Sadio Mane Dedah Bintang Liverpool Yang Beliau Masih Hubungi

Selepas menewaskan Mohamed Salah untuk memenangi anugerah ‘African Player of the year’, Sadio Mane mendedahkan bahawa beliau masih ada berhubung dengan bintang Mesir itu.

Walau kedua-dua mereka pada ketika ini bermain bersama pasukan berbeza, namun Mane menegaskan yang tiada perseteruan antara mereka pada ketika ini.

Ketua pasukan kebangsaan Senegal itu meninggalkan Liverpool untuk menyertai Bayern Munich pada musim panas ini.

Perpindahan itu secara tak langsung mengakhiri karier Mane bergandingan bersama Mo Salah di Anfield.

Sadio Mane berjaya menjaringkan 90 gol dari 196 penampilan bersama Liverpool ketika kariernya di Merseyside dengan beliau turut cemerlang membantu The Reds untuk memenangi pelbagai kejuaraan.

Sepanjang kariernya di Anfield, beliau berjaya membantu The Reds untuk memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan FA Cup.

Bercakap kepada Goal, Mane mendedahkan bahawa:

“Orang kadang kala kata ada perseteruan antara saya dan Salah, tapi kamu tahu saya tak nampak diri saya ada masalah atau perseteruan dengan mana-mana pemain sejujurnya.”

“Kami ada hubungan yang baik, kami selalu mesej bersama. Saya rasa media yang selalu cuba perbesarkan hal itu.”

“Kamu tahu saya bukan hanya ada hubungan dengan seorang pemain sahaja, tapi setiap pemain yang pernah saya beraksi bersama dalam dunia ini.”

“Kamu boleh tanya sesiapa sahaja yang kamu mahu di kelab, atau ke mana sahaja saya pergi.”

“Saya ada hubungan yang baik dengan semua pemain.”

Kenyataan Mane itu keluar selepas terdapat banyak khabar angin yang mengaitkan beliau ada masalah dengan Salah ketika karier mereka di Anfield.

Mane dilihat bengang kerana Mo Salah tidak mahu menghantar bola kepada beliau sedangkan beliau ketika itu sedang mempunyai ruang selesa untuk menjaringkan gol.

Insiden tersebut berlaku ketika aksi dalam perlawanan bertemu Burnley pada tahun 2019 yang lalu, namun Mane menegaskan hal itu hanya kemarahan di dalam padang sahaja dan tidak di bawa keluar padang.

Secara peribadinya beliau sama sekali tiada masalah dengan Mo Salah dan hubungan mereka masih kekal baik sehingga ke hari ini.

Gandingan mereka berjaya membantu Liverpool mencapai pelbagai kejayaan dan mereka turut dianggap sebagai duo paling digeruni dalam bola sepak.

Mereka pernah beraksi bersama sebanyak 223 kali untuk Liverpool dan jelas sekali kedua-dua mereka terlalu banyak memberi masalah kepada pemain pertahanan lawan.

Sebelum ini Mo Salah yang hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Liverpool kerana rundingan kontrak baru beliau bersama kelab berlanjutan terlalu lama.

Walau bagaimanapun, dengan tiba-tiba Sadio Mane yang terlebih dahulu memilih untuk mencari pintu keluar dari Anfield dan pergi menyertai Bayern Munich.

Satu hal yang pasti, Mane pergi sebagai legenda kelab dengan beliau sehingga hari ini masih kekal sebagai pemain yang disayangi oleh peminat.

Mo Salah sementara itu telah menandatangani kontrak baru bersama kelab dengan beliau turut ditawarkan gaji yang sungguh luar biasa lumayan.

Selepas kehilangan Sadio Mane, Liverpool sepertinya tiada pilihan lain selain bersetuju sahaja untuk membayar Mo Salah gaji yang beliau minta.

The Reds walau bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan kehilangan Sadio Mane kerana mereka sudah berjaya mendapatkan dua pemain penyerang yang mempunyai kualiti yang sungguh dasyat.

The Reds berjaya mendapatkan Luis Diaz dari Porto pada jendela perpindahan Januari lalu dan mereka turut berjaya mendapatkan khidmat Darwin Nunez darI Benfica pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kehadiran dua pemain ini sedikit sebanyak membantu Liverpool untuk terus memantapkan jentera serangan mereka dan mengurangkan sedikit rasa kosong yang ditinggalkan oleh Mane.

Sumber: SPORTbibble

BACA:  "Pecah Rekod Messi Dan Gerrard" - Mane Layak Dianggap Antara Pemain Terhebat Dunia