Bekas pemain Manchester United, Roy Keane berkata kemenangan 7-0 yang dicatatkan Liverpool ke atas Spartak Moscow dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tidak membawa makna yang sangat penting kerana lawan mereka itu bukanlah dari kelab yang ternama.
Liverpool mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya dengan penuh bergaya selepas mudah membelasah pasukan dari Russia tersebut di Anfield awal pagi semalam.
The Reds turut mengesahkan tempat mereka selaku juara kumpulan, dihadapan Sevilla yang berada di kedudukan kedua kumpulan. Slot Europa League pula dimiliki oleh Spartak Moscow yang mengakhiri saingan di tangga ke-3.
Dalam perlawanan tersebut, pemain antarabangsa Brazil, Philippe Coutinho muncul wira pasukan dengan mencatatkan hatrik pertamanya sepanjang bermain dengan Liverpool.
Sebanyak 23 gol telah dijaringkan Liverpool dalam 6 perlawanan peringkat Eropah dan ramai menjangkakan pasukan kendalian Jurgen Klopp ini mampu pergi jauh dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Peminat bolasepak banyak yang memuji persembahan menakjubkan yang dipamerkan pemain Liverpool dalam perlawanan tersebut tetapi terdapat seorang individu yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Individu tersebut adalah bekas kapten Manchester United, Roy Keane.
Keane ketika menjadi panel undangan dalam siaran ITV dipetik berkata perlawanan tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukuran kepada keupayaan sebenar Liverpool kerana lawan mereka bukanlah dari pasukan yang ternama.
“Pemain serangan Liverpool dilihat sangat gembira dalam perlawanan tadi tetapi ujian sebenar mereka masih belum tiba. Jelas, mereka hanya menewaskan pasukan kerdil dan masih lagi gagal menewaskan pasukan ternama. Sudah tentu persembahan mereka amat seronok untuk disaksikan tetapi mereka tidak akan mendapat ruang dan masa apabila bermain menentang pasukan yang bagus.”
“Beri sedikit pegangan bola kepada pemain yang berkualiti dan mereka akan menghukum kamu. Realitinya apabila mereka menentang pasukan kuat Eropah lain, mereka tidak akan mendapat masa dan ruang seperti yang dimiliki dalam perlawanan tadi. Mereka tidak akan mendapat banyak peluang seperti tadi. Jika kamu faham apa itu bolasepak, kamu akan tahu Liverpool mempunyai tugasan yang lebih besar dan sukar pada peringkat seterusnya.”
Liverpool berpeluang diundi menentang kelab besar seperti Real Madrid, Bayern Munich, dan Juventus yang hanya mampu menghuni tangga ke-2 peringkat kumpulan masing-masing.
Walaupun berpeluang diundi menentang pasukan ternama Eropah, pengurus Liverpool Jurgen Klopp percaya pasukannya mempunyai peluang yang baik untuk pergi lebih jauh kerana mereka mempunyai barisan serangan yang tajam.
“Jika kami mampu bermain seperti perlawanan tadi, kami mampu menghadirkan perasaan takut terhadap mana-mana pasukan yang kami bakal hadapi nanti. Pasukan ini boleh menghadirkan ancaman kepada mana-mana pasukan andainya kami klinikal di depan gol seperti perlawanan tadi.”