Pemain antarabangsa England, Ross Barkley akhirnya mengesahkan perpindahannya ke Chelsea dari Everton selepas menjalani pemeriksaan perubatan semalam. Pengumuman rasmi perpindahan Barkley ke Chelsea telah diumumkan oleh kedua-dua buah kelab.
Pemain berusia 24 tahun ini masih lagi belum dapat diturunkan dalam sebarang perlawanan Everton musim ini kerana mengalami masalah hamstring, walaupun sudah pulih dan mula menjalani latihan penuh baru-baru ini.
Produk akademi Everton ini mempunyai baki 6 bulan sahaja lagi dalam kontraknya di Goodison Park dan telah menolak sebarang tawaran lanjutan kontrak dari Everton. Beliau hampir berpindah ke Chelsea awal musim ini dengan nilai perpindahan berjumlah £35m tetapi tidak berlaku kerana Barkley mengubah keputusan untuk kekal disaat akhir.
Barkley juga menjadi pemain sasaran Mauricio Pochettino untuk memperkuatkan Tottenham musim panas lalu tetapi menurut sumber Skysports, Spurs tidak bercadang untuk meneruskan minat mereka terhadap Barkley lagi kerana sudah mengenalpasti sasaran baru.
Welcome to Chelsea, Ross Barkley!
Full story 👉 https://t.co/yRzCCYobbd #WelcomeBarkley pic.twitter.com/CvIInoMEIL
— Chelsea FC (@ChelseaFC) January 5, 2018
Pengurus Everton, Sam Allardyce dalam sidang media Khamis lalu berkata beliau menjangka bakal menerima tawaran untuk Barkley sebelum tirai perpindahan Januari ditutup.
“Saya menjangkakan bakal menerima tawaran untuk mendapatkan khidmat Ross Barkley dari beberapa kelab besar Liga Perdana Inggeris.”
Antonio Conte: ‘We are talking about an English player, a young player, with good prospects for Chelsea.’ #WelcomeBarkley https://t.co/UVibg5uUMg
— Chelsea FC (@ChelseaFC) January 5, 2018
Barkley telah melakukan 179 penampilan bersama Everton sejak kali pertama beraksi pada Ogos 2011. Beliau berjaya mengumpul 27 gol sepanjang bergelar pemain Everton.
Potensi dan prestasi cemerlangnya yang ditunjukkan Barkley akhirnya membuahkan hasil selepas Everton memberikan kontrak selama 4 tahun pada Julai 2014. Disamping itu, beliau juga dipanggil untuk menganggotai skuad Piala Dunia England di Brazil pada tahun tersebut.
Barkley sudah mengumpul 22 penampilan dalam peringkat antarabangsa bersama England dan sebelum ini pernah meluahkan keinginannya untuk bermain dalam saingan Liga Juara-Juara.
Berita baik buat Barkley kerana beliau boleh didaftarkan dalam skuad Liga Juara-Juara Chelsea untuk peringkat seterusnya dimana mereka bakal berhadapan Barcelona dalam saingan kalah mati.