Saat Penuh Emosi Ole Dalam Temuramah Terakhir Bersama Man Utd

Temuramah terakhir Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United berakhir dengan detik penuh emosi di mata air mata jantan yang berasal dari Norway itu hampir saja menitik.

Ole Gunnar Solskjaer mengambil kesempatan dalam video terakhirnya itu untuk menyuarakan penghargaan kepada pemain, kakitangan, peminat dan semua orang yang berkaitan dengan Manchester United.

Ole Gunnar Solskjaer kembali ke bekas kelabnya selaku pengurus interim, selepas pemecatan Jose Mourinho dengan sindrom musim ketiganya pada bulan Disember 2018.

Selepas tiga musim berlalu, kekalahan yang memalukan kepada Watford 4-1 menjadi titik noktah dan terus menamatkan karier Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United rentetan keputusan perlawanan yang buruk.

Manchester United telah memuat naik dua klip video pendek temuramah terakhir bersama Ole Gunnar Solskjaer di laman Twitter rasmi kelab.

Ole Gunnar Solskjaer membuka jawapan menceritakan perbualannya dengan skuad United di tempat latihan Carrington pada pagi Ahad selepas ditanya apa yang akan beliau katakan kepada pemain menjelang perlawanan menentang Villarreal?

“Seperti yang saya katakan kepada mereka pagi ini juga, percayalah pada diri anda sendiri, anda tahu kita lebih baik daripada ini.”

“Kami tidak dapat mempamerkannya tetapi keluarlah, berbangga, menikmati menjadi pemain Man United, dalam Liga Juara-Juara di pentas terbesar.”

Ketika berbicara mengenai jurulah pasukan utama, Michael Carrick, Ole Gunnar Solskjaer hampir mengalirkan air mata dan mengakui sangat beremosi.

” Jika dan apabila anda memenangi perlawanan, anda layak ke pusingan seterusnya, Michael Carrick akan mengepalai.”

“Michael, saya sangat menghormati, saya sangat menyayangi Michael. Saya menjadi emosinal sekarang kerana dia berada di atas. Mereka akan baik-baik saja. Saya akan memerhati mereka dan menyokong mereka.”

Selepas itu Ole Gunnar Solskjaer terus tidak keruan dan terus mahu menghentikan perbualan dan temuramah itu tamat disitu sahaja. Mungkin Ole terus sambung menangis.

Dalam satu lagi klip video Ole telah ditanya sepanjang hampir tiga tahun menjadi bos Setan Merah, bila dikenang kembali adakah beliau berasa bangga?

“Sangat, sangat bangga. Sudah tentu, ia adalah salah satu perkara yang anda impikan dalam hidup anda.”

“Apabila anda menjadi pemain, apabila anda menjadi jurulatih pasukan simpanan, tugas seterusnya, satu-satunya impian dan satu-satunya perkara yang belum anda lakukan ialah menguruskan kelab dan saya sudah lakukan sekarang.”

“Ini adalah bola sepak, benar-benar menyeronokkan dari minit pertama hingga akhir, jadi saya perlu berterima kasih kepada semua pemain kerana sejak saya masuk, mereka adalah pemain terbaik, orang yang terbaik.”

“Ada yang datang, ada yang pergi, tetapi mereka semua adalah kumpulan yang menyeronokkan untuk bekerjasama.”

Ole Gunnar Solskjaer juga menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kelab dan semua kerana mendapat peluang yang tidak ramai orang dapat rasai.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah dan pemilik kerana memberi saya peluang kerana ia bukan untuk semua orang dan saya mempunyai peluang.”

“Saya sangat berbesar hati dan bertuah kerana diberi kepercayaan untuk membawa kelab ke hadapan dan saya sangat berharap saya meninggalkannya dalam keadaan yang lebih baik daripada ketika saya datang.”

“Saya telah mendapat kawan yang baik, saya telah berhubung semula dengan beberapa rakan yang hebat, kakitangan baharu yang datang bersama saya telah menjadi kawan baik.”

Video penuh dan teks penuh temuramah terakhir Ole Gunnar Solskjaer ini boleh anda hayati di pautan ini.

Ole Pengurus Interim

Ole Gunnar Solskjaer kembali ke bekas kelabnya selaku pengurus interim, selepas pemecatan Jose Mourinho dengan sindrom musim ketiganya pada bulan Disember 2018.

Perlawanan pertama Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Interim adalah menentang bekas kelab lama yang diuruskannya sebelum itu, Cardiff City di tempat lawan.

Pada ketika itu Ole Gunnar Solskjaer memegang reputasi yang buruk di Premier League apabila gagal teruk mengendalikan Cardiff City sehingga terhumban ke liga bawahan.

Ole berjaya membawa kemenangan 5-1 kepada Setan Merah menundukkan Cardiff City di South Wales dan pada perlawanan pertama rekod dicipta oleh Ole.

Itu merupakan buat pertama kalinya Manchester United menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Premier League selepas bersaranya Sir Alex Ferguson.

Kali terakhir Setan Merah menjaringkan lima gol selepas seri 5-5 dengan West Bromwich Albion yang merupakan perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson sebelum bersara pada May 2013.

David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal mencatatkan jaringan lima gol dalam satu perlawanan di Premier League sehiggalah Ole tiba.

Selaku pengurus interim rekod dan pencapaian Ole Gunnar Solskjaer agak menakjubkan apabila merekodkan 12 perlawanan tanpa kalah.

Ole Pengurus Tetap

Kekalahan pertama Ole selaku pengurus adalah kepada PSG disaingan Champions League, tewas 2-0 di Old Trafford, Ole mencatatkan kebangkitan sensasi di Paris dengan kemenangan 3-1.

Ole telah membawa Manchester United menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Eropah mara ke pusingan seterusnya selepas tewas ditempat sendiri dengan jaringan dua gol atau lebih pada perlawanan pertama.

Pada 28 Mac 2019 selepas mencatatkan 14 kemenangan dari 19 perlawanan Ole ditawarkan kontrak tiga tahun selaku pengurus tetap dan menamatkan musim 2018/19 ditempat keenam.

Musim 2019/20

Musim 2019/20 menyaksikan Ole membawa Manchester United untuk musim penuh dan menamatkan saingan Premier League di tempat ketiga dan itulah kali kedua Manchester United menamatkan saingan ditempat ketiga selepas era Sir Alex Ferguson.

Pada musim itu juga, Ole membawa Manchester United ke separuh akhir di EFL Cup, FA Cup dan Europa League. Satu rekod padu buat pengurus yang masih mentah, membuatkan Ole makin disayangi.

Musim 2020/21

Ole memulakan musim 2020/21 dengan penuh keyakikan namun dikejutkan dengan kekalahan terburuk dalam kariernya dibelasah Tottenham Hotspur 6-1 di Old Trafford.

Kemudian mula kedengaran laungan Ole Out lantaran beberapa siri aksi buruk ditambah pula dengan tersingkirnya ke Europa League menamatkan saingan peringkat kumpulan Champions League ditempat ketiga.

Namun Ole bangkit membuktikan kehebatan, pada januari 2021 selepas 18 perlawanan liga, Ole membawa Manchester United ke puncak Premier League dan menjadi juara selama dua minggu.

Ini merupakan kali pertama Setan Merah dipuncak liga ditahun baru selepas Sir Alex Ferguson bersara. Kemudian Ole mencatatkan kemenangan 9-0 ke atas Southampton.

Manchester United buat pertama kali menamatkan liga dalam kalangan top four secara back to back selepas era Ferguson. Ole berjaya ke final Europa League namun tewas kepada Villareal.

Musim 2021/22 dan dipecat

Ole Gunnar Solskjaer memulakan musim 2021/22 dengan penuh bergaya apabila membelasah Leeds United dengan jaringan lima gol berbalas satu dalam perlawanan pembukaan di Premier League.

Kemudian Setan Merah sekadar seri menentang Southampton diperlawanan kedua dan bunga-bunga kejatuhan mula kelihatan selepas tewas secara mengejut kepada Young Boys di Champions League. Pasukan entah dari mana.

Cristiano Ronaldo membuat kepulangan mengejut ke Old Trafford, seorang lagi legenda kelab kembali tapi masih lagi sebagai seorang pemain. Sejak itulah Manchester United mula bergelut.

Kekalahan 5-0 kepada Liverpool hampir sahaja menamatkan karier pengurusan Ole di mana Antonio Conte sudah sedia mengganti, namun Atok Fergie datang menyelamat dengan tiga peluang.

Ole boleh dikatakan gagal apabila menang satu, seri satu dan kalah satu dengan corak permainan yang sangat tidak jelas lagi tidak berpedoman.

Kekalahan memalukan kepada Watford 4-1 terus menamatkan karier Ole bersama Manchester United.

BACA:  Solksjaer Tidak Akan Paksa Pemain Kembali Bermain