Ronaldo: Saya Adalah Yang Terbaik Dan Saya Telah Buktikannya !

Pemain bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menempelak pengkritik bolasepak yang mempersoalkan prestasi beliau bersama Real Madrid musim ini selepas sekali lagi memenangi anugerah individu.

Dalam satu majlis anjuran Persatuan Bolasepak Portugal kelmarin, Ronaldo telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Portugal untuk tahun 2017, mengenepikan cabaran penjaga gol Sporting CP, Rui Patricio dan pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.

Haters gonna hate menurut Abe Do

Bekas pemain Manchester United ini berjaya menyamai rekod Lionel Messi dengan memenangi anugerah Ballon D’Or buat kali ke-5 tahun lepas selepas membantu pasukannya merangkul Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga.

Musim ini menyaksikan Real Madrid mengalami masalah prestasi pada permulaan musim dan Ronaldo antara pemain yang dikritik kerana gagal bermain dengan baik.

Walaubagaimanapun, prestasi Ronaldo telah menunjukkan tanda pemulihan pada tahun 2018 dan Real Madrid juga mula menemui kembali sentuhan mereka dalam peringkat Eropah dan juga domestik.

“Saya amat berterima kasih dan mendedikasikan anugerah ini kepada anda yang berada disini hari ini. Ia juga merupakan anugerah untuk rakan sepasukan saya – 2017 merupakan tahun yang cemerlang buat saya, sesuatu yang saya tidak akan lupakan dari segi pencapaian pasukan dan juga inidividu.”

“Saya juga berjaya memenangi Ballon D’Or ke-5 dan juga Pemain Terbaik FIFA buat kali ke-2. Saya mahu mendedikasi anugerah ini kepada 4 orang anak saya. Ia juga satu rekod baru dimana saya menerima 3 cahaya mata dalam masa 3 bulan sahaja.”

Apa yang Messi mampu lakukan, aku juga mampu

“Saya selalu percaya yang saya adalah pemain terbaik walau apa jua pendapat orang lain. Saya telah membuktikannya di atas padang. Kami bersaing untuk merebut semua kejuaraan saban tahun.”

Dalam perkembangan lain pula, Ronaldo membidas pihak yang mendakwa beliau cuba lari dari membayar cukai kepada kerajaan Sepanyol.

“Saya selalu bayar apa yang perlu saya bayar. Saya selalu melakukan perkara yang betul dan akan terus melakukannya pada masa hadapan.”

Musim 2016/2017 menyaksikan Ronaldo menjaringkan 42 gol dari 46 perlawanan dalam semua pertandingan. Statistik beliau semakin bertambah baik pada musim ini dimana beliau telah mengumpul 37 gol dari hanya 35 perlawanan.

Yang ni Messi tak pernah dan takkan dapat

Dalam perlawanan terakhir Real Madrid, Ronaldo berjaya menjaringkan 4 gol untuk pasukannya ketika mereka menewaskan Girona 6-3. Perlawanan itu juga menyaksikan Ronaldo berjaya mencatatkan hatrik ke-50 sepanjang kariernya bersama kelab dan negara.

Madrid kini menghuni tangga ke-3 La Liga, 15 mata ditinggalkan seteru utama, Barcelona yang selesa mendahului liga. Barcelona masih belum tewas dalam sebarang perlawanan liga musim ini dan hampir pasti akan dinobatkan sebagai juara La Liga dengan perlawanan hanya berbaki 9 sahaja lagi.

Real Madrid akan kembali beraksi selepas perlawanan antarabangsa dengan berkunjung ke Las Palmas sebelum berdepan cabaran sukar Juventus 3 hari kemudian dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara di tempat lawan.

BACA:  Terkesima Messi Lihat Wartawan Menangis Kerana Dapat Menemuramahnya