Sadio Mane Menamakan Pemain Paling Lembab Dalam Skuad Liverpool

Bintang Liverpool, Sadio Mane telah menamakan Fabinho sebagai pemain paling lembab dalam skuad The Reds pada ketika ini.

Pemain kebangsaan Senegal itu turut memilih dirinya sendiri sebagai pemain paling pantas dalam skuad, dari segi larian jarak dekat.

Skuad kendalian tidak dinafikan sangat beruntung kerana memiliki barisan pemain yang mempunyai kelajuan yang sungguh luar biasa menakjubkan seperti Sadio Mane, Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk.

Kelajuan Salah dan Mane tidak dinafikan lagi sememangnya menjadi mimpi ngeri untuk para pemain pasukan lawan, yang berdepan kesukaran untuk menghadapi mereka.

Namun begitu, sudah tentu akan ada pemain paling lembab berbanding kesemua pemain yang ada dalam skuad Liverpool pada ketika ini.

Menurut FIFA 22, Nathaniel Phillips merupakan pemain paling lembab dalam skuad Liverpool pada ketika ini, dengan beliau diberikan rating 53 sahaja untuk pace nya.

Walau bagaimanapun, Sadio Mane tidak bersetuju dengan penilaian tersebut dan menganggap pemain centre-back itu sepatutnya diberikan penilaian yang lebih tinggi.

Bekas pemain penyerang Southampton itu percaya pemain paling lembab dalam skuad Liverpool pada ketika ini adalah, Fabinho.

Bercakap kepada Soccer AM, Sadio Mane mendedahkan bahawa:

“Oh! Okay! Wow. Saya rasa ia sepatutnya lebih tinggi. Saya rasa dia (Nathaniel Phillips) lebih pantas berbanding itu (penilaian FIFA). Saya boleh katakan, sudah tentu, saya akan kata Fabinho (paling lembab).”

Sadio Mane turut mendakwa yang beliau sebenarnya lebih pantas berbanding Mohamed Salah baik jarak dekat mahupun jarak jauh.

“Saya rasa kalau jarak dekat, saya lebih pantas, kalau jarak jauh, saya juga lebih pantas dari dia (Mohamed Salah).”

Fabinho diberikan penilaian 67 untuk pace beliau dalam permainan FIFA 22, dengan permainan sama turut memberikan penilaian 90 kepada Mo Salah.

Sadio Mane merupakan pemain yang mendapatkan penilaian tertinggi berbanding kesemua pemain Liverpool yang lain dengan beliau diberikan penilaian 91.

Beliau turut memuji Virgil Van Dijk sebagai pemain yang memiliki kelajuan paling menakjubkan ketika melibatkan larian jarak jauh.

Sadio Mane telah menjadi pemain terpenting Liverpool sejak dari awal beliau ditandatangani pada tahun 2016 yang lalu dari Southampton.

Pemain berusia 29 tahun itu berjaya memainkan peranan yang cukup cemerlang dalam sistem kendalian Jurgen Klopp, dan pada musim ini beliau masih berjaya konsisten pamer aksi persembahan yang sama.

Sadio Mane berjaya menjaringkan sembilan gol dan turut mencatatkan satu assists dari 24 penampilan dalam semua pertandingan musim ini.

Pemain sayap Liverpool itu walau bagaimanapun gagal untuk menemui sentuhan jaringan beliau sejak kali terakhir ketika bertemu Arsenal pada November lalu.

Walaupun beliau kurang menjaringkan gol pada bulan ini, Sadio Mane tetap berjaya memberikan impak positif untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Sudah tentu pemergian beliau, Mo Salah dan Naby Keita pada Januari ini untuk menyertai pertandingan AFCON akan memberi impak yang besar kepada Jurgen Klopp.

Kehilangan tiga pemain utama terutamanya Salah dan Mane jelas sekali bakal memberi tamparan yang hebat kepada Jurgen Klopp, dan sudah tentu beliau pening kepala memikirkan bagaimana mahu meneruskan aksi beberapa perlawanan selepas ini tanpa ketiga-tiga bintang utamanya itu.

Mujur saja aksi perlawanan penting bertemu Chelsea nanti Klopp akan masih mampu menggunakan khidmat kedua-dua pemain itu, selepas pihak negara masing-masing bersetuju untuk Salah dan Mane kembali sertai kem kebangsaan selepas tamat perlawanan tersebut.

Pertandingan tersebut akan bermula pada 9 Januari dan akan berakhir pada awal Februari, seandainya skuad kebangsaan mereka mara jauh, maka makin lambatlah untuk mereka kembali sertai kelab masing-masing.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Sadio Mane Dikatakan Meninggalkan Liverpool Kerana Terkesan Dengan Komen Klopp Yang Menghina Afrika