Sah Piala Malaysia 2020 Dibatalkan

Malaysian Football League(MFL) melalui laman mukabuku atau Facebook rasminya telah mengesahkan bahawa saingan Piala Malaysia bagi musim 2020 telah dibatalkan.

Pembatalan ini dilakukan oleh MFL dan diumumkan selepas mencapai kata sepakat susulan keputusan penangguhan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara(MKN).

Rayuan yang dikemukakan oleh MFL bagi meneruskan saingan Piala Malaysia 2020 telah di tolak oleh MKN.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan yang akur dengan keputusan yang dibuat MKN.

“MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.”

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan TM Piala Malaysia 2020.”

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.”

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.”

Menurut Dato’ Ab Ghani Hassan isu kontrak pemain menyebabkan Piala Malaysia 2020 tidak dapat ditangguhkan ke bulan yang lain dan pasukan bertanding akan menghadapi masalah kos operasi.

“Ini kerana pembatalan ini terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen TM Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.”

“Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh TM Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.”

Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

BACA:  Tarikh Perlawanan Piala Malaysia 2015