Saint-Maximin Yakin Beliau Mampu Memenangi Anugerah Ballon D’or Satu Hari Nanti

Pemain sayap Newcastle United, Allan Saint-Maximin percaya yang beliau sebenarnya boleh memenangi anugerah Ballon D’or satu hari nanti.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan antara bintang paling mengujakan dalam saingan Premier League sejak dari awal ketibaannya pada tahun 2019 yang lalu.

Beliau sangat berharap agar dirinya akan dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan Perancis untuk aksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Selain dari mahu ke Piala Dunia, beliau juga turut memasang cita-cita mahu menjadi pemain terhebat dalam dunia bola sepak dengan memenangi gelaran Ballon D’or.

Bercakap kepada Goal dalam satu temu bual baru-baru ini, beliau mengakui bahawa:

“Ketika saya bercakap tentang Ballon D’or, ia seolah mimpi. Saya rasa semua pemain mengimpikan untuk memenangi anugerah Ballon D’or. Ia impian dari kanak-kanak.”

“Sudah tentu, saya pada ketika ini masih jauh dari Ballon D’or, tapi dari segi kualiti, saya rasa saya mampu lakukan itu.”

Hanya empat pemain dari Perancis yang pernah memenangi anugerah tersebut sejak dari awal ia diperkenalkan pada tahun 1956 yang lalu.

Raymond Kopa berjaya memenangi anugerah itu pada tahun 1959 sebelum Michel Platini memenangi tiga anugerah tersebut pada tahun 1983 hingga 1985.

Jean-Pierre Papin turut pernah memenangi anugerah tersebut ketika kejayaan beliau membawa Marseille menjuarai saingan Ligue 1 dan turut membawa kelabnya ke pentas perlawanan akhir Eropah.

Zinedine Zidane cemerlang membantu Perancis untuk menjulang Piala Dunia pada tahun 1998 dengan beliau turut diberikan anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Sejak dari itu, tiada mana-mana pemain Perancis yang mampu memenangi anugerah tersebut, namun pemain seperti Thierry Henry, Franck Ribery dan Antoine Griezmann pernah berada di kedudukan tiga teratas sebagai calon pemenang anugerah Ballon D’or.

Saint-Maximin tahu dan sedar yang perjalanan untuk beliau mencapai tahap itu masih panjang dan masih jauh untuk dicapai.

Walaupun beliau dianggap antara pemain kesayangan peminat di St James Park, beliau hanya mampu menjaringkan empat gol dan mencatatkan empat assists sahaja sepanjang musim ini.

Pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps sementara itu memiliki ramai pemain berbakat besar di posisi serangan dengan Kylian Mbappe merupakan antara yang terbaik beliau miliki ketika ini.

Saint-Maximin turut perlu bersaing dengan Kylian Mbappe untuk menjadi pemain utama Perancis kerana mereka bermain di posisi yang sama.

Ketika ditanya tentang kebarangkalian beliau menyertai skuad Perancis dan bagaimana mahu beliau lakukan, Saint Maximin menjawab:

“Saya tahu ia semuanya tentang usaha. Dalam apa juga situasi, saya akan terus berusaha. Saya akan terus bermain dengan baik dan bantu kelab saya.”

“Ia sangat sukar untuk tak fikir tentang Piala Dunia. Ia kekal menjadi sasaran setiap pemain dari Perancis jika mereka dapat mewakili negara mereka, untuk bersaing di pentas terbesar seperti ini.”

“Ketika skuad Perancis memenangi gelaran Piala Dunia pada tahun 2018, ia merupakan satu hal yang sungguh menakjubkan. Tambahan pula saya ada kawan yang turut ada di sana.”

“Untuk lihat mereka sangat bahagia dan untuk lihat mereka beraksi demi negara kita, ia sesuatu yang menakjubkan termasuk untuk saya sebagai seorang pemain yang tak dipanggil. Jadi saya tak boleh bayangkan perasaan yang sedang mereka rasakan.”

“Dalam hidup ini, kamu akan selalu dapat apa yang sepatutnya kamu dapat. Saya akan terus berusaha dalam usaha saya mahu dapat peluang dipanggil sertai skuad kebangsaan satu hari nanti.”

Newcastle United akan kembali beraksi dalam saingan Premier League pada hujung minggu ini bertemu Manchester City dalam usaha mereka mahu mengakhiri saingan Premier League di kedudukan terbaik.

Ia merupakan satu hal yang sungguh menakjubkan untuk melihat di mana kedudukan The Magpies pada ketika ini dengan membayangkan di mana mereka pada awal musim baru-baru ini.

Mereka hanya peroleh kemenangan pertama dalam saingan liga pada Disember lalu dan berada di zon penyingkiran untuk tempoh yang sangat lama.

Kini mereka berada di kedudukan ke-10 dalam carta saingan Premier League 11 mata dipisahkan dari Everton yang sedang berada di zon penyingkiran.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Saint Maximin Bakal Diberikan Peranan Baru