“Saiya Silalu Datang Support Selangor” – Malaysia Dan Bangladesh Bersaudara

Ribuan penyokong Bangladesh tidak ketinggalan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan di antara Malaysia dan negara mereka pada malam tadi.

Secara matematik, Bangladesh sudah pun tersingkir untuk ke Piala Asia pada tahun hadapan selepas terlebih dahulu tewas 2-0 kepada Bahrain dan kemudiannya 2-1 kepada Turkmenistan sebelum itu.

Namun ia tidak menghalang penyokong setia mereka untuk hadir secara berjemaah untuk memberikan sokongan kepada skuad Harimau Bengal.

Malah ia adalah kehadiran paling ramai oleh penyokong Bangladesh daripada tiga perlawanan membabitkan pasukan itu.

Menjelaskan Bangladesh power bola lontaran ke dalam

Realitinya bola sepak bukanlah sukan utama di Banglandesh. Rakyatnya sebenarnya lebih meminati sukan kriket, iaitu sejenis sukan baling bola dengan kencang dan dipukul dengan kayu keras.

Tetapi ini tidak bermakna rakyat Bangladesh tidak meminati bola sepak. Malah mereka menggunakan taktikal dan kepakaran di dalam sukan kriket ke dalam bola sepak.

Maka tidak hairanlah mengapa pasukan Bangladesh berupaya mengancam pertahanan lawan melalui lontaran ke dalam jauh luar biasa.

Malah semua dua gol yang dihasilkan oleh Bangladesh di pusingan akhir kali ini (tewas 1-2 kepada Turkmenistan dan gol penyamaan lawan Malaysia) terhasil daripada lontaran ke dalam.

Seperti kita saksikan pada malam tadi, Bangladesh cukup mengancam apabila menyerang menggunakan gerakan set pieces lontaran ke dalam melalui pemain No.12, No.2 dan No.4.

Malaysia dan Bangladesh bersaudara

Seperti kita semua sedia maklum, terdapat lebih 1 juta penyokong rakyat Bangladesh di Malaysia.

Sumbangan mereka kepada ekonomi Malaysia di dalam pelbagai industri di negara ini tidak boleh dinafikan.

Salah seorang penyokong Bangladesh yang ditemuramah oleh portal Harimau Malaya berkata mereka selalu sokong pasukan Malaysia – bumi dan negara yang menjadi sumber pencarian rezeki.

“Kalau tak ada game Bangladesh, saya support Malaysia”

“Saya selalu datang stadium support Selangor!” Ujar beliau.

Tidak dinafikan ribuan penyokong Bangladesh yang hadir pada malam tadi berjaya mencipta suasana gempita di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi, terutamanya apabila pasukan itu berjaya menyamakan kedudukan.

Demikianlah bola sepak. Inilah sebabnya mengapa seluruh dunia mengatakan bola sepak itu indah.

Untuk perlawanan pada malam tadi, Malaysia dan Bangladesh adalah musuh di atas padang, tetapi Malaysia dan Bangladesh juga bersaudara.

Baca Juga

Baca Juga