Ryan Giggs Berminat Untuk Mengisi Kekosongan Di Everton & Leicester City

Bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs menyatakan minatnya untuk mengurus pasukan Everton atau Leicester City jika diberikan peluang. 

Everton dan Leicester City kini beroperasi tanpa pengurus selepas memecat pengurus masing-masing akibat keputusan yang tidak memberangsangkan. Leicester City memecat Craig Shakespeare minggu lepas manakala Everton pula baru sahaja memecat Ronald Koeman Isnin lalu selepas Everton dibelasah 5-2 di gelanggang sendiri yang menyaksikan Everton jatuh menjunam ke tangga 18 dalam Liga Perdana Inggeris. 

Bekas pemain antarabangsa Wales ini pernah terlibat dalam pengurusan ketika menjadi pembantu pengurus kepada Louis Van Gaal di Manchester United selama dua musim. Giggs juga pernah ditemuramah untuk mengisi kekosongan pengurus di kelab Wales yang bermain di Liga Perdana Inggeris, Swansea pada tahun 2016. 

Ini merupakan peluang terbaik untuk Giggs mencuba nasib sebagai pengurus dengan namanya telah dikaitkan dengan kekosongan di kedua-dua kelab tersebut. Walaubagaimanapun, Giggs turut mengakui beliau terpaksa berdepan saingan yang sengit dari beberapa pengurus yang berkaliber yang turut berminat dengan posisi yang sama. 

Giggs dengan trofi liga terakhir yang dimenanginya.

Ketika ditemuramah oleh Skysports mengenai adakah beliau berminat untuk menjadi pengurus Everton atau Leicester City di masa hadapan, beliau menjawab,

“Bagi saya, saya amat berminat dengan kekosongan di Everton dan Leicester City. Jika kita lihat pada kedua-dua kelab ini, Leicester adalah juara liga dua musim yang lalu manakala Everton pula adalah kelab yang bagus dengan sejarah yang hebat.”

“Walaupun demikian, saya percaya ramai jurulatih juga berminat untuk mengisi kekosongan di kedua-dua kelab tersebut.”

Giggs tidak terlibat dengan mana-mana tugas pengurusan semenjak pemecatan Louis Van Gaal selaku pengurus Manchester United pada Mei 2016. Legenda Manchester United ini menamatkan pertalian 29 tahun beliau dengan Red Devils tidak lama selepas pemergian Van Gaal. 

Beliau mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari tugas-tugas yang berkaitan bolasepak ketika itu, tetapi menegaskan beliau masih lagi memasang minat untuk menjadi pengurus di masa hadapan andainya mendapat peluang yang sesuai. 

“Saya sudah kerap kali berkata yang saya terbuka untuk menjadi pengurus mana-mana kelab yang bercita-cita tinggi seperti saya. Saya mahu melatih pemain menjadi lebih baik dan membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi. Saya teruja untuk bekerjasama dengan pemain dan harapan saya pemain juga berkongsi perasaan yang sama.”

“Terdapat kelab yang sesuai dengan cita-cita saya kini beraksi di Liga Perdana Inggeris. Saya juga bersedia untuk menjadi pengurus kelab di Championship dan League One. Falsafah sesebuah kelab lebih penting kepada saya dari struktur kelab itu.”

Namun demikian, Giggs mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk menjadi pengurus kerana menurut laporan BBC, beliau bukan calon utama untuk mengambil alih posisi pengurus di Everton, dengan bekas pengurus mereka sebelum ini, David Moyes telah dikaitkan dengan posisi itu. 

Giggs dan admin The Sukan, Beckham.

Buat masa sekarang, pengurus skuad Bawah-23 tahun mereka, David Unsworth akan mengambil alih tugas sementara di Goodison Park sementara pihak pengurusan mencari pengurus yang sesuai untuk menggantikan Ronald Koeman. 

Manakala di King Power Stadium pula, Michael Appleton akan mengambil tugas sebagai jurulatih sementara Leicester City. Calon dari Mexico, Matias Almeyda hangat dikaitkan dengan jawatan pengurus Leicester. 

Untuk rekod, Ryan Giggs adalah pemain paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, dengan 13 medal juara Liga Perdana Inggers disamping dua medal Liga Juara-Juara Eropah sepanjang kariernya bersama Red Devils. 

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga