Roy Keane dan Wayne Rooney Pernah Bertekak Gara-Gara ‘Akademi Fantasia’

Bagi peminat Manchester United, Roy Keane dan Wayne Rooney merupakan dua pemain yang sangat diingati dan disayangi, memandangkan kedua-dua pemain ini sering turun bermain dengan sepenuh jiwa, tambahan pula, mereka cukup dikenali sebagai pemain yang cukup panas di atas padang sekaligus membawa semangat dan jiwa kemenangan kepada pasukan.

Sepanjang kedua-dua pemain ini beraksi bersama, hanya sekali mereka pernah bertekak dan isunya bukanlah tentang bola sepak.

Jarang ada pemain yang berani bertekak dengan Keane memandangkan dia adalah kapten yang sangat ditakuti oleh pemain lain terutamanya pemain muda. Malah ketika menjadi pengulas bola sepak di stesen televisyen di England, lidah Keane cukup tajam dalam memberikan komen terhadap pemain, terutamanya terhadap kapten United hari ini, Harry Maguire.

Atas padang pula, kebisingan mulut Keane telah membuatkan sebahagian pengadil berasa jengkel dan apabila ada sahaja perkara yang tidak digemarinya di atas padang, rakan sepasukan akan menerima tempiasnya di bilik persalinan.

Begitu juga dengan Rooney, terutamanya ketika dia belum menanam rambut.

Walaupun masih muda, dia tidak segan untuk menunjukkan belangnya di atas padang dan sering melepaskan amarah terhadap pengadil, pemain lawan dan juga rakan sepasukan.

Bagaimanapun, Rooney pernah bercerita kepada SkySports di mana dia pernah bergaduh dengan Keane hanya sekali dan semuanya gara-gara rancangan persis Akademi Fantasia yang ditayangkang di ITV, X-Factor.

“Aku memang akan ingat kali pertama aku pergi bermain di tempat lawan, bertekak dengan Keane,” ujar Rooney.

“Kami tengah tengok perlawanan ragbi sebelum perlawanan menentang Newcastle United di tempat lawan dan semasa dia pergi mengambil kudap-kudapan, aku tukar siaran ke X-Factor, lepas tu aku sorok remote.

“Memang dia marah lah dan lepas tu kami bertekak.

“Tapi masa tu aku terfikir, dia jadi lebih hormat ke aku sebab berani menghadap dia. Dia tengok aku, dan dia hormat aku hari tu sebab cukup kental menjawab balik kat dia.”

Perisitiwa ini turut disahkan oleh Keane dalam autobigrafinya, the Second Half, di mana bekas pengurus Sunderland dan Ipswich Town itu telah menceritakan di mana dia telah bertekak dengan Rooney dan akhirnya, dia telah memilih untuk menonton perlawanan ragbi tersebut di tempat lain.

“Satu-satunya peristiwa di mana aku bertekak dengan Wayne, tak ada kaitan dengan hantaran bola yang dia patut bagi aku pun, atau perubahan taktikal,” tulis Keane di dalam bukunya.

“Kami waktu tu di hotel, Jumaat malam sebelum satu perlawanan – aku lupa di mana.

“Para pemain memang selalunya berkumpul dan makan bersama pada pukul 7 petang.

“Dalam bilik tu ada TV yang besar. Aku tengah tengok Rubgy League dan masa tu ada satu perlawanan yang besar.

“Aku pergi tandas, datang balik dan tengok ada orang dah tukar siaran ke benda lain – benda bodoh, aku tak ingat apa benda.

“Aku tanya lah, ‘Eh, mana Rugby League?’

“Aku tahu Wayne ada buat benda. Aku boleh baca air muka dia.

“Aku tanya dia, ‘Mana remote?’ Dia jawab, ‘Aku tak tahu.’ Aku pun cakap balik, ‘Kau tahu, hanat.’

“Aku takdelah terus tinggalkan bilik tapi aku bengang lah cuba mencari remote tu, lepas tu aku pun tengok keseluruhan perlawanan dalam bilik aku.”

Kejadian pada malam tersebut mungkin  membuatkan Keane berasa jelek dan marah, tetapi pada keesokan harinya, dia telah didatangi oleh Rooney di mana pemain yang ketika itu masih belasan tahun cukup berani menegur kaptennya tentang prank rancangan TV tersebut.

“Aku turun keesokkan harinya untuk makan sebelum perlawanan, dan sememangnya aku memang mudah dalam memaafkan – dan Wayne cuku berani datang ke tempat aku dan tanya, ‘Jumpa tak remote tu, Roy?’

“Aku rasa aku jawab dengan suruh dia berambus dan pergi mampus.”

Jodoh Keane bersama United tamat pada tahun 2005 selepas dia ditamatkan kontrak akibat keceluparannya di dalam temubual bersama MUTV di mana dia secara terbuka mengecam rakan sepasukannya, dan menyertai kelab gergasi Scotland, Glasgow Celtic, sebelum bersara tidak lama kemudian.

Bagi penyokong United, Keane diangkat sebagai antara kapten terbaik yang pernah menyarung jersi kelab tersebut di mana dia telah memimpin secara tauladan dan sering menjadi pelindung kepada rakan sepasukannya.

Rooney pula akhirnya diangkat menjadi kapten United pada 2014-15, sebelum dia kembali ke Everton dan berkelana ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama DC United.

Sumber : SB

BACA:  Roy Keane Menolak Keras Peminat Yang Mahu Berselfie