sepanyol musim lalu bagi membantu pasukannya menduduki tempat kedua di belakang Barcelona.

Dia juga menjaringkan 16 gol dalam Liga Juara-Juara bagi membolehkannya menjulang trofi itu buat kali ketiga dalam kariernya dan kali kedua bersama Real, sebelum turut membantu Portugal menjulang kejuaraan Euro 2016 di Perancis.

“Musim 2015-16 dipenuhi dengan banyak emosi dengan Liga Juara-Juara dan Kejohanan Eropah,” kata Ronaldo kepada penonton ketika menerima anugerah anjuran akhbar sukan Marca di Florida Retiro, Madrid.

“Hari ini adalah hari yang sangat istimewa dengan pembaharuan kontrak saya dan anugerah daripada Marca. Apa lagi yang saya harapkan?

“Saya sangat gembira. Ini memberikan saya motivasi untuk bekerja keras dan menjadi lebih baik dalam beberapa tahun akan datang.”

Pemain berusia 31 tahun itu juga mengambil peluang menyatakan impiannya untuk meletakkan Real di puncak La Liga sekali gus merampas mahkota kejuaraan daripada musuh tradisi mereka, Barcelona.

Real kini mendahului carta dengan 27 mata selepas 11 perlawanan. Mereka belum masih kalah dan memiliki kelebihan dua mata di depan Barcelona.

“Ia adalah sangat kompetitif seperti dijangka, tetapi ini bukanlah larian pecut, ia adalah acara maraton dan kami akan pergi bertarung,” kata Ronaldo. “Seperti biasa, Tuhan akan membantu siapa yang bekerja keras.”

Rakan sepasukan Ronaldo, Alvaro Morata juga menerima penghargaan Marca apabila dinamakan sebagai pemain terbaik pasukan Sepanyol bagi tahun 2015-16.

Dia menyumbat tiga gol pada Euro 2016 tetapi tidak dapat membantu Sepanyol yang kehilangan gelaran yang dimenangi pada 2008 dan 2012. – Agensi

Sumber : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga