Rudiger Antara Pertahanan Paling Van Dijk Kagumi

Antonio Rudiger kini dianggap antara bintang Chelsea yang paling berprestasi setakat ini, dengan kecemerlangan beliau berjaya membawa The Blues untuk berada di puncak carta liga.

Walau bagaimanapun, Rudiger sehingga kini masih belum menandatangani kontrak baru bersama kelab, dengan rundingan antara kedua-dua belah pihak masih berjalan.

Pemain kebangsaan Jerman itu telah dipuji oleh Virgil Van Dijk atas peranan beliau dalam membantu barisan pertahanan Chelsea pada musim ini.

Walau bagaimanapun, The Athletic melaporkan yang rundingan kontrak baru Rudiger tidak berjalan dengan seperti yang diharapkan.

Rudiger sebenarnya masih berminat untuk kekal di Stamford Bridge, namun beliau bersama ejennya tidak gembira dengan tawaran yang ditawarkan oleh Chelsea.

Seandainya rundingan mereka tidak mendapat kesepakatan sehingga Januari nanti, pemain berusia 28 tahun itu sudah boleh menandatangani pra kontrak bersama mana-mana pasukan lain.

Beliau pasa musim panas nanti boleh meninggalkan kelab secara percuma sahaja, dengan Bayern Munich dan Real Madrid antara pasukan yang paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Rudiger turut sedar kepentingan untuk masa depannya dengan beliau sangat berharap rundingannya bersama Chelsea dapat dimuktamadkan.

Dalam temu bualnya bersama Sky Germany baru-baru ini, Rudiger menyatakan:

“Bagi saya, ini bakal menjadi keputusan terpenting dalam karier profesional saya. Saya masih belum berunding dengan mana-mana kelab selain Chelsea.”

Pemain kebangsaan Jerman itu memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan Chelsea pada ketika ini, dengan beliau tampil dalam kesemua tujuh perlawanan awal The Blues dalam saingan Premier League.

Beliau turut menjaringkan gol ketika aksi kemenangan 3-0 menewaskan Tottenham Hotspur pada 19 September lalu.

Beliau bersama Thiago Silva merupakan nadi utama barisan pertahanan Chelsea dan menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian Thomas Tuchel.

Mereka juga memainkan peranan cukup penting ketika membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League pada musim lalu.

Van Dijk yang dianggap sebagai pemain pertahanan terhebat dalam dunia bola sepak telah memuji kedua-dua Rudiger dan Silva, dan menganggap mereka sebagai antara centre-back terhebat pilihannya.

“Memang ramai pertahanan yang bagus di luar sana. Pemain veteran Sergio Ramos, Thiago Silva, Gerard Pique. Dunia bola sepak semakin berkembang dan cara permainan semakin berbeza.”

“Jika kamu lihat Laporte dan Rudiger. Saya rasa mereka melalui musim yang gemilang tahun lalu dan cara bagaimana dia kembali dari kecederaan, saya semakin menghormati dia sekarang.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Van Dijk Teruja Tunggu Musim Hadapan - "Liverpool Tetap Power Tanpa Champions League"