Roy Keane Harap Cristiano Ronaldo Tak Tengok Aksi United Ketika Bertemu Wolves Semalam

Roy Keane jelas sekali tidak gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain Manchester United ketika aksi babak pertama pertemuan bertemu Wolves malam semalam.

Beliau bahkan sempat berharap agar Cristiano Ronaldo tidak menonton perlawanan tersebut kerana bimbang bintang Portugal itu akan menyesal menyertai setan merah.

United jelas sukar untuk beradaptasi dengan permainan pantas yang diterapkan oleh Bruno Lage dalam perlawanan tersebut, terutama sekali ketika aksi babak pertama.

Kelajuan dan kelincahan Adama Traore jelas membawa banyak masalah kepada barisan pertahanan United, dengan Wolves beberapa kali berpeluang untuk menjaringkan gol awal.

Walau bagaimanapun, nasib menyebelahi United apabila Mason Greenwood berjaya menjaringkan gol dan gol tersebut menjadi gol kemenangan untuk Manchester United dalam perlawanan ini.

Walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh di Molineux Stadium, United hanya mampu memperkemas persembahan mereka pada aksi babak kedua permainan.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu jelas tidak begitu menjadi pada awal permainan, dengan Roy Keane sendiri mengkritik persembahan lemau skuad setan merah ketika beliau bercakap pada rehat separuh masa permainan.

“Saya selalu perhatikan United dan mereka sepertinya terlalu bergantung kepada bakat pemain yang mereka ada semata-mata.”

“Mereka hanya fikir untuk bermain dalam perlawanan itu sahaja. Mereka dilihat seolah baru bermain perlawanan Eropah, seolah mereka berada di Rusia atau mana-mana dan pulang lambat lepas tu ada perlawanan pada hari Khamis dan mereka penat.”

“United masih merbahaya tapi secara keseluruhannya, dari gerak tubuh mereka, mereka nampak tak bersemangat. Para pemain tak menjalankan tugas mereka, mereka tak ada tenaga untuk bermain, tak ada orang yang berlari tanpa bola.”

“Ia hampir seperti perlawanan bola sepak lima sebelah, kebimbangan saya adalah saya harap Ronaldo tak tonton perlawanan ini. Dia mungkin tarik balik keputusan dia. Ia sangat tidak bagus.”

“Saya kritik kedua-dua pasukan kerana Wolves sepatutnya perlu lebih klinikal.”

Sebelum sepak mula perlawanan, Keane mengakui yang beliau ada keraguan dengan kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke bumi Old Trafford, walau beliau sendiri sebenarnya gembira dengan keputusan itu.

“Ya saya juga teruja dengan Ronaldo Mania, ia sangat menakjubkan. Ia keputusan yang baik dari United, untuk penyokong, untuk Premier League.”

Jelas Keane kepada Sky Sports.

“Tidak ada keraguan dalam fikiran saya yang dia seorang pemain berkelas dunia.”

“Tambah tolak tu semua saya hanya nampak keinginan dan semangat dia masih ada. Bukan untuk duit, dia datang semula memang untuk bantu United memenangi Piala.”

“Keraguan saya adalah dia tidak akan membawa perbezaan untuk bantu kelab menang Piala besar, tapi untuk League Cup, FA Cup saya rasa masuk akal. Tapi dia tentu mahukan yang lebih dari itu.”

“Dia seorang pemenang, tapi Man Utd masih ada masalah sama tidak kira ada Ronaldo atau tiada Ronaldo dan ia adalah masalah di posisi midfield dan penjaga gol.”

Tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Keane dengan masalah di posisi penjaga gol, ia kerana David De Gea sebenarnya beraksi dengan sangat cemerlang dalam perlawanan semalam.

Tanpa De Gea, United berkemungkinan tidak akan dapat membawa pulang tiga mata, bahkan setan merah sebenarnya berpotensi untuk dibelasah.

Di posisi midfield mungkin Keane memaksudkan masalah defensive midfielder yang mana ia jelas merupakan masalah terbesar United pada ketika ini.

Jendela perpindahan sudah hampir ditutup dan sepertinya agak mustahil untuk melihat United menandatangani seorang lagi pemain pada musim panas ini.

Manchester United bakal kembali beraksi dalam saingan liga pada 11 September nanti dengan mereka dijadualkan bakal berdepan dengan Newcastle United.

Setan merah kini berada di kedudukan ketiga dalam carta liga, dengan mereka terikat tujuh mata bersama Chelsea, Everton, West Ham dan Liverpool.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cristiano Ronaldo Manusia Lelaki Pertama Jaringkan Gol Di Lima Edisi Piala Dunia