Ronaldo Menamatkan Saingan Euro Dengan Rekod Yang Sukar Untuk Dicabar

Euro 2020 mungkin bakal menjadi edisi terakhir peminat melihat Cristiano Ronaldo beraksi di pentas terbesar kejohanan Eropah ini.

Beliau mungkin akan menggantung bootsnya selepas Piala Dunia 2022 dan sangat sukar untuk melihat beliau masih mampu beraksi di saingan Euro 2024.

Cristiano Ronaldo telah mencipta pelbagai kejayaan yang sungguh luar biasa cemerlang dalam saingan European Championship.

Rekod yang beliau cipta sepertinya sukar untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain selepas ini dan nama beliau akan terus dikenang sebagai yang terhebat sepanjang zaman.

Rekod Cemerlang Ronaldo Dalam Saingan Euro

Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan Euro 2020 ini menjadikan keseluruhannya beliau berjaya merekodkan 14 gol dari kesemua edisi yang beliau sertai.

Rekod tersebut sekaligus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh legenda Perancis, Michel Platini pada tahun 1984.

Platini berjaya mempertahankan rekod tersebut selama 37 tahun, sebelum dipecahkan oleh pemain terhebat sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo yang ketika ini sudah menjaringkan 14 gol dalam sejarah Euro.

Apa yang menariknya, dari kesemua 14 gol tersebut, hanya tiga sahaja darinya dihasilkan menerusi sepakan penalti walau ramai yang menganggap beliau hanya bergantung pada penalti.

Selain cemerlang dengan 14 gol, Ronaldo juga berjaya mencipta sembilan assists dalam pertandingan ini dan ia merupakan rekod yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam saingan Euro.

Beliau juga pemain yang paling banyak mencatatkan kemenangan dalam saingan Euro dengan mencatatkan 12 kemenangan, 24 perlawanan yang dimainkan yang mana ia merupakan catatan tertinggi berbanding semua pemain yang lain.

Beliau turut mencipta sejarah apabila berjaya beraksi dalam lima edisi Euro sepanjang kariernya bermula dari Euro 2004, 2008, 2012, 2016, dan 2020.

Beliau juga pernah menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan sebanyak empat kali dan ia juga merupakan antara rekod terbaik yang dicatatkan olehnya dalam sejarah saingan Euro.

Dan beliau juga merupakan pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap lima edisi Euro yang beliau sertai sejak 2004 itu.

Cristiano Ronaldo turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini dan beliau setakat ini telah mengumpul enam anugerah tersebut sepanjang kariernya beraksi dalam saingan Euro.

Pencapaian tersebut telah menyamai rekod Iniesta yang turut mengumpul enam anugerah pemain terbaik perlawanan, dan tak mustahil untuk melihat Ronaldo memecahkan rekod tersebut tahun ini.

Lima gol yang beliau jaringkan dalam saingan Euro 2020 ini juga berjaya membantu Ronaldo untuk menyamai rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa bersama Ali Daei.

Selepas berjaya menyamai rekod yang dipegang oleh Ali Daei dengan menjaringkan 109 gol, tidak mustahil untuk melihat Cristiano Ronaldo memecahkan rekod tersebut selepas ini.

Piala Eropah 2020 merupakan kejohanan terbaik untuk Ronaldo. Dua jaringannya ketika membantu Portugal mengikat Perancis menyaksikan Ronaldo sudah mengumpul 5 gol.

Rekod Jaringan Cristiano Ronaldo

Ia merupakan koleksi gol paling banyak dilakukan oleh Ronaldo berbanding Piala Eropah 2004 (2 gol), 2008 (1 gol), 2012 (3 gol) dan 2016 (3 gol).

Malah Ronaldo tidak pernah menjaringkan gol sebanyak itu dalam 4 kejohanan Piala Dunia yang disertainya.

Pada sesi kelayakan Piala Eropah Ronaldo mengumpul 31 gol . Sementara itu Ronaldo mempunyai 30 jaringan dalam 4 sesi kelayakan Piala Dunia.

Jaringan antarabangsa pertamanya hadir ketika dalam kejohanan besar iaitu di Piala Eropah 2004. Dan mengikut corak jaringan Ronaldo, sentuhan beliau dilihat semakin tajam ketika usianya semakin meningkat.

Pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 (15 gol) dan kelayakan Piala Eropah 2020 (11 gol) -merupakan fasa terbaiknya dari sudut jumlah jaringan.

Malahan Ronaldo menjaringkan lebih banyak gol di Piala Dunia 2018 (4 gol) dan Piala Eropah (5 gol) berbanding edisi-edisi sebelumnya.

Secara keseluruhan Ronaldo mempunyai 14 gol di pusingan akhir Piala Eropah dan 7 gol Piala Dunia. Apabila dicampur dengan pusingan kelayakan, Ronaldo mempunyai koleksi 82 gol.

Baki 27 gol dihasilkan dalam perlawanan persabahatan, Piala Konderasi FIFA dan UEFA Nations League.

“Cristiano Ronaldo merupakan pemain terhebat dan terbaik yang pernah saya saksikan dalam hidup saya.”

Roy Keane.

“Para pemain muda seharusnya menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai sumber inspirasi mereka.”

Ian Wright.

“Cristiano Ronaldo mempunyai semangat, keinginan dan dahagakan kejayaan yang membantu dia untuk jadi pemain terhebat di dunia.”

Patrick Vieira.

“Dia terus memecahkan satu demi satu rekod individu. Dia mahu jadi pemain terhebat di dunia dan mahu dilihat sebagai yang terhebat sepanjang zaman dari segi kemampuannya menjaringkan gol berbanding pemain lain, dan dia berjaya melakukannya.”

Gary Neville.

Begitulah antara komen-komen dan pandangan dari legenda bola sepak terhadap Cristiano Ronaldo, dan ia tak termasuk komen-komen dari pengurus legenda seperti Sir Alex Ferguson, Arsene Wenger dan lain-lain.

Cristiano Ronaldo telah banyak mencipta pelbagai detik di pentas bola sepak Eropah baik bersama kelab mahupun skuad kebangsaan Portugal.

Detik mengharukan, detik beremosi, marah, suka, duka, gelak, tawa dan pelbagai lagi reaksi yang pernah ditunjukkan oleh Ronaldo dalam menghiburkan peminat menonton saingan European Championship ini.

Andai saingan Euro 2020 benar-benar menjadi edisi terakhir untuk Cristiano Ronaldo, beliau jelas telah meletakkan satu garis tinggi untuk pemain lain capai tahap sepertinya.

Beliau akan selamanya dikenang sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan rekod yang beliau cipta mungkin memerlukan beberapa dekad lagi untuk mencari pemain lain yang boleh memecahkannya.

BACA:  Ronaldo Dedah Fasiliti dan Infrastruktur Man Utd Masih Sama Seperti 2009