Pemain antarabangsa Egypt, Mohamed Salah terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan ‘muscular’ ketika Egypt menewaskan Swaziland 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.
Salah mengalami kecederaan tersebut ketika perlawanan memasuki minit terakhir dan petanda awal menunjukkan Salah mungkin perlu berehat buat seketika. Berita ini sudah tentu tidak diterima baik Jurgen Klopp yang sebelum ini pernah mengkritik kejohanan Nations League yang dianggapnya sebagai tidak mendatangkan faedah.
Namun begitu, Salah sempat menjaringkan satu gol untuk Egpyt pada minit ke-45 menerusi sepakan sudut. Sepakan sudut yang diambil Salah berjaya memperdayakan penjaga gol Swaziland dan bola terus menerjah masuk ke dalam gawang gol tanpa sebarang sentuhan dari pemain lain.
Gol daripada sepakan sudut bukanlah perkara baru dalam bola sepak. Kapten Marvel Kelantan yang hilang dari radar musim ini, Badhri Radzi atau nama glamor ‘Piya’ pernah menjaringkan gol dari sepakan sudut sehingga video jaringannya itu ditonton jutaan peminat bola sepak seluruh dunia.
Berbalik kepada Salah, sebelum beliau terpaksa meninggalkan padang, Salah cuba untuk kembali beraksi dengan kaki berbalut kain tetapi jurulatih Egypt enggan mengambil risiko dan mengeluarkannya pada waktu kecederaan.
Egypt akan bertemu Swaziland sekali lagi pada hari Selasa nanti dan pembantu pengurus Egypt, Hany Ramzy berharap kecederaan Salah tidak serius dan beliau akan dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti.
“Diagnosis awal yang dilakukan pasukan perubatan Egypt menunjukkan Salah telah mengalami kecederaan ‘muscular’.”
“Salah akan menjalani pemeriksaan lebih lanjut untuk mengetahui tahap kecederaannya, tetapi mengikut pandangan saya, ia tidak lah terlalu serius.”
Musim ini menyaksikan Salah bergelut untuk menjaringkan gol walaupun beliau berjaya menjulang anugerah Golden Boot Liga Perdana Inggeris musim lepas selepas menjaringkan 32 gol.
Selepas mengharungi 8 perlawanan liga, Salah hanya menemui jaring sebanyak 3 kali sahaja walaupun Liverpool belum lagi kalah musim ini. Beliau gagal menjaringkan sebarang gol dalam 4 perlawanan terakhirnya dan timbul kerisauan di kalangan peminat mengenai prestasi semasa Salah.
Peminat Liverpool mungkin boleh menarik nafas lega selepas melihat Salah menamatkan kemarau jaringannya semalam, walaupun ia dilakukan ketika menentang pasukan yang berada pada ranking 136 dunia.
Liverpool akan berkunjung ke Huddersfield hujung minggu hadapan dan mereka dijangka tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan kemenangan menentang pasukan yang berada di tangga ke-18 liga.