Ronaldo: Statistik Tidak Tipu, Saya Lebih Berhak Menangi Ballon d’Or

Pemain pujaan ramai, Cristiano Ronaldo yakin dan percaya beliau sepatutnya dinamakan sebagai pemenang Ballon d’Or 2018, dan bukan berada di tempat kedua di belakang pemenang sebenar iaitu Luka Modric.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu gagal dalam misinya untuk merangkul anugerah Ballon d’Or buat kali ke-6 sepanjang kariernya, sekaligus mencipta rekod baru bagi menjadi pemain terbanyak menggondol anugerah tersebut.

Nomber tak menipu. Yang menipu lidah manusia yang bercabang

Dalam majlis yang berlangsung di kota Paris minggu lalu, Modric berjaya memecahkan dominasi Lionel Messi dan Ronaldo selama 10 tahun apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or bagi tahun 2018.

Tahun 2018 merupakan tahun yang cemerlang buat Modric dimana beliau berjaya merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah dan membantu Croatia layak sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018. Beliau turut dinamakan sebagai pemenang bagi anugerah Bola Emas, anugerah yang diberikan kepada pemain terbaik kejohanan.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang kurang gembira dengan kemenangan Modric dan salah seorang daripadanya tidak lain dan tidak bukan adalah bekas rakan sepasukan Modric di Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo merupakan sebahagian daripada skuad Real Madrid yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut musim lepas. Ronaldo juga mencipta rekod baru kejohanan apabila menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut dalam kejohanan tersebut.

Aku lebih berhak dari Modric. Aku patut menang setiap tahun. Siapakah aku ?

Selain itu, beliau juga telah menjaringkan 45 gol dari 48 perlawanan untuk kelab dan negara bagi tahun 2018.

“Saya rasa saya berhak memenangi Ballon d’Or setiap tahun.” Ujar Ronaldo ketika bercakap dengan sebuah akhbar dari Itali.

“Saya berusaha untuk memenangi anugerah tersebut, tetapi jika saya gagal, ia bukanlah pengakhiran dunia buat saya.”

“Statistik tidak menipu, tetapi jangan ingat saya kurang gembira jika saya gagal memenangi Ballon d’Or.”

“Saya mempunyai kawan dan keluarga yang menakjubkan. Saya bermain dengan salah sebuah kelab terbaik di dunia. Adakah anda ingat saya akan pulang ke rumah dan menangis ?”

“Saya kecewa tetapi hidup perlu diteruskan dan saya akan sentiasa bekerja keras.”

“Tahniah saya ucapkan kepada Modric, beliau berhak memenanginya. Tetapi tahun depan kami akan berjumpa sekali lagi dan saya akan melakukan segala-galanya untuk berada di sana lagi.”

Ko tunggu tahun depan Modric

Ronaldo memulakan kariernya bersama Juventus dengan kaki kanan dimana beliau telah menjaringkan 10 gol dalam Serie A setakat ini untuk membantu kelab tersebut mengungguli carta liga ketika ini. Juventus kini selesa di tempat teratas liga dengan kelebihan 8 mata di belakang pencabar terdekat, Napoli.

Di peringkat antarabangsa pula, Ronaldo berpeluang menambah koleksi trofi beliau yang sudah cukup sarat dimana Portugal berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kejohanan UEFA Nations League.

BACA:  Liverpool Dilaporkan Sudah Mengadakan Pertemuan Dengan Ejen Bintang Real Madrid