Salah Dipuji Atas Kemuliaan Hatinya Terhadap Penyokong Brighton

Mohamed Salah menunjukkan kemuliaan hatinya terhadap salah seorang penyokong Brighton di AMEX Stadium malam semalam.

Bukan hanya berjaya menjaringkan gol untuk membantu The Reds menewaskan Brighton dengan keputusan 2-0, bintang Mesir itu turut berjaya memenangi hati para penyokong pasukan tuan rumah.

Selepas kejayaannya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, Salah dilihat bermain dalam kesakitan dek kerana mengalami masalah kecederaan.

Jurgen Klopp kemudiannya terpaksa mengeluarkan calon pemenang anugerah Ballon D’or itu kerana bimbang kecederaannya akan semakin memburuk.

Sebaik dikeluarkan Salah segera kembali ke bilik persalinan untuk menerima rawatan lanjut dan ketika perjalanan ke terowong itulah beliau telah menunjukkan kemuliaan hatinya terhadap salah seorang penyokong Brighton.

Tular rakaman yang menunjukkan Salah sedang berjalan masuk ke terowong, dengan salah seorang penyokong Brighton memanggilnya dari tempat duduk penyokong, untuk mendapatkan jersinya.

Salah kemudiannya mengukir senyuman di bibir manisnya sebelum membuka jersi dan memberi jersi tersebut kepada penyokong Brighton itu.

Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol ke-20 beliau dalam saingan Premier League musim ini, dan ia merupakan kali keempat beliau berjaya menjaringkan lebih 20 gol dalam satu musim.

Walau musim ini masih panjang, Salah kini sudah terlibat dengan 30 gol untuk Liverpool dalam saingan Premier League dengan beliau berjaya menjaringkan 20 gol dan mencatatkan 10 assists.

Dari lima musim di Anfield, musim ini merupakan musim ketiga beliau berjaya terlibat dengan lebih 30 gol untuk Liverpool dengan beliau pada musim 2017/18 berjaya menjaringkan 32 gol dan mencatatkan 10 assists.

Pada musim 2018/19, Mohamed Salah berjaya menjaringkan 22 gol dan mencatatkan 8 assists untuk Liverpool dalam saingan Premier League.

Beliau merupakan satu-satunya pemain dalam sejarah Liverpool yang berjaya terlibat dengan 30 gol dalam saingan liga lebih dari satu musim.

Dalam tempoh 5 tahun, Mohamed Salah sudah berjaya terlibat dengan 209 gol dari 237 perlawanan bersama skuad The Reds dan ia merupakan rekod yang sungguh menakjubkan.

Liverpool berjaya menewaskan Brighton dengan keputusan 2-0 di Amex Stadium malam semalam, seterusnya meletakkan mereka hanya tiga mata sahaja di belakang Man City yang sedang mendahului saingan Premier League pada ketika ini.

Luis Diaz berjaya membuka tirai jaringan untuk Liverpool pada aksi babak pertama permainan menerusi satu tandukan tepat hasil hantaran Joel Matip.

Matip melakukan aksi no-look pass ke dalam kotak penalti dan bola hantaran cantik beliau itu berjaya ditanduk masuk oleh Luis Diaz.

Agak malang untuk Diaz, selepas beliau menanduk bola tersebut, beliau telah dirempuh oleh penjaga gol Brighton, Robert Sanchez.

Diaz bahkan langsung tidak meraikan gol jaringannya itu kerana beliau terbaring menahan kesakitan akibat dirempuh oleh Sanchez.

Pengadil perlawanan kemudiannya menyemak VAR untuk melihat semula insiden tersebut, namun tiada sebarang amaran yang diberikan kepada Robert Sanchez.

Bintang Colombia itu kemudiannya segera bangun dan meneruskan permainan seperti biasa.

Gol kedua Liverpool pula berjaya dijaringkan oleh Mohamed Salah pada aksi babak kedua permainan, menerusi sudut sepakan penalti.

Liverpool dihadiahkan dengan sepakan penalti selepas bola rembatan dari Naby Keita terkena tangan Bissouma di dalam kotak penalti Brighton.

Salah tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, dan beliau berjaya memastikan Liverpool mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0.

Wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan dengan Liverpool berjaya mengutip tiga mata penuh, seterusnya meneruskan usaha mereka mencabar Man City di puncak saingan Premier League.

Liverpool selepas ini bakal berdepan tugas berat dengan mereka bakal berkunjung ke Emirates untuk beraksi bertemu Arsenal.

BACA:  Salah Melalui Detik Cemas Selepas Dilempar Objek Oleh Penyokong Senegal