Rooney Enggan Di Ingati Sebagai Kapten Yang Gagal

Kapten England, Wayne Rooney enggan diingati sebagai seorang kapten yang gagal memimpin pasukannya malah Rooney bertekad menamatkan badi England dalam kejohanan besar dengan memimpin pasukan itu menjuarai Euro 2016.

England gagal membuat sebarang penampilan dalam final Kejohanan Eropah setakat ini apabila hanya mampu mara sejauh peringkat separuh akhir pada 1968 dan 1996.

Sejak 1996, England telah tiga kali terkandas di peringkat kumpulan dan gagal layak ke pentas Euro 2008.

rooney-captain-
Pengaruh Rooney Membawanya ke EURO 2016 Walaupun Prestasi Agak Terumbang Ambing

Rooney, yang beraksi bersama Three Lions sejak 2003, berazam menamatkan nasib malang pasukan itu di pentas antarabangsa.

“Sekadar mara ke peringkat suku akhir tidak boleh dianggap sebagai satu pencapaian. Apa yang saya dan rakan sepasukan lain dapat?,” soal pemain berusia 30 tahun itu yang bakal berdepan Iceland pada Isnin.

“Kami mahu menjadi juara, itu sasaran utama kami. Saya enggan menjadikan faktor dibarisi pemain muda sebagai alasan untuk berasa puas hati apabila kami mara ke suku akhir.

“Kami disini untuk menang, kami enggan melihat mara ke pusingan 16 sebagai satu kemajuan, saya percaya England lebih baik daripada itu.”

“Saya dapat rasa bahawa kami ada peluang untuk pergi lebih jauh, saya sedar kami berdepan laluan berliku.

“Saya enggan diingati sebagai seorang kapten yang gagal memimpin pasukannya,” katanya.

Jentera Serangan Perlu lebih Tajam

Wayne Rooney dan Roy Hodgson menuntut England mempertajamkan serangan menjelang pertemuan kalah mati dengan Iceland di Nice pada Isnin ini.

England adalah pasukan kedua menjaringkan paling banyak gol ketika pusingan kelayakan, tetapi bergelut pada pusingan akhir di Perancis dengan hanya tiga gol dijaringkan dalam saingan Kumpulan B.

Daripada semua 16 pasukan yang tinggal, hanya empat pasukan menjaringkan gol kurang daripada England dan Rooney menuntut peningkatan pada pertemuan dengan Iceland nanti.

“Kami perlu bermain pada rentak lebih pantas,” kata Rooney.

“Ia adalah cerita yang hebat untuk mereka, tetapi kami perlu lebih agresif untuk menghukum mereka.”

England menguasai sebahagian besar permainan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, tetapi dikecewakan dengan corak permainan lawan yang berkampung di kawasan sendiri.

Rooney menjangkakan situasi sama bakal dihadapi apabila bertemu Iceland yang cukup berdisiplin ketika bertahan dan pantas dalam melakukan serangan balas.

HARRY-KANE-pemain-paling-bernilai-di-euro-2016
Harry Kane Belum Menemui Sentuhan Penyudah

Walaupun Rooney menampilkan aksi ampuh setakat ini di posisi tengah, Harry Kane pula gagal mengangkat namanya di pentas antarabangsa.

“Dia berdepan kesukaran kerana pemain lain kurang membantunya dalam menjaringkan gol,” ujar Rooney.

“Saya harap peluang untuk dia meledak gol akan tiba.”

Rooney Makin Tenang Dan Matang

Berdasarkan pengalaman dimilikinya, bintang England, Wayne Rooney sudah biasa memikul tanggungjawab berat di bahunya tetapi pada kempen Euro kali ini, dia makin tenang dan tidak rasa terbeban langsung.

“Kami perlu menang setiap perlawanan. Saya hanya memikirkan kemenangan, jika saya tidak beraksi dengan baik, saya tidak nampak macam mana kita akan menang,” katanya.

“Saya ke sini dan tahu ramai rakan saya berbakat besar serta mampu melakukan keajaiban. Kami memiliki lima atau enam peledak gol dan saya boleh katakan kami sentiasa memiliki kekuatan itu,” kata Rooney.

Berdasarkan itulah, penyerang Manchester United itu yakin England kini sebaris dengan tuan rumah Perancis, Sepanyol, Jerman dan Itali sebagai pasukan pilihan memenangi gelaran pada kempen Euro kali ini. Isnin ini, England sakan berdepan Iceland dalam peringkat kalah mati.

“Jika situasi begini empat tahun lalu, dan anda perlu berdepan Perancis, Sepanyol atau Jerman, kami mungkin ada sedikit rasa bimbang.

“saya rasa jurang perbezaan sudah berubah bukan setakat kalangan kami tetapi Wales, Belgium dan Itali. Jurang perbezaan antara pasukan ini tidak banyak berbeza lagi,” katanya.

Sejak kali pertama terjun ke kancah Euro pada 2004 ketika usia 18 tahun, hanya kecederaan Rooney yang membataskan persembahannya.

Detik paling mengecewakan Rooney hadir pada Piala Dunia 2006 apabila dia dibuang padang ketika menentang Portugal dan sekali lagi pada temasya sama pada 2010 ketika terikat seri 1-1 menentang Algeria apabila dia diejek peminat.

“Bagus juga melihat peminat sendiri mengejek kita. Itulah yang dipanggil peminat setia,” katanya.

Rooney amat faham betapa peminat amat memberi tumpuan kepadanya sebagai pemain bintang.

“Saya fikir saya sudah menjadi individu berbeza, saya kini semakin matang, ia boleh dilihat menerusi persembahan saya. Ia sebahagian daripada perubahan,” katanya.

Rooney juga mengakui gembira dengan peranannya sebagai pemain bahagian tengah ketika ini.

“Posisi ini sesuai dengan saya dan pasukan England. Saya juga gembira berada di belakang dan melihat pemain lain menyumbat gol, sesuai dengan pasukan ini,” katanya. – Agensi

Sumber : Berita Harian dan Stadium Astro

BACA:  Kenapa Tiada Pasukan Great Britain Bermain di Euro?