Roy Keane Label Maguire Memalukan, Sampah dan Macam Robot

Legenda Manchester United nyata tidak dapat menahan amarah kepada pasukan Setan Merah apabila mencemuh pemain dan paling teruk melabel Harry Maguire sebagai memalukan, sampah dan macam robot.

Pemain berbangsa Ireland hadir di Stadium Tottenham Hotspur untuk melihat bekas pasukannya menentang pasukan Nuno Espirito Santo untuk perlawanan minggu ke-10.

Sejak seminggu ini banyak perbincangan adalah berkisar kepada kualiti yang ada pada Ole Gunnar Solskjaer ketika ini dan siapa calon yang layak menjadi teman pengganti Ole.

Sebelum perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspur ketika berbicara topik ini, Roy Keane tidak langsung menyentuh Ole yang beliau sayangi sepenuh hati itu.

Yang menjadi mangsa kecaman dan kritikan Roy Keane para pemain Manchester United kerana hampir berjemaah membuat permohonan maaf kepada peminat selepas dikitai Liverpool.

Tanpa berselindung Roy Keane menganggap permohonan maaf ni sangat mengarut dan sampah.

“Banyak cakap-cakap yang kedengaran minggu ini. permohonan maaf datang dari semua arah kanan, kiri dan tengah, ini tidak baik.” Ujar Keane.

“Ini semua sampah!!”

“Semua benda mengarut ini datang dari pemain dari pasukan, Marcus Rashford, Harry Maguire dan Bruno Fernandes beberapa minggu lalu.”

Entah apa yang Roy Keane tidak berpuas hati dengan permohonan maaf para pemain Manchester United. Namun Roy Keane langsung tidak menyentuh Ole.

Selepas membakul sampahkan perbuatan pemain meminta maaf, Roy Keane meneruskan kritikan keras dan pedas kepada pemain secara spesifik pula.

Pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire, Luke Shaw dan Aaron Wan Bissaka dianggap sebagai memalukan.

“Harry Maguire dan Luke Shaw minggu lepas telah mendatangkan aib kepada kelab.”

“Aku tidak fikir Crystal Palace akan ambil Aaron Wan Bissaka balik.”

Satu penghinaan buat Wan Bissaka dan Harry Maguire terus dikutuk dan diejek Roy Keane serta dilabel sebagai robot kerana reaksi wajah yang tidak ada emosi.

“Aku dengar Harry Maguire bercakap minggu lalu, dia dah macam robot. Dia duk er, er,er minta maaf kepada peminat. Tapi tidak menampilkan sebarang emosi.”

Boleh menangis Maguire kalau tengok video Roy Keane menganjing teruk ni.

Itulah kata-kata semangat dari Roy Keane dan Manchester United berjaya menewaskan Spurs dengan jaringan tiga gol tanpa balas hasil jaringan Cristiano Ronaldo, Edison Cavani dan Marcus Rashford.

Ole Gunnar Solskjaer bertukar menjadi Don Antonio Conte dengan menggunakan formasi 3-5-2 dengan 7 pemain bertahan diturunkan sebelum menjadi 8 selepas mendahului 2-0.

Pemain Manchester United nyata bersatu hati untuk menyelamatkan Ole Gunnar Solskjaer dengan bermain penuh disiplin dan teratur. Sangat berbeza berbanding beberapa perlawanan lalu.

Begitu juga dengan Roy Keane yang turut berbeza nada sebelum dan selepas perlawanan. Roy Keane telah melabel kemenangan ke atas Spurs ini sebagai sempurna mengalahkan pasukan yang terdesak seperti Spurs. Tak tahu siapa sebenarnya yang terdesak.

“Saya fikir ia adalah perlawanan yang sempurna untuk Manchester United. Spurs mempunyai perlawanan pertengahan minggu, Spurs tidak menjaringkan banyak gol, saya fikir 9 dalam 10 perlawanan. United peluang yang baik, kita telah melihat statistik di sana Spurs dengan kurang penguasaan bola, ini memang sempurna.”

“Sebaik sahaja mereka mendapat gol pertama, ia hanya detik berapa banyak yang kami mahu jaringkan, ia adalah hari yang sempurna untuk Manchester United.”

“Kembali ke masa saya bermain, kami selalu berkata, ‘ia Spurs, anda akan mengalahkan Spurs’. Pasukan Spurs ini terdesak. Kritikan terbesar yang boleh saya berikan kepada pasukan Spurs ini, mereka ketinggalan 2-0 dan mereka mempunyai sepakan sudut selepas 75 minit, pemain Man Utd semua turun tapi Spurs tetap letakkan tiga pemain di depan gol mereka.”

Tiada pujian kepada pemain yang disampahkan sebelum perlawanan kerana pemain sampah dan memalukan ini memberi kemenangan dan masih tiada langsung komen ke atas apa yang dilakukan Ole.

Baca Juga

Baca Juga