Salah Dinasihatkan Tolak Tawaran Real Madrid & Barcelona Untuk Menjadi Legenda Liverpool

Bekas pemain Liverpool, Paul Ince menasihatkan Mohamed Salah untuk menolak tawaran Real Madrid & Barcelona musim panas nanti dan terus kekal bersama Liverpool, seterusnya membantu The Reds menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Ince percaya Salah kini berada di kelab yang sempurna buatnya dan harus menolak segala tawaran dari kelab luar bagi membina legasi di Anfield dan menjadi legenda di Liverpool.

Dinasihatkan supaya tidak berpindah ke Sepanyol untuk menjadi legenda Liverpool

Pemain antarabangsa Egypt ini telah menunjukkan prestasi yang menakjubkan dalam musim pertamanya di Liverpool, dimana beliau telah menjaringkan 36 gol dari 41 perlawanan dalam semua pertandingan. Beliau muncul pemain paling penting dalam skuad Jurgen Klopp dan berjaya membentuk trio hadapan yang paling digeruni di England ketika ini bersama-sama Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Pemain berusia 25 tahun ini berjaya membantu Liverpool mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Porto 5-0 secara aggregat. Lawan mereka selepas ini adalah Manchester City, pasukan yang mereka telah tewaskan pada Januari lalu untuk meleburkan rekod tanpa kalah The Citizens dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool kini menduduki tangga ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini, 7 mata di hadapan penghuni tangga ke-5, Chelsea dan hampir pasti untuk mendapatkan slot automatik ke kejohanan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Kudrat Salah ditagih Liverpool untuk menewaskan Manchester City dalam Liga Juara-Juara

Prestasi cemerlang Salah bersama Liverpool telah menarik minat dua pasukan gergasi Sepanyol untuk cuba mendapatkan khidmatnya pada tirai perpindahan musim panas nanti. Tetapi Ince percaya Salah harus menolak semua tawaran yang tiba kerana beliau sudah berada di kelab yang sempurna buatnya.

“Mohamed Salah bodoh jika beliau memilih untuk meninggalkan Liverpool musim panas nanti. Beliau kini berada di kelab yang amat sesuai dengannya.”

“Tetapi saya tidak akan terkejut jika ianya berlaku kerana amat sukar untuk menolak tawaran dari dua kelab gergasi tersebut. Amat sukar buat mana-mana pemain untuk menolak tawaran Barcelona dan Real Madrid – seperti yang kita lihat berlaku kepada Luis Suarez dan Philippe Coutinho . Pada pendapat saya, Salah mesti kekal di Liverpool sahaja.”

“Terdapat banyak kemajuan berlaku di Liverpool ketika ini. Secara perlahan-lahan, mereka berkembang menjadi pasukan yang lebih bagus. Mereka memanjat naik kedudukan liga dan menunjukkan prestasi yang baik dalam Liga Juara-Juara Eropah.”

Gaya bersahaja Salah ketika menjaringkan gol buat Egypt ketika tewas tipis di tangan Portugal

“Sekiranya Salah terus kekal di Liverpool, beliau mungkin berada dalam pasukan yang akan memenangi piala musim hadapan, dimana beliau adalah bintang dalam pasukan.”

Ince merujuk contoh yang berlaku di Old Trafford musim ini, dimana Alexis Sanchez dan Paul Pogba bergelut untuk menemui prestasi terbaik mereka di bawah kendalian Jose Mourinho.

“Kita telah melihat banyak pemain bergelut untuk menunjukkan prestasi terbaik mereka selepas berpindah ke kelab baru. Tetapi Salah adalah pemain yang mempunyai bakat yang jarang kita lihat.  Liverpool akan bermain di Eropah lagi musim hadapan. Mereka akan memperkuatkan pasukan dengan beberapa pemain baru dan Salah sekali lagi akan menjaringkan 30 gol musim hadapan.”

BACA:  Salah Terus Cipta Rekod Untuk Kukuhkan Kedudukan Beliau Sebagai G.O.A.T Premier League