Ronaldo Penyerang Yang Paling Banyak Bagi Masalah – Buffon

Gianluigi Buffon bukanlah satu nama asing dalam arena bola sepak dunia. Memulakan karier pada tahun 1995 ketika berusia 27 tahun, Buffon telah berhadapan dengan pelbagai jenis penyerang di dunia ini.

Daripada penyerang berbisa, penyerang yang acah-acah berbisa sehinggalah penyerang yang lebih pentingkan rambut daripada menjaringkan gol – kesemuanya sudah dihadapi Buffon.

Ronaldo ini pilihan Buffon | Gambar : Youtube

Ketika ditanya wartawan penyerang manakah yang paling hebat, tanpa berfikir panjang Buffon memilih Ronaldo.

Ronaldo yang dimaksudkan ialah Ronaldo Fenomenonatau Ronaldo Original bukan Spicy, Tomyam atau Cheese – penyerang Brazil yang pernah menggemparkan dan menggempalkan dunia hujung sekitar tahun 1990-an sehingga awal 2000.

Ya, sebelum zaman Cristiano Ronaldo, Leo Messi dan 2013, bola sepak sudah lama wujud.

Bagi Buffon, Ronaldo adalah penyerang yang sempurna dan dia bagaikan dicipta di dalam makmal!

“Penyerang yang paling banyak bagi masalah kepada aku ialah Ronaldo, yang Brazil tu,” kata Buffon kepada Marca.

“Dia adalah pemain yang sempurna – dia ada kekuatan, kelajuan, skil dan teknik yang selamba dan juga cepat. Boleh ternganga kalau tengok dia main.

“Dia ni macam dicipta di dalam makmal,” tambah Buffon lagi.

Ronaldo, atau nama dalam kad pengenalannya Ronald Luiz Nazario de Lima, telah melakukan debut bersama skuad Brazil ketika berusia 17 tahun pada tahun 1994 dan telah menjaringkan 62 gol buat negaranya – kedua terbanyak di belakang Pele.

Dia telah memenangi Piala Dunia pada tahun 1994 dan 2002.

Bersama kelab, Ronaldo menjuarai liga bersama PSV Eindhoven, Barcelona, Internazionale dan juga Real Madrid. Dia juga pernah tiga kali dipilih sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA dan dua kali memenangi Ballon d’Or.

Bagi anda yang tidak mengenali Ronaldo ini, kami kongsikan antara aksi ketika dia masih kurus dan mampu berlari.

Sumber berita : Sportskeeda

Baca Juga

Baca Juga