Sadio Mane Dedah Kemuliaan Hati Kem Liverpool Permudah Urusan Pemain Muslim

Sadio Mane tampil mendedahkan tentang bagaimana kemuliaan hati kem Liverpool memudahkan pemain mereka yang beragama Islam untuk meneruskan ibadah mereka sambil tidak menjejaskan prestasi mereka di atas padang.

Mane merupakan salah seorang dari empat pemain Liverpool yang beragama Islam seperti Ibrahima Konate, Mohamed Salah dan Naby Keita.

Bulan ini seperti semua sedia maklum para pemain yang beragama Islam berdepan kesukaran dek kerana terpaksa menjalani ibadah Puasa sambil meneruskan kariernya sebagai pemain.

Menjalani latihan dan beraksi ketika berpuasa jelas sekali satu hal yang sangat sukar untuk seseorang pemain itu.

Menjelang aksi bertemu Villarreal dalam saingan Champions League awal pagi tadi, Sadio Mane telah bercakap kepada beIN SPORTS dengan beliau turut ditanya sumbangan kelab ketika membantunya menghadapi bulan Puasa ini.

“Ianya tak mudah untuk bermain dan berlatih sambil menunaikan Ramadan, tak mudah sama sekali.”

“Namun sebelum Ramadan tiba lagi, kami cuba memberitahu kapten kami untuk memberitahu bos, mana tahu kalau dia boleh menukar jadual latihan untuk berlatih di sebelah pagi.”

“Ini [latihan sebelah pagi] memudahkan kami [yang berpuasa]. Apabila kamu berlatih sebelah pagi, kamu ada masa yang cukup untuk berehat di rumah. Jika kamu berlatih dalam pukul 2 atau 3, ianya sangat sukar.”

“Pengurus kata, YA! Dan saya rasa ini yang membuatkan kami menjadi lebih mudah dan kami [sebagai balasan] akan cuba memberikan yang terbaik yang kami mampu.”

Ditanya bagaimana para pemain mengendalikan puasa mereka pada hari perlawanan. Mane berkata:

“Ianya tak mudah, namun seperti biasa, hari perlawanan memang perkara yang berbeza [berbanding hari lain walaupun bukan pada bulan ramadan].”

“Dengan Ramadan yang agak sukar untuk pemain bola sepak, saya rasa Liverpool, mereka cuba membuatkan segalanya lebih mudah untuk kami.”

Henderson wakili pemain Muslim bertemu Jurgen Klopp

Menurut Sadio Mane, kapten kelab mereka Jordan Henderson telah berjumpa sendiri dan berbincang dengan Jurgen Klopp mewakili 4 pemain Muslim tersebut.

Kepimpinan Henderson memang terpuji. Sebelum ini BBC melaporkan bahawa Henderson antara kapten yang tampil bersuara mewakili kapten di EPL berkenaan dengan buka puasa di atas padang melibatkan pemain berpuasa.

Musim ini EPL membenarkan pengadil menghentikan permainan seketika untuk memberikan peluang pemain berbuka puasa di atas padang. Salah satu daripada tugasan kapten adalah memaklumkan kepada pengadil tentang pemain mereka yang berpuasa jika perlawanan berlangsung ketika sudah memasuki waktu berbuka puasa.

Menurut Mane, Henderson telah berbincang dan mencari solusi terbaik untuk semua pihak.

Dan Klopp bersetuju untuk mengubah jadual latihan mereka. Jadual latihan ditukar daripada petang kepada latihan sebelah pagi. Lebih menarik apabila pemain pemain lain yang bukan beragama Islam turut bersetuju dan tiada masalah untuk melakukannya demi saudara mereka.

Mane menyifatkan Liverpool sebagai kelab yang benar benar menyokong pemain beragama Islam mereka untuk menunaikan kewajiban mereka.

Ketika aksi bertemu Villarreal awal pagi tadi, Sadio Mane berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu The Reds menewaskan gergasi La Liga itu dengan keputusan 2-0.

Sepanjang Ramadhan ini Mane tak dinafikan sememangnya sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dengan beliau sering menjaringkan gol penting untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Liverpool jelas sekali sangat berharap agar Mane terus konsisten dan akan merealisasikan impian kelab menjadi pasukan Inggeris pertama yang memenangi gelaran quadruple.

Sumber: Axello

SPORTbible

BACA:  Video Siri Dokumentari Sadio Mane: Made In Senegal