Ruben Dias: Pemimpin di Barisan Pertahanan Manchester City
Jarang sekali Ruben Dias mahu mengakui tentang kesukaran di Manchester City tetapi pada hari Isnin lalu, dia menyatakan, “Sejak saya di sini, mungkin ini adalah tempoh paling sukar.” Namun, dia tetap optimis, “Saya percaya bahawa walaupun dalam keadaan paling sukar, kita masih boleh mencapai sesuatu yang indah.”
Dias memang terkenal dengan sikap positifnya. Selepas kekalahan City kepada Chelsea di final Liga Juara-Juara 2021, dia berkata, “Seorang lelaki bijak pernah berkata kepada saya, kita tidak kalah dalam final itu, kita hanya selangkah lebih dekat.” Dan benar, 2 tahun kemudian, City akhirnya berjaya menjuarai Liga Juara Juara untuk kali pertama.
Tetapi pada musim ini City berdepan dengan cabaran besar. Mereka tewas kepada Real Madrid, ‘Raja Eropah’ dalam perlawanan hidup-mati untuk mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Pemimpin Baru di City
Selepas Kyle Walker dipinjamkan ke AC Milan, Dias dinaikkan pangkat sebagai naib kapten City. Pada Sabtu lalu dia kembali dari kecederaan dan membuat penampilan ke-200 bersama kelab ketika menentang Leyton Orient dalam perlawanan Piala FA.
Dias telah menjadi tonggak utama pertahanan Pep Guardiola. Dia menduduki tempat ke-23 dalam anugerah Ballon d’Or, meningkat 7 tangga berbanding tahun sebelumnya. Malah, dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, dia merupakan pemain dari kalangan ‘Big Six’ yang mempunyai kadar kekalahan paling rendah untuk mereka yang bermain lebih dari 100 perlawanan.
Di City, ramai percaya bahawa Dias adalah pemain yang mengukuhkan pertahanan mereka dan semangat kepimpinannya telah lama terbentuk sebelum dia tiba di Manchester lagi.
Kepimpinan Sejak Kecil
Bekas jurulatihnya di peringkat remaja di Portugal, Luis Filipe Carvalho berkata, “Dari kecil lagi Ruben sangat berani. Dia tidak pernah menganggap bola sebagai bola yang hilang. Dia juga banyak bercakap di atas padang, mengarahkan rakan sepasukan.”
Pada 2020 City membawa masuk Dias untuk menggantikan Vincent Kompany yang meninggalkan kelab itu setahun sebelum ketibaannya. Selepas kehilangan kepimpinan Kompany, City gagal mempertahankan kejuaraan liga dan Liverpool muncul juara. Tetapi sejak kehadiran Dias, City memenangi 10 trofi utama.
Rakan sepasukan dan senegaranya, Bernardo Silva mengakui pengaruh besar Dias di City: “Dia seorang pemimpin, itu perkataan terbaik untuk menggambarkannya.”
Keazaman yang Tidak Berubah
Sejak muda Dias terkenal dengan keazaman tinggi. Dalam satu kejohanan menjelang Piala Dunia B-20 pada 2017, dia mengalami kecederaan dan diminta pulang ke Benfica untuk menjalani rawatan. Tetapi dia begitu bersemangat untuk terus bersama pasukan sehingga dia membuang tongkatnya dan berkata, “Saya baik-baik saja!”
Jurulatihnya ketika itu, Emilio Peixe, menceritakan, “Tidak biasa untuk pemain muda mempunyai semangat sebegitu. Kami selalu menggunakan Ruben sebagai contoh kepada pemain lain kerana etika kerja dan fokusnya yang luar biasa.”
Di City, semangat itu dapat dilihat dalam cara dia menekan lawan hingga ke sudut padang dan bagaimana pertahanan City kelihatan lebih kukuh dengan kehadirannya. Dalam dokumentari Netflix mengenai musim treble mereka, terdapat rakaman Dias memberi semangat kepada pasukan.
“Mereka fikir kita sudah penat tetapi kita mahu melakukannya lagi. Itulah saat kita menjadi lebih kuat,” katanya dalam klip tersebut.
Dari Pemain Hingga ke Jenama
Walaupun dikenali kerana kehebatan di padang, Dias juga mempunyai imej yang menarik di luar bola sepak. Bekas jurulatihnya, Rui Vitoria berkata, “Dia mempunyai sisi komersial yang menarik. Dia bukan sekadar pemain tetapi juga mempunyai imej yang lebih besar di luar padang.”
Dias telah membina jenama peribadi berdasarkan nilai-nilai kekuatannya di padang. “Dia mahu menunjukkan lebih banyak sisi dirinya selain dari sekadar di padang bola,” kata Paulo Malva do Vale, pakar strategi komersial.
Di media sosial, Dias sering berkongsi mesej inspirasi, lebih mirip kepada gaya pemimpin perniagaan berbanding pemain bola sepak biasa. Ia menunjukkan personaliti sebenarnya – seorang yang positif dan penuh motivasi.
Bahkan pada bulan lalu, Dias bekerjasama dengan sebuah NGO untuk membawa 4 remaja dari Lisbon datang menonton kemenangan City ke atas Chelsea. Para pelajar itu memenangi pertandingan esei bertajuk “Kepimpinan dan Sukan – Apa yang Kita Boleh Pelajari daripada Atlet Hebat?“
Pemimpin di Waktu Sukar
Musim ini adalah cabaran besar untuk City dan mungkin musim paling sukar sepanjang 4 tahun Dias di kelab itu. Dia sendiri mengalami kecederaan dan terpaksa bermain dalam keadaan sakit kerana City kekurangan pemain pertahanan.
Tetapi seperti biasa, Dias tidak pernah menyerah. Kini dia kembali beraksi tepat pada masanya dan jika ada seseorang yang boleh melihat sisi positif dalam keadaan sukar serta memberi inspirasi kepada pasukan – orang itu pastinya Ruben Dias.
Artikel asal: Sam Lee