Sadio Mane Mendermakan RM215,000 Untuk Pencegahan Covid-19

Sadio Mane memang terkenal dengan sikap pemurah dan seorang yang sangat berhati mulia.

Sewaktu dunia sedang berduka dengan penularan virus Covid-19, Sadio Mane telah mendermakan sekitar RM215,000 kepada negara kelahirannya Senegal bagi melawan wabak itu.

Seluruh dunia terkesan dengan penularan virus Covid-19 sehingga ada yang sudah terkorban dek kerana serangan virus itu.

Di Senegal sendiri semalam sudah terdapat 27 pesakit disahkan positive Covid-19 dan dua darinya sudah pulih sepenuhnya.

Virus Covid-19 tersebar dengan begitu cepat hingga ada negara terpaksa mengeluarkan perintah berkurung kepada rakyatnya.

Keadaan itu pastinya merisaukan semua pihak di Senegal. Jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil serius, ianya akan terus menular dengan lebih dasyat.

Selain daripada mendermakan wang, Sadio Mane turut memberikan kesedaran kepada rakyat Senegal tentang bahaya wabak Covid-19 menerusi media sosial miliknya.

Sadio Mane menyeru agar rakyat Senegal mengambil serius tentang isu kebersihan dan terus amalkan langkah untuk mencegah penularan virus itu.

Sadio Mane berharap wang tersebut akan dapat membantu meringankan beban pihak kerajaan Senegal dalam usaha mereka menyekat penularan wabak ini.

Sadio Mane kini sedang mengasingkan diri sama seperti pemain Liverpool yang lain, di mana beliau berlatih sendiri di rumah kerana semua aktiviti bola sepak di seluruh dunia sedang digantung.

Berbicara soal amal kebajikkan, ini bukanlah kali pertama Sadio Mane menderma jumlah wang yang besar untuk negaranya.

Menurut Mane sendiri, beliau hanya bernasib baik dengan dikurniakan rezki yang lebih dan mempunyai pekerjaan yang membawa pulangan lumayan.

Oleh kerana itulah beliau mahu menggunakan sebahagian wang itu untuk membantu golongan yang memerlukan di negaranya terutama di kampung halamannya.

Sikap zuhud si Mane ni memang sangat dikagumi, beliau sendiri pernah menyatakan bahawa dirinya tidak pernah terdesak untuk memakai kereta mewah yang baru atau memakai perkakas yang mahal-mahal.

Menurut Mane lagi, lebih ramai yang memerlukan bantuan di negaranya, dan lebih baik wang lebih yang dimilikinya didermakan saja kepada mereka yang memerlukan.

Pemain berusia 27 tahun itu membesar di sebuah kampung kecil di Bambali di Selatan Senegal di mana bapanya merupakan seorang imam masjid kampungnya.

Sebelum ini Sadio Mane pernah juga menyumbangkan sebanyak €270,000, untuk membina hospital dan stadium bola sepak di Senegal.

Selain itu, Sadio Mane turut mengambil peduli tentang nasib golongan miskin di kampungnya lalu beliau telah memberikan bantuan €70 sebulan kepada beberapa isi rumah yang miskin di kampungnya.

Mane juga terlibat dalam program membantu membekalkan pakaian dan kelengkapan lain kepada kanak-kanak di Senegal.

Untuk kanak-kanak di Senegal pula, Mane telah membina sekolah dikampungnya dan tidak lupa asal-usul beliau lalu menabur bakti kepada penduduk kampung selepas berjaya.

Pernah tular satu video di laman sosial sebelum ini, Sadio Mane dilihat sedang mencuci tandas masjid di kariahnya.

Ketekunan dan ketulusan Mane yang tampak ceria mencuci tandas masjid Al-Rahma Liverpool tersebut dirakam lalu dimuat naik ke internet dan tersebar dengan pantasnya.

Dalam video itu Mane dilihat memegang sebaldi air dibantu oleh seorang kanak-kanak yang menyembur air dengan waterjet di kawasan mengambil wudhuk.

Satu tauladan yang bagus dari Mane yang merupakan seorang anak Imam masjid di negara kelahirannya.

Selain daripada Sadio Mane, rakan sepasukan beliau, Alisson Becker turut terlibat dalam membantu kempen kesedaran bertapa pentingnya membasuh tangan untuk menyekat penularan virus Covid-19.

Penjaga gol terbaik dunia itu memainkan watak penting dalam menyokong usaha World Health Organisation (WHO) yang melancarkan kempen ‘#SafeHands’.

Virus Covid-19 terus menular di seluruh dunia. Virus itu telah mengorbankan hampir 80,000 nyawa di seluruh dunia pada ketika ini.

Setakat ini semua liga utama bola sepak dan sukan lain terpaksa dihentikan agar virus itu tidak terus menular.

Semoga virus Covid-19 ini segera lenyap dan kita semua boleh kembali menikmati aksi atas padang pemain dan pasukan kegemaran masing-masing.

BACA:  Video Siri Dokumentari Sadio Mane: Made In Senegal